Wednesday, August 31, 2011

TUISYEN RAYA

SKTM 3 Syawal 1432.
Sebahagian daripada calon UPSR 2011 meninggalkan kemeriahan Aidil Fitri seketika dengan menghadiri kelas tambahan pada hari raya ke-3. Kelas tambahan yang dianjurkan oleh Pn.Norizan Dzalmiji bertujuan untuk mengekalkan mod belajar dalam kalangan murid-murid tahun 6 sebagai persediaan menghadapi UPSR dua minggu lagi. Namun begitu, sebelum kelas bermula murid-murid dijamu dengan ' kuih raya ' sebagai motivasi serta menghilangkan rasa tekanan untuk belajar di kala murid-murid lain sibuk meraikan hari raya Aidil Fitri. Kelas tambahan akan terus berjalan sehingga hari Ahad sebelum sesi persekolahan selepas cuti pertengahan semester bermula. Tahniah diucapkan kepada guru-guru dan calon UPSR SK Teluk Medan 2011.

ZIARAH DI AIDIL FITRI

1 Syawal 1432.
Ziarah menziarahi sambil bermaaf-maafan merupakan amalan yang sangat dituntut oleh Islam tidak kira masa dan di mana sahaja berada. Namun begitu amalan ziarah menziarahi lebih sinonim dengan kehadiran 1 Syawal bagi setiap tahun apabila seluruh umat Islam menyambut hari raya Aidl Fitri. Terdapat banyak nas dari al-Quran dan hadis menceritakan perihal kelebihan amalan berziarah. Antaranya hadis riwayat Muslim bermaksud " Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya ”. Semoga Aidil Fitri menjana ketaqwaan insan muslim.

Saturday, August 27, 2011

SALAM AIDIL FITRI

Seluruh Warga SK Teluk Medan
Mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Kepada Seluruh Umat Islam Di Seluruh Dunia
Maaf Zahir Batin

Friday, August 26, 2011

SALAM AIDIL FITRI 1432H

PENUTUPAN EHYA RAMADHAN 1432

SK Teluk Medan 26 Ramadhan 1432 H.
Penutupan Program Ehya Ramadhan 1432 disempurnakan oleh Al-fadhil Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan. Dalam ucapannya, beliau berharap agar budaya Ramadhan diteruskan meskipun Syawal akan menjelma beberapa hari saja lagi. Pada majlis penutupan tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang bagi pertandingan yang diadakan sempena Program Ehya Ramadhan 1432. Turut menerima hadiah sumbangan pada majlis tersebut ialah 29 orang anak yatim. Mereka menerima wang hari raya dan barangan keperluan harian yang disumbangkan oleh warga SK Teluk Medan dan pihak luar. Majlis ditamatkan dengan acara bersalaman bermaaf-maafan di antara seluruh warga SK Teluk Medan. Di samping itu, murid-murid SK Teluk Medan turut mendapat 'duit raya' daripada guru-guru sebelum pulang.(galeri foto)

Wednesday, August 24, 2011

SUMBANGAN AIDIL FITRI

BAGAN SERAI Rabu 24 Ramadhan 1432.
Syarikat Ikhwan Sdn.Bhd pemilik stesyen minyak Petronas Jalan Taiping menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim SK Teluk Medan bersempena Aidil Fitri 1432 yang akan disambut tidak beberapa hari lagi. Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Urusan Syarikat Ikhwan Sdn.Bhd, En.Yazid b. Hj.Sulaiman kepada Cikgu Zainol Abidin Basri yang mewakili Tuan Guru Besar SK Teluk Medan. Sumbangan kepada anak-anak yatim SK Teluk Medan merupakan antara program tahunan syarikat berkenaan. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Syarikat Ikhwan. Semoga keberkatan Ramadhan berkekalan berpanjangan

Monday, August 15, 2011

Nuzul Al-Quran

17 Ramadhan adalah salah satu hari yang berlaku peristiwa penting dalam Islam. Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. al-QuranPeristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
(Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
(Al-‘Alaq:1-5)

Sunday, August 14, 2011

SKTM MINGGU KE-31


SKTM Isnin 15 Ramadhan 1432
Ujian Pra UPSR 2011 akan berlangsung selama 3 hari mulai hari ini. Seperti biasa, kertas Pemahaman Bahasa Melayu mendahului subjek lain dalam peperiksaan tertentu. Sementara itu, murid-murid lain daripada tahun 1 hingga tahun 5 turut menjalani Ujian Selaras 3 2011. Semasa perhimpunan mingguan awal pagi, guru bertugas En.Noharuddin Ishak berharap agar semua murid akan bersungguh-sungguh ketika menjawab soalan ujian tersebut. Seluruh warga pendidik mendoakan kejayaan anak didik SK Teluk Medan.

Saturday, August 13, 2011

KWAMP 2011


SKTM Jumaat 12 Ramadhan 1432.
Majlis Penyampaian Sumbangan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin 2011 berlangsung seperti yang direncana. Tetamu khas pada majlis tersebut YB Dato' Seri Dr.Abdul Rahman b. Hashim, SUK Negeri Perak tiba pada jam 5.00 petang dan disambut oleh paluan kompang serta bunga manggar. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Perak dan lagu Perak Sentiasa di Puncak Kecemerlangan kemudiannya bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Omar b. Sabri. Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan membuka tirai ucapan pada majlis tersebut dengan melafazkan beberapa madah sebagai alu-aluan kepada tetamu yang hadir khususnya YB Dato' Seri SUK dan Y.Bhg Dato Pengarah pelajaran Perak. Dalam ucapannya, beliau menerangkan tentang pencapaian prestasi dan program kecemerlangan sekolah dengan memberi tumpuan kepada pencapaian terkini calon UPSR 2011 dan program ' Pecutan Akhir UPSR 2011. Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih bagi pihak seluruh warga SK Teluk Medan atas kesudian YB Dato Seri Dr.Abdul Rahman yang sudi memenuhi jemputan dan meluangkan masa bersama warga Teluk Medan pada petang tesrsebut. Majlis perasmian penyampaian sumbangan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin SK Teluk Medan 2011 disempurnakan oleh YB Dato' Seri Dr.Abdul Rahman b. Hashim, SUK Negeri Perak. Dalam ucapannya, YB Dato' Seri berharap agar kegemilangan SK Teluk Medan diteruskan dan pihak kerajaan negeri Perak akan sentiasa membantu dalam apa jua lapangan yang diperlukan. Malahan menurut YB Dato' Seri lagi, beliau akan bermesyuarat setiap bulan bersama Jabatan Pelajaran Perak bagi memastikan kecemerlangan pendidikan negeri Perak. Pada akhir program YB Dato Seri Dr.Abdul Rahman b. Hashim turut berbuka puasa bersama warga SK Teluk Medan seterusnya menunaikan solat maghrib berjamaah di Surau SK Teluk Medan. Turut sama hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin 2011 itu ialah Y.Bhg Dato Mohd Rauhi b. Mohd Isa (Pengarah Pelajaran Perak), Tn.Hj.Mohd Idris b. Hj. Ramli (Tim.Pengarah Pelajaran Perak), Tn.Hj.Abd Wahid b. Ramli (Tim.PPD Kerian), pegawai-pegawai PPD Kerian, wakil Pengurus Besar Yayasan Perak, ketua-ketua kampung dan peserta KWAPM SK Teluk Medan bersama ibu-bapa. Majlis tamat pada jam 8.30 malam.

Wednesday, August 10, 2011

KUNJUNGAN TUAN TIMBALAN PENGARAH


SKTM Rabu 10 Ramadhan 1432
Tn.Hj.Idris b. Hj.Ramli, Timbalan Pengarah Pelajaran Perak membuat kunjungan kali ke-2 dalam masa dua bulan. Kunjungan beliau adalah untuk memantau Program Pecutan Akhir UPSR 2011 di samping membantu pihak pengurus sekolah dalam aspek pengurusan. Selepas meninjau proses pengajaran dan pembelajaran kelas tahun 6, beliau turut mengadakan perjumpaan ringkas dengan kakitangan pejabat SK Teluk Medan bagi bantu-bimbing berkaitan pengurusan sekolah. Pada akhir sesi lawatan, Tn.Hj.Idris b. Ramli turut berkunjung ke Pusat Kegiatan Guru Teluk Medan untuk meninjau perkembangan semasa akan peranan Pusat Kegiatan Guru tersebut.

Tuesday, August 9, 2011

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN KE-54

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN KE-54


SKTM Selasa 9 Ogos 2011.
Pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke-54 berlangsung mulai jam 7.30 pagi. Majlis pelancaran dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan diikuti oleh taklimat program Bulan Kemerdekaan oleh guru bertugas mingguan En.Mohd Rosli Musa. Pelancaran Bulan Kemerdekaan SK Teluk Medan 2011 disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan. Dalam ucapannya beliau berharap agar nikmat kemerdekaan yang diperoleh disyukuri dengan sungguh-sungguh dan salah satu tanda kesyukuran atas nikmat tersebut ialah dengan belajar bersungguh-sungguh demi kelangsungan kegemilangan negara Malaysia. Sebagai gimik majlis pelancaran, Ustaz Mohamad Shah menyarungkan selendang Jalur Gemilang ke tubuh Mohammad Hafizd b. Zainol Abidin, Ketua Murid 2011. Pada akhir perhimpunan tersebut, seluruh warga SKTM sama-sama menyanyikan lagu 'Jalur Gemilang' sambil mengibarkannya selaras dengan slogan Bulan Kemerdekaan PPD Kerian ' 1 Murid 1 Bendera '.

Monday, August 8, 2011

ALHAMDULILLAH

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. – Bernama

Sunday, August 7, 2011

DUIT RAYA


SKTM 8 Ramadhan 1432.
8 orang calon UPSR 2011 yang memperoleh keputusan 5A dalam Peperiksaan Percubaan UPSR yang telah diadakan pada bulan lalu tersenyum riang pagi ini apabila mendapat 'duit raya' lebih awal berbanding murid-murid lain. Mereka turut berazam untuk terus meningkatkan pencapaian bagi mengekalkan kecemerlangan tersebut. Hadiah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM pada perhimpunan mingguan pagi ini.

SEPETANG BERSAMA MENTOR SKTM

SKTM 5 Ramadhan 1432.
En.Zulkarnain b. Hj.Hamid, Pen.PPD Menengah (MURID) merangkap Mentor PPD bagi SK Teluk Medan meluangkan masa untuk menyampaikan motivasi sekaligus berdialog dengan calon UPSR 2011 berkaitan UPSR yang akan dihadapi tidak beberapa hari lagi. Beliau turut memberikan beberapa tips detik akhir sebelum menghadapi peperiksaan kepada murid-murid tahun 6. Seluruh warga SKTM mengucapkan terima kasih kepada En.Zulkarnain Hj.Hamid atas kesudian meluangkan masa berkongsi ilmu dan pengalaman dengan murid-murid tahun 6.

Thursday, August 4, 2011

AHLAN WA SAHLAN

Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan selamat datang ahlan wa sahlan dan selamat bertugas kepada Pn. Azian bt. Samsuddin di SK Teluk Medan. Semoga kehadiran anda akan menjana kecemerlangan dan kegemilangan SKTM.

Tuesday, August 2, 2011

KUNJUNGAN MENTOR SKTM


SKTM Rabu 3 Ramadhan 1432
En.Zulkarnain b. Hamid, Mentor PPD bagi SK Teluk Medan mengadakan kunjungan rasmi ke SKTM awal pagi ini. Kehadiran beliau bertujuan untuk bertemu muka dengan peneraju SKTM yang baharu iaitu Ustaz Mohamad Shah Ramli bagi berbincang tentang program kecemerlangan sekolah khususnya program kecemerlangan UPSR sebagai persiapan menghadapinya beberapa hari selepas hari raya Aidilfitri. Selepas mendengar taklimat daripada guru besar, beliau sempat melakukan tinjauan ringkas ke kelas tahun 6 untuk melihat perjalanan pengajaran dan pembelajaran. Turut sama hadir ialah En.Madzran b. Raden Sukianto, Penyelia Sekolah Rendah PPD Kerian.

Monday, August 1, 2011

EHYA RAMADHAN

SKTM Selasa 2 Ramadhan 1432H.
Program Ehya Ramadhan SK Teluk Medan berlangsung mengikut program yang telah disusun. Antara pengisian program hari ini ialah Ceramah Bestari Solat untuk murid tahap 1. Manakala bagi murid tahap 2 pula, majlis tadarus al-Quran dijalankan di surau sekolah mulai jam 10.40 hingga 11.00 pagi. Kemuncak kepada majlis tadarus al-Quran dijangka akan diadakan pada 27 Ramadhan 1432 sebelum murid-murid bercuti bersempena hari raya Aidilfitri.

PELANCARAN EHYA RAMADHAN 1432