Wednesday, August 25, 2010

Ehya Ramadhan


SKTM 26 Ogos 2010.
Program Ehya Ramadhan SKTM dilaksanakan seperti yang dirancang. Selepas hari pelancarannya, program tadarus al-Quran berjalan pada setiap hari. Program tadarus sempena Ramadhan dilangsungkan pada waktu rehat. Program ini melibatkan murid-murid tahap 2 yang telah khatam al-Quran. Sementara itu bagi murid-murid tahap 1, program pemantapan bacaan dalam solat juga dijalankan pada waktu rehat. Selain itu, pertandingan seperti tilawah al-Quran, hafazan, azan dan mewarna turut dianjurkan bagi menanamkan rasa cinta murid-murid terhadap islam, al-Quran dan Ramadhan al-Mubarak. Di samping itu, anak-anak yatim SKTM turut menerima pelbagai sumbangan daripada warga SKTM dan individu tertentu. Program Ehya Ramadhan SKTM dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam SKTM dengan kerjasama unit HEM dan unit Bimbingan. Semoga penghayatan Ramadhan akan melahirkan warga SKTM yang bertaqwa.

Thursday, August 19, 2010

BACAAN YASIN DAN TAHLIL KEMERDEKAAN


SKTM Jumaat 20 Ogos 2010.
Majlis bacaan Yasin dan tahlil diadakan mulai jam 7.40 pagi khas buat arwah pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Ianya dibuat sebagai memperingati dan mengenang jasa pejuang-pejuang tersebut dalam menuntut kemerdekaan negara di samping tanda kesyukuran kepada Allah yang membebaskan negara daripada belenggu penjajah. Majlis yang dipimpin oleh Ustaz Yusof Shouib itu disertai oleh lebih 300 orang murid tahap 2 dan guru-guru SKTM. Semoga arwah-arwah pejuang negara tersebut ditempatkan dalam golongan syuhada. Amin....

Sunday, August 15, 2010

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN KE-53




SKTM Isnin 16 Ogos 2010.
Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke-53 mengisi perhimpunan mingguan SKTM. Majlis dimulakan dengan ucapan guru bertugas mingguan Encik Noor Adly dan kemudiannya taklimat perlaksanaan Program Bulan Kemerdekaan oleh Pn. Hidayat PK Kokurikulum. Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke-53 peringkat SKTM telah disempurnakan oleh Tn.Hj.Tajon Arus bin Berahim bekas guru besar SKTM juga merupakan Tokoh Guru Daerah Kerian 2010. Dalam ucapannya, beliau menceritakan tentang pejuangan menuntut kemerdekaan oleh golongan terdahulu. Sebagai anak merdeka yang serba mewah beliau berharap murid-murid sentiasa bersyukur dan mengambil kesempatan untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan diri, agama, bangsa dan negara. Pada akhir ucapannya, beliau melaungkan laungan kemerdekaan sebanyak 3 kali dan disambut oleh seluruh warga SKTM. Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke-53 diakhiri dengan nyanyian beberapa buah lagu patriotik oleh seluruh warga SKTM sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Monday, August 9, 2010

PELANCARAN PROGRAM EHYA RAMADHAN


SKTM Selasa 10 Ogos 2010.
Majlis pelancaran Program Ehya Ramadhan diadakan pada perhimpunan khas pagi ini. Majlis pelancaran Program Ehya Ramadhan dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh adik Muhammad Hazim murid tahun 6. Majlis diteruskan pula dengan tazkirah Ramadhan al-Mubarak oleh Tn.Hj.Yazid bin Rumbali. Dalam tazkirahnya, Tn.Hj.Yazid turut menekankan tentang amalan-amalan yang perlu ditingkatkan sepanjang Ramadhan. Ustaz Yusof kemudianya menerangkan tentang aktiviti yang akan dijalankan sebagai pengisian Program Ehya Ramadhan. Antara program yang akan dilaksanakan adalah tadarus al-Quran pada setiap hari, pemantapan bacaan-bacaan dalam sembahyang dan beberapa pertandingan sebagi motivasi kepada murid-murid agar memanfaatkan bulan Ramadhan al-mubarak. Majlis pelancaran Program Ehya Ramadhan disempurnakan oleh En.Shoyef bin Tukiman, Guru Besar SKTM. Dalam ucapannya beliau berharap agar Program Ehya Ramadhan akan menjana dan melahirkan insan yang bertaqwa. Beliau turut mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh warga SKTM.

Sunday, August 8, 2010

PENUTUPAN BULAN MEMBACA 2010


SKTM Isnin 9 Ogos 2010.
Majlis penutupan Bulan Membaca 2010 dipenuhi dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi pertandingan-pertandingan yang diadakan sepanjang program tersebut diadakan. Pada majlis tersebut, para pemenang bagi beberapa pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Inggeris turut mendapat hadiah. Guru besar mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan berharap program tersebut akan diteruskan pada tahun hadapan.

Friday, August 6, 2010

PENYAMPAIAN DANA PROGRAM TIUSYEN RAKYAT


SKTM Jumaat 6 Ogos 2010.
Program Tuisyen Rakyat merupakan salah satu daripada program yang dianjurkan oleh Majlis Belia Daerah Kerian dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO bertujuan membantu pihak sekolah bagi mencapai misi kecemerlangan dalam bidang akademik. Sebanyak 7 buah sekolah dalam kawasan parlimen Bagan Serai telah dipilih untuk mendapat sokongan pelbagai bentuk bagi menjayakan misi tersebut. Pada majlis penyerahan dana Program Tuisyen Rakyat bagi SK Teluk Medan, Tuan Guru Besar, Encik Shoyef bin Tukiman mengalu-alukan perlaksanaan program tersebut serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Belia Daerah Kerian dan Pergerakan Pemuda UMNO Bagan Serai kerana memilih SK Teluk Medan sebagai ' sekolah angkat ' bagi program tersebut. Penyampaian dana Tuisyen Rakyat SKTM disempunakan oleh Encik Sharudin bin Ahmad, Pengerusi Majlis Belia Daerah Kerian yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Serai. Dalam ucapannya beliau mengharapkan agar program tersebut akan dapat dimanafaatkan sebaik mungkin dan akan dapat meningkatkan komitmen guru-guru serta menjadi motivasi kepada murid-murid khususnya calon UPSR 2010. Selain itu beliau juga mengharapkan agar hubungan akrab pihak sekolah dengan komuniti akan terus dijalinkan agar segala permasalahan berkaitan pelajar dapat diselesaikan sebaik mungkin memandangkan masa murid berada di bawah kawalan guru terlalu singkat berbanding masa mereka berada bersama keluarga dan masyarakat. Seluruh warga SKTM mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Majlis Belia Daerah Kerian dan Pergerakan Pemuda UMNO Bagan Serai.

Tuesday, August 3, 2010

KURSUS PEMANTAPAN PEDAGOGI PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA MELAYU

Komitmen KPM untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa melayu mulai tahun 2012 amat membanggakan. Mulai minggu lalu, guru-guru di seluruh negara sudah mula menghadiri Kursus Pemantapan Pedagogi Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik Dalam Bahasa Melayu yang diadakan di Pusat Kegiatan Guru di kawasan masing-masing. Guru-guru Sains dan Matematik SKTM turut menghadiri kursus berkenaan yang diadakan di PKG Teluk Medan. Selamat berkursus.

Monday, August 2, 2010

MOTIVASI DIRI 2010


SKTM Selasa 3 Ogos 2010.
Ceramah Motivasi Diri telah diadakan di dewan SKTM. Ceramah disampaikan oleh Dr.Shahabudin Al-ustaz Mun dari Pusat Motivasi ELIT, Kelang. Dalam ceramahnya, beliau memberikan beberapa tips untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Beliau turut mendedahkan gejala sosial remaja masa kini seperti penyalahgunaan dadah dan kesan buruk najis dadah tersebut. Ceramah Motivasi Diri disertai oleh murid-murid tahun 5 dan tahun 6 SKTM.

KEHANGATAN 31 OGOS BERMULA...


SKTM 3 Ogos 2010.
Kerja-kerja memasang Jalur Gemilang bagi menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 bermula hari ini. “1Malaysia Menjana Transformasi”.

Sunday, August 1, 2010

Pemenang ' Jejak Maklumat ' Bulan Membaca 2010.



SKTM 2 Ogos 2010.
Para pemenang pertandingan ' Jejak Maklumat ' Bulan Membaca 2010 menerima hadiah yang disampaikan oleh guru besar SKTM, Encik Shoyef Tukiman pada perhimpunan mingguan. Kumpulan yang berjaya menerima sebuah hamper dan hadiah individu. Tahniah diucapkan kepada para pemenang.