Friday, July 29, 2011

3 in 1

SKTM Jumaat 27 Syaaban 1432.
Satu taklimat ringkas berkaitan Program Kecemerlangan UPSR dilaksanakan mulai jam 12.00 tengahari oleh Pn.Hjh.Romlah bt. Salleh, Penolong Kanan Pentadbiran. Pada perjumpaan itu juga, Tuan Guru Besar turut menyampaikan maklumat berkaitan lawatan Dato' SUK Negeri Perak bersama Dato' Pengarah Pelajaran Perak ke SK Teluk Medan pada minggu ke-2 Ramadhan bagi menyampaikan sumbangan tertentu serta majlis berbuka puasa bersama warga SKTM dan ibu-bapa murid. Majlis taklimat diakhiri dengan acara memotong kek hari jadi 3 orang warda pendidik SKTM yang lahir pada bulan Julai iaitu Pn.Paizah, Pn. Aminah dan En.Noharuddin. Kek hari jadi disumbangkan oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan. Beliau berharap majlis seumpama itu akan mengeratkan lagi ukhuwah dan silarurrahim dalam kalangan warga kerja SK Teluk Medan. Seluruh warga SKTM mengucapkan selamat hari lahir kepada ketiga-tiga guru tersebut.

EHYA RAMADHAN 1432 HIJRAH


SKTM Jumaat 27 Syaaban 1432H.
Majlis Perlancaran Program Ehya Ramadhan Al-mubarak 1432H dimulai dengan bacaan Yasin oleh warga SKTM yang dipimpin oleh Tn.Hj.Ishak b. Napiah. Setelah mendengar taklimat perlaksanaan program daripada En.Yusuf b. Shuib, Ketua Panitia Pendidikan Islam, murid-murid beredar ke lokasi yang ditetapkan bagi menjalani aktiviti yang telah dirancang oleh panitia tersebut. Murid-murid tahap 1 menyertai pertandingan mewarna bertemakan ' Lafaz Niat Puasa ' manakala murid-murid tahap 2 berada di surau sekolah bagi mendengar ceramah bertajuk " Persediaan Menghadapi Ramadhan " yang disampaikan oleh Ustaz Omar b. Sabri, guru j-QAF SK Teluk Medan. Dalam ceramahnya, beliau berharap agar murid-murid membuat persiapan sebelum menghadapi puasa Ramadhan sama ada dari segi ilmu pengetahuan dan jati diri. Majlis Perlancaran Ehya Ramadhan 1432 disempurnakan oleh Al-fadhil Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan. Al-fadhil Ustaz Mohamad Shah Ramli berharap agar puasa Ramadhan tidak dijadikan alasan untuk mengabaikan pelajaran terutamanya murid-murid tahun 6 yang akan menghadapi UPSR selepas hari raya Aidilfitri nanti. Menurut Al-fadhil lagi, program kecemerlangan UPSR akan diteruskan sepanjang Ramadhan sesuai dengan tema Sambutan Ehya Ramadhan ' Ramadhan Menjana Insan Taqwa '. Pelbagai aktiviti dirancang bagi mengisi Program Ehya Ramadhan 2011. Antaranya ialah tadarus al-Quran, pertandingan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, pertandingan azan dan iqamah serta kutipan derma bagi membantu anak-anak yatim dan golongan kurang berada bagi menyambut Aidilfitri. Semoga program yang dianjurkan akan melahirkan warga SK Teluk Medan yang memahami, mencintai dan menghayati cara hidup Islam yang sebenar.

Thursday, July 28, 2011

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

SELURUH WARGA SK TELUK MEDAN MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA KEPADA SELURUH UMAT ISLAM DI MANA SAHAJA BERADA. SEMOGA PENGHAYATAN RAMADHAN AKAN MENJANA KETAQWAAN

Wednesday, July 27, 2011

Tuesday, July 26, 2011

TPM lancar Sekolah Dalam Hospital

KUALA LUMPUR 26 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program perintis Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang melibatkan tiga buah hospital di Lembah Klang. Tiga hospital terbabit ialah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang. Penubuhan SDH di tiga sekolah berkenaan yang juga dikenali dengan Projek Hati Nurani adalah hasil kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan. Muhyiddin di dalam ucapan pelancarannya di Institut Pediatrik, HKL di sini berkata, objektif utama SDH adalah untuk memastikan semua kanak-kanak serta remaja termasuk mereka yang mendapat rawatan di hospital berpeluang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti. ‘‘Adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti tidak kira di mana pun mereka berada,’’ katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, SDH merupakan satu program pendidikan yang menggunakan pendekatan yang berbeza daripada sekolah biasa. Ujarnya, di sekolah tersebut para pelajar akan menimba ilmu melalui pendekatan belajar secara menyeronokkan dan santai. ‘‘Persekitaran pembelajaran yang tenang, menarik dan berwarna warni merupakan terapi semulajadi bagi pelajar dan kanak-kanak di hospital. ‘‘Sekurang-kurangnya sesi pelajaran yang menarik dan diselang-selikan dengan permainan akan dapat membantu menghilangkan rasa bosan mereka apabila perlu mendapat rawatan dalam tempoh yang lama di hospital,’’ katanya lagi. Seperkara lagi beliau berkata, kewujudan SDH juga mampu menghilangkan rasa bimbang para ibu bapa apabila terhadap pelajaran anak-anak mereka apabila menerima rawatan di hospital. ‘‘Kebimbangan ini tentunya lebih tinggi jika anak-anak mereka akan menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan.,’’ katanya lagi. Sementara itu pada sidang akhbarnya Muhyiddin berkata, sekolah itu telah memulakan sesinya di tiga hospital terlibat sejak dua minggu lalu. ‘‘Pihak kementerian telah menyediakan 16 guru terpilih untuk memastikan projek SDH dapat dijalankan dengan baik. Saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada mereka kerana sanggup menyahut cabaran kerajaan merealisasikan usaha murni ini. UTUSAN ONLINE

CERAMAH ANTI DADAH 2011


SKTM Rabu 27.07.2011
Sesi ceramah pencegahan dadah telah dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi mendedahkan kepada warga SKTM akan keburukan dan pencegahan dadah. Ceramah disampaikan oleh En.Anuar b. Sharani, Pegawai Kanan AADK Daerah Kerian bermula jam 11.00 pagi. Antara perkara yang didedahkan oleh beliau ialah berkaitan jenis-jenis dadah, kesan penyalahgunaan dadah, tips mengelakkan diri daripada terjerumus ke kancah dadah serta penanan yang dimainkan oleh AADK dalam membendung gejala penyalah gunaan dadah dalam kalangan masyarakat Malaysia khususnya golongan remaja. Pada akhir ceramah beliau, beliau turut mengemukakan beberapa soalan kuiz serta menyampaikan hadiah kepada murid-murid yang berjaya menjawab soalan tersebut. Warga SKTM juga berpeluang melihat jenis-jenis dadah dan kesan buruknya dengan lebih dekat melalui pameran AADK yang diadakan di kantin sekolah. Ceramah Anti dadah 2011 dianjurkan oleh Unit HEM dan Bimbingan SK Teluk Medan. Seluruh waraga SKTM mengucapkan terima kasih kepada AADK Daerah Kerian.

Monday, July 25, 2011

HARI KEMERDEKAAN NEGARA KE-54

SKTM Selasa 26.07.2011.
Sambutan hari kemerdekaan negara biasanya disambut pada 31 Ogos setiap tahun. Namun bagi sambutan Hari Kebangsaan ke-54 tahun 2011 ini, sambutannya ditunda pada 16 September serentak dengan Hari Malaysia disebabkan 31 Ogos 2011 jatuh pada penghujung Ramadhan. Apapun, mulai hari ini Jalur Gemilang mulai berkibar di setiap penjuru SK Teluk Medan bagi menzahirkan kecintaan warga SK Teluk terhadap negara Malaysia. 1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera.

Friday, July 22, 2011

PROGRAM PERMUAFAKATAN IBU-BAPA DAN GURU 2011



SKTM Jumaat 22.07.2011
Bertemakan 'Muafakat Membawa Berkat', Program Permuafakatan Ibu-bapa dan Guru 2011 berlangsung seperti direncana. Program Permuafakatan Ibu-bapa dan Guru 2011 dimulakan dengan bacaan doa memohon keberkatan yang dipimpin oleh Ustaz Yusoff b. Shouib, guru Pendidikan Islam SKTM. Tn.Hj.Darham b. Bakri, YDP PIBG SK Teluk Medan membuka tirai ucapan pada majlis tersebut. Dalam ucapannya, beliau mewakili ibu-bapa murid SKTM mengucapkan setinggi perhargaan dan terima kasih atas usaha pihak pentadbir sekolah dan guru-guru kerana menjayakan majlis tersebut kerana ianya memberi peluang kepada waris murid untuk berinteraksi dengan lebih dekat dengan guru-guru untuk mengetahui masalah anak-anak dan cara mengatasinya. Beliau juga berharap agar tugas mendidik anak-anak tidak hanya dipikul oleh guru-guru semata-mata malahan ibu-bapa mempunyai peranan yang lebih besar bagi menentukan kegemilangan anak-anak dalam setiap aspek penghidupan. Ucap utama pada majlis tersebut disampai oleh Al-fadhil Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan. Setelah memperkenalkan diri, Al-fadhil membentangkan pencapaian murid-murid tahun 6 dalam Ujian Percubaan UPSR yang telah berlansung minggu lalu. Beliau yakin pasti pencapaian murid-murid tahun 6 Insya-Allah akan meningkat pada peperiksaan UPSR sebenar setelah meneliti perancangan yang telah dilakukan oleh Unit Kurikulum SKTM bersama guru-guru SK Teluk Medan. Al-fadhil turut menyampaikan motivasi dengan memberikan beberapa tips untuk menjadi ibu-bapa dan murid yang cemerlang. Antara aspek yang ditekankan oleh Al-fadhil ialah kepentingan memelihara solat, sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri, berdoa serta menunaikan tanggung jawab sebagai ibu-bapa dan murid sebaik mungkin. Sebelum majlis tamat, murid-murid tahun 6 yang merupakan calon UPSR 2011 melafazkan ikrar untuk berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kecemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti. Manakala selepas majlis tamat, ibu-bapa murid berpeluang bertemu muka dengan guru-guru untuk diberi penjelasan berkaitan tahap pencapaian anak masing-masing seterusnya menandatangani slip keputusan Ujian Percubaan UPSR. Semoga pertemuan sebegini akan menjana kecemerlangan warga SK Teluk Medan.

Wednesday, July 20, 2011

APC 2011

NAIB JOHAN KANTIN SEKOLAH BERSIH PERAK



Berteras "Kebersihan Sebahagian Daripada Iman", kantin sekolah SK Teluk Medan telah dicanang sebagai naib johan Kantin Sekolah Bersih negeri Perak pada Pertandingan Kebersihan Permis Makanan sempena Karnival Keselamatan Makanan 1 Malaysia Peringkat Negeri Perak 2011 yang telah diadakan pada 16 hingga 17 Julai 2011 lalu. Tahniah diucapkan kepada Pak Lang ( En.Yusop b. Latip ), Mak Lang serta seluruh kakitangan dan jawatan kuasa kantin SK Teluk Medan. Semoga amalan kebersihan menjadi budaya hidup warga SKTM demi menjana kecemerlangan dan kegemilangan SK Teluk Medan.

KOKURIKULUM MINGGU KE-25

SKTM Rabu 20.07.2011
Aktiviti Minggu Bahasa Melayu mengisi ruang kokurikulum mingguan. Selain daripada aktiviti unit beruniform, beberapa pertandingan turut dijalankan sebagai pengisian Minggu Bahasa Melayu 2011. Antara pertandingan yang dijalankan ialah Pertandingan Membaca Bahan Kesusasteraan, Membaca Bahasa Teks Arab dan Membaca Berita. Lain-lain pertandingan akan dijalankan pada perjumpaan minggu hadapan.

Tuesday, July 19, 2011

PROGRAM PERMUAFAKATAN IBU-BAPA DAN GURU 2011

TARIKH : 22.07.2011
HARI : Jumaat
MASA : 9.00 pagi
TEMPAT : Dewan SKTM
ATURCARA : Ceramah Motivasi, Tandatangan Kad Pelaporan.

SEMUA IBU-BAPA / PENJAGA MURID DIJEMPUT HADIR

MBMMBI

SKTM Selasa 19.07.2011
Program kecemerlangan MBMMBI diteruskan. Miss Magaret dari Ireland yang menjadi tutor kepada beberapa buah sekolah di daerah Kerian bukan sahaja membimbing guru-guru bahasa Inggeris malahan turut membuat demontrasi (micro teaching) pembelajaran dan pengajaran Bahasa Inggeris yang efektif di dalam kelas. Murid-murid SKTM dilihat begitu gembira dengan aktiviti-aktiviti yang beliau lakukan.

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH


SKTM Selasa 19.07.2011.
Mulai semalam, guru-guru tahun 1 diberi pendedahan dan berbengkel berkaitan pengisian data Pentaksiran Berasaskan Sekolah KSSR. Taklimat disampaikan oleh Pn.Hazira bt. Sam, Setiausaha PBS SK Teluk Medan. Bengkel pengisian data secara atas talian pula dijalankan pada hari ini oleh Ustazah Cik Nur Syazana bt.M.Kamaruddin bagi memberi pendedahan kepada guru-guru tahun 1 berkaitan pengisian data Pentaksiran Berasaskan Sekolah KSSR.

Sunday, July 17, 2011

Ihtifal jQAF 2011 Daerah Kerian.

SM Vokasional Kerian, Sabtu 16.07.2011
Majlis Ihtifal jQAF Daerah Kerian berlangsung penuh gilang gemilang. SK Teluk Medan turut menghantar 2 pasukan bagi ketogori Wirid dan Hiwar. Kedua-dua pasukan SKTM hanya mampu meraih hadiah saguhati dalam saingan yang hebat pada ihtifal tersebut. Apa pun tahniah diucapkan pada perserta dan jurulatih. Cuba lagi di tahun hadapan.

Saturday, July 16, 2011

Kementerian Cadang Kajian Menyeluruh Sistem Pendidikan Kebangsaan


SURABAYA 16 Julai — Kementerian Pelajaran sedang menyiapkan laporan mengenai cadangan bagi kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan kebangsaan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata cadangan itu bukanlah kajian semula terhadap Penyata Razak. "Saya telah mendapat banyak pandangan, malah dalam media ada dilaporkan tentang keperluan supaya kita melihat semula keseluruhan sistem pendidikan kebangsaan kita hari ini. "Sama ada ia telah mencapai matlamat dalam usaha untuk mendidik anak-anak bangsa, sama ada perakuan yang dikemukakan dalam Penyata Razak itu dilaksanakan dah tercapai sepenuhnya. "Ada pandangan yang menyatakan kualiti pendidikan di negara kita tak setanding dengan negara-negara maju yang lain,” kata Muhyiddin, juga Menteri Pelajaran. Pada masa ini satu pasukan diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud ditugaskan untuk menyediakan laporan awal mengenai cadangan itu, yang dijangka dapat dikemukakan kepada jemaah menteri untuk pertimbangan dan kelulusan pada penghujung tahun ini.

- BERNAMA-

Nisfu Syaaban

Sempena bulan Syaaban dan malam Nisfu Syaaban, saya nukilkan beberapa hadis dari kitab Sahih Al-Bukhari dan kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty. “Nisfu” bermakna separuh atau 14hb. Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah rujukan paling utama dalam Islam selepas Al-Quran. Abdullah b Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah ra. dia berkata (bermaksud), “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari). Muaz bin Fadhalah menyampaikan kepada kami, dari Hisyam bin Yahya, dari Abi Salamah, bahawa Aisyah ra meriwayatkan kepadanya dengan berkata, “Nabi saw tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan Syaaban. [Nabi saw berpuasa bulan Syaaban semuanya - lafaz Al-Bukhari]. Nabi saw bersabda, “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang jemu (dulu – pent)”. Aisyah ra menyambung, “Solat yang paling disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakannya secara konsisten” (Hadis Sahih No. 1970 riwayat Imam Al-Bukhari). Abu Mikmar menyampaikan kepada kami dari Abdul Warith, dari Abu At-Tayyah, dari Abu Uthman, dari Abu Hurairah ra. berkata (bahawa) kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13, 14 dan 15hb), 2 rakaat Dhuha dan Solat Witir sebelum aku tidur”. (Hadis Sahih No. 60 riwayat Imam Al-Bukhari). Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas ra. dia berkata, “Nabi saw ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa”. Nabi saw menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi saw ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi saw menjawab, “Sedekah dibulan Ramadan”. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih. Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah ra. bahawa Nabi saw bersabda bermaksud, “Jibril telah mendatangi aku dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hamba dari siksaan Api Neraka seramai bilangan kambing Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan. pada malam itu Allah tidak menoleh kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”. Kesimpulannya marilah kita sama-sama mengambil kesempatan atas kelebihan bulan Syaaban sebagai persediaan untuk menghadapi Ramadhan al-Mubarakh.

Friday, July 15, 2011

LAWATAN TIMBALAN PENGARAH PELAJARAN PERAK

SKTM Jumaat 14.07.2011
Tuan Timbalan Pelajaran Perak, Tn.Hj.Mohd Idris b. Hj.Ramli telah mengadakan lawatan mengejut ke SK Teluk Medan bagi meninjau perancangan dan perlaksanaan program-program kecemerlangan sekolah khususnya program kecemerlangan akademik. Beliau tiba di SKTM kira-kira jam 11.45 pagi. Setelah mendengar taklimat tentang program kecemerlangan kurikulum sekolah daripada Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, guru besar SK Teluk Medan, beliau mengadakan perjumpaan dengan guru-guru bagi memperjelaskan kembali visi dan misi pendidikan bagi mencapai hasrat " Perak Sentiasa di Puncak Kecemerlangan ". Beliau juga berharap agar 'tindakan pantas segera' dapat dilaksanakan oleh seluruh warga SKTM bagi menghadapi UPSR tidak lama lagi. Menurut beliau lagi, guru berperanan sebagai perlaksana dasar KPM di samping menjadi harapan kepada ratusan pelanggan iaitu ibu-bapa murid SK Teluk Medan. Analisis keputusan Peperiksaan Percubaan UPSR mesti dilakukan segera bagi mengenalpasti kelemahan murid seterusnya membuat penambahbaikan bagi mencapai 'out come' yang berganda. Akhirnya beliau berharap agar seluruh warga pendidik dapat bekerjasama demi meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum murid SKTM di samping menjadikan tugas mendidik sebagai satu amanah dan ibadah. Turut sama hadir pada sesi lawatan tersebut ialah En.Ahmad Fisal b. Shafeei, Penolong PPD Hal Ehwal Murid PPD Kerian. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan terima kasih kepada Tuan Timbalan Pelajaran Perak, Tn.Hj.Mohd Idris b. Hj.Ramli.

Tuesday, July 12, 2011

BUDAYA ICT TERUS BERKEMBANG


SKTM Rabu 13 Julai 2011.
Seperti direncana, Sistem Rekod Kehadiran Guru dan Kakitangan menggunakan komputer mula digunakan dalam sistem pentadbiran sekolah hari ini. Guru-guru dan kakitangan dilihat tidak kekok menggunakan sistem ini kerana taklimat berhubung penggunaannya telah pun disampaikan. Melalui sistem ini, guru-guru dan kakitangan hanya perlu menulis nombor kad pengenalan sahaja ketika datang dan waktu pulang manakala maklumat lain seperti nama, tarikh dan masa akan dirakamkan secara automatik oleh sistem komputer. Namun begitu, pihak pentadbiran sekolah memberi tempoh percubaan yang agak selesa bagi mengkaji kesesuaian sistem di samping membuat penambahbaikan sebelum ianya diwarta sebagai peraturan rasmi sekolah. Sistem Rekod Kehadiran Guru dan Kakitangan Berkomputer ini diperkenal dan dibangunkan oleh En.Mohamad Shah b. Ramli, guru besar SK Teluk Medan dalam rangka membudayakan ICT dalam kalangan warga SKTM.

PENDAFTARAN PRASEKOLAH KPM 2011

PENDAFTARAN PRASEKOLAH KPM SK TELUK MEDAN SESI 2012
DIBUKA MULAI SEKARANG
Dapatkan Borang Pendaftaran Melalui Pejabat Sekolah
Hari : Isnin hingga Jumaat
Masa : 8.00 pagi - 5.00 petang

PEPERIKSAAN PERCUBAAN UPSR 2011

SKTM Selasa 12.07.2011.
Kertas Pemahaman Bahasa Melayu membuka tirai Peperiksaan Percubaan UPSR 2011. Calon UPSR 2011 yang seramai 86 orang dilihat sudah bersedia di luar dewan peperiksaan pada awal pagi. Peperiksaan Percubaan UPSR 2011 yang bermula hari ini akan berlangsung selama 3 hari. Bagi menanti waktu tamat persekolahan 1.30 petang, En.Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM mengadakan sesi motivasi khas untuk calon-calon UPSR 2011. Pada motivasi ringkas tersebut, beliau memberikan beberapa tips bagi menjana kecemerlangan yang berterusan dengan menekankan kepentingan solat dan doa. Menurut beliau lagi, kejayaan yang dicapai tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya konsep ketaatan kepada perintah Allah diabaikan. Seluruh warga SKTM mendoakan agar calon UPSR 2011 akan terus gemilang.

HARI TERAKHIR


SKTM Selasa 12.07.2011
Hari ini merupakan hari terakhir penggunaan Rekod Kehadiran Guru dan Kakitangan secara manual iaitu melalui cacatan di dalam Buku Rekod KehadiranGuru dan Kakitangan. Mulai esok, sistem rekod kehadiran guru-guru dan kakitangan akan menggunakan komputer. Melalui sistem baru ini, guru-guru dan kakitangan hanya perlu menaip nombor kad pengenalan sahaja manakala nama dan waktu kehadiran dan pulang akan dirakam secara automatik oleh sisitem komputer. Sistem Rekod Kehadiran Guru dan Kakitangan Berkomputer yang dijangka akan bermula esok itu diperkenal dan dibangunkan oleh En.Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan bagi membudayakan penggunaan ICT dalam kalangan warga SKTM.

Saturday, July 9, 2011

Standard Pedagogi

Standard pedagogi kukuhkan bahasa Inggeris dilancar.

PUTRAJAYA 7 Julai – Satu inisiatif Kementerian Pelajaran iaitu Standard Pedagogi Pengajaran Bahasa Inggeris bagi para guru bahasa Inggeris dilancarkan hari ini, seiring dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Saya berbangga kerana Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris telah menggubal standard dan instrumen untuk meningkatkan kualiti pendidikan bahasa Inggeris di negara ini. "Saya difahamkan bahawa bahasa Inggeris adalah subjek pertama yang membangunkan standard, selaras dengan aspirasi dasar dan strategi Kementerian Pelajaran,” kata beliau ketika melancarkan Standard Pedagogi Pengajaran Bahasa Inggeris di sini hari ini. Muhyiddin berkata, sebagai Menteri Pelajaran, isu peningkatan standard kualiti pengajaran menjadi fokus beliau dan para guru perlu mengambil tanggungjawab untuk pembangunan kerjaya mereka. Beliau berkata, guru perlu mengenal pasti kekuatan mereka dan memberi penekanan terhadap aspek pembangunan profesionalisme sebagai guru bahasa Inggeris. – Bernama-

Wednesday, July 6, 2011

reduce,reuse and recycle


SKTM Khamis 07.07.2011
Aktiviti pembelajaran yang dirancang dengan kreatif dan teliti bukan sahaja memberi impak yang positif malahan menyeronokkan murid. Kelas Tahun 5B1 melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik Kewarganegaraan yang diajar oleh Pn.Fatimah Masdar telah menganjurkan Pertandingan Pakaian Seragam berasaskan surat khabar lama. Murid-murid dilihat begitu seronok ketika aktiviti dilakukan. Sudah pasti objektif pembelajaran akan tercapai sekiranya aktiviti sebegini dirancang dan dilaksanakan dengan sempurna. Tahniah...

Tuesday, July 5, 2011

PROMOSI

< a >


NAMA : Prasekolah SK Teluk Medan
KAPASITI MURID : 75 orang
JUMLAH KELAS : 3 kelas
GURU : 3 orang Diploma Perguruan Prasekolah.
PEMBANTU : 3 orang N17 (tetap)
KEMUDAHAN : Bilik kelas kondusif, pusat akses, taman permainan, makanan
disediakan, rawatan kesihatan dan banyak lagi...
KURIKULUM : Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (terkini)
PENDAFTARAN 2012 : Mulai Julai 2011

KEM BESTARI SOLAT 2011


SKTM Selasa 05.07.2011
Kem Bestari Solat kali ke-2 bagi sesi persekolahan 2011 berlangsung mulai jam 1.00 hingga 4.00 petang. Kem ini melibatkan 67 orang murid daripada tahun 2. Semasa kem ini, murid-murid diajar secara teori dan amali berkaitan solat seperti kesempurnaan bersuci, wuduk, rukun-rukun solat, amali solat termasuk perkara-perkara sunat, hikmah dan adab ketika menunaikan solat. Semoga kem seperti ini akan melahirkan murid yang gemilang serta diterima Allah solatnya. Sesungguhnya solat yang baik dan sempurna akan mencegah manusia daripada terjebak ke dalam perkara-perkara mungkar. Tahniah diucapkan kepada para peserta kem dan unit Pendidikan Islam SKTM.

Monday, July 4, 2011

UCAPAN RASMI PERTAMA

SKTM Isnin 04.07.2011
En.Mohamad Shah b. Ramli, guru besar SK Teluk Medan yang baharu menyampaikan ucapan rasmi yang pertama pada perhimpunan mingguan hari ini. Dalam ucapan sulungnya, beliau berharap agar seluruh warga SKTM memberikan komitmen yang tinggi demi kegemilangan yang berterusan dalam semua aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Beliau juga menyampaikan hadiah-hadiah bagi pertandingan mewarna sempena Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan yang telah berlangsung Sabtu lalu. Pada sebelah petangnya, beliau mengadakan majlis taaruf dengan warga kerja SKTM sebelum mempengerusikan mesyuarat Panitia Bahasa Melayu kali ke-3 bagi tahun 2011.

Saturday, July 2, 2011

1 MURID 1 SUKAN SKTM

1 MURID 1 SUKAN 2011


SKTM Sabtu 02.07.2011
Acara Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan berlangsung seperti yang dirancang. Acara Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan peringkat SK Teluk Medan dilancarkan oleh En.Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM. Mulai jam 7.15 pagi, warga SKTM bersama ibu-bapa sudah berkumpul di kantin sekolah untuk menyaksikan majlis perlancaran program Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan oleh YAB Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato' Hj.Muhyiddin b. Yasin yang disiarkan secara langsung melalui TV1. Tepat pada jam 7.45 pagi, warga SKTM mulai berlari mengikut laluan yang telah ditetapkan. Antara acara lain sebagai pengisian program tari ini adalah acara sukaneka, acara ibu-bapa, pertandingan mewarna, takraw bulatan dan pertandingan anyaman. Program Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan 2011 peringkat SKTM berlangsung penuh kemeriahan. Jelasnya, program yang dilangsungkan bukan sahaja dapat menanamkan minat kepada kegiatan sukan malahan dapat mengeratkan hubungan antara warga SKTM dengan masyarakat setempat. Tahniah warga SKTM.

Friday, July 1, 2011

BENGKEL SSQS

SKTM Jumaat 01.07.2010
Bengkel SSQS ( Smart School Qualification Standards ) bagi 30 responden yang dipilih dari kalangan murid-murid dijalankan pada jam 10.45 - 11.00 pagi. Bengkel tersebut dijalankan sebagai memberi panduan kepada murid untuk borang pemantauan budaya ICT sekolah. Bengkel turut akan dijalankan kepada guru-guru yang dipilih sebagai responden dalam pemantauan tersebut.

HARI PERTAMA DI SKTM

SKTM Jumaat 01.07.2011
1 Julai 2011 pasti mencatat sejarah dalam diari perkhidmatan En.Mohamad Shah b. Ramli. Meskipun telah melaporkan diri di PPD Kerian pada 16.06.2011 yang lalu, tetapi beliau mula bertugas secara rasmi sebagai Guru Besar SK Teluk Medan mulai hari ini. En.Mohamad Shah b. Ramli mendapat pendidikan awal menengah di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang sebelum mengikuti kursus perguruan dalam bidang Pendidikan Islam di Maktab Perguruan Islam, Lembah Pantai Kuala Lumpur. Sebelum bertugas sebagai guru besar di SKTM, En.Mohamad Shah b. Ramli bertugas di Jabatan Pelajaran Perak. Namun begitu, beliau pernah berada di beberapa buah sekolah sebagai guru Pendidikan Islam. Pengetahuan dan pengalaman beliau yang luas dalam bidang pendidikan dan pengurusan sumber manusia diharapkan akan menjana kelangsungan kegemilangan warga SK Teluk Medan. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas kepada En.Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM yang baharu.

CATATAN TERAKHIR EN.SHOYEF TUKIMAN

ANUGERAH PENGHORMATAN GURU 2011

Tn.Hj.Ishak b. Napiah, guru Pendidikan Islam SKTM telah menerima Anugerah Penghormatan Guru sempena Hari Guru Daerah Kerian yang diadakan di SMKA Kerian minggu lalu. Pada tahun lalu, Tn.Hj.Ishak juga menerima Anugerah Guru Cemerlang Daerah Kerian pada majlis yang serupa. Sumbangan beliau terhadap peningkatan Pendidikan Islam terutamanya dalam bidang MTQ sangat besar. Tahniah diucapkan kepada Tn.Hj.Ishak b. Napiah.

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2010

SKTM Khamis 30.06.2011
Empat orang warga SK Teluk Medan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2010. Guru yang menerima anugerah tersebut ialah En.Mohd Wahid, En.Mohd.Yusof Shouib, Pn.Amnah dan Pn.Rosnazira. Surat pengesahan penerimaan APC disampaikan oleh En.Shoyef b. Tukiman. Tahniah diucapkan kepada penerima APC 2010.

MEMPERINGATI PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

SKTM Khamis 30.06.2010
Ceramah memperingati peristiwa penting umat islam iaitu Israk dan Mikraj berlangsung mulai jam 8.00 pagi. Bacaan doa membuka majlis diketuai oleh adik Muhammad 'Izzuddin b. Zainol Abidin. Ceramah Israk dan Mikraj 2011 disampaikan oleh Tn.Hj.Muhammad Yazid b. Rumbali, guru jQAF SKTM. Pada penghujung ceramah, murid-murid berpeluang pula memenangi hadiah apabila berjaya menjawab soalan kuiz yang diberikan. Semoga warga SKTM memperoleh pengajaran daripada peristiwa besar ini.

MAJLIS PERPISAHAN GURU BESAR SKTM

SKTM Khamis 30.06.2011
Majlis ' Kau Tetap Di hatiku ' peringkat sekolah berlangsung sempena pertukaran En.Shoyef b. Tukiman, Guru Besar SKTM. Majlis dimulakan dengan ucapan perpisahan oleh Muhammad Hafizd b. Zainol Abidin, Ketua Murid 2011 diikuti persembahan multimedia menyorot kehidupan En.Shoyef b. Tukiman sebagai guru besar selama hampir 8 tahun di SK Teluk Medan. Selepas penyampaian hadiah, semua warga SKTM bersalam-salaman dengan En.Shoyef b. Tukiman sebelum majlis tamat.

MAJLIS PERPISAHAN EN.SHOYEF B. TUKIMAN



MELOR INN 28.06.2010
Majlis ' Kau Tetap Di hatiku ' perpisahan En.Shoyef Tukiman, guru besar SKTM berlangsung mulai jam 8.00 malam di Melor Inn, Parit Buntar. Majlis dianjurkan oleh Kelab Guru dan Kakitangan SK Teluk Medan. Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Tn.Hj.Ishak b. Napiah dan diikuti ucapan oleh pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan Pn.Harina Zaniol. Dalam ucapan terakhirnya, En.Shoyef b. Tukiman mengucapkan terima kasih atas kerja sama yang diberikan sepanjang perkhidmatannya di SK Teluk Medan. Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah En.Mohamad Shah b. Ramli, guru besar SKTM yang baharu dan AJK PIBG SK Teluk Medan. Majlis berlangsung penuh mesra dan berakhir hampir jam 10.00 malam. (gambar)