Thursday, September 29, 2011

MINGGU ICT HARI KE-5


SKTM Jumaat 30.09.2011
Program Minggu ICT 2011 masuk hari ke-5 setelah dilancarkan Isnin lalu. Antara pengisian hari ini ialah Peraduan Mewarna Prasekolah dan tahap 1, Pertandingan Kenali ICT tahun 4 dan Perdaftaran serta Eksplorasi Eduweb TV murid tahap 2. Sesi Pendaftaran serta Eksplorasi Eduweb TV turut melibatkan guru-guru SK Teluk Medan yang dikendalikan oleh Pn.Fatimah Masdar, Guru Pusat Sumber Sekolah.

Wednesday, September 28, 2011

KEM AKIL BALIGH 2011

SKTM Khamis 29.09.2011
Kem Akil Baligh 2011 anjuran Panitia Pendidikan Islam SKTM bermula hari ini. Kem tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada murid-murid tahun 6 sebagai menghadapi alam remaja. Antara pengisian program tersebut ialah beberapa siri ceramah berkaitan cabaran zaman remaja, aurat dalam islam, batasan sosial dan perkara-perkara asas fardhu ain. Aktiviti bengkel turut diadakan bagi mengelakkan ketegangan peserta ketika kem berlangsung. Kem Akil Baligh 2011 akan berterusan sehingga hari Isnin minggu hadapan sebelum fasa ke-2 bermula iaitu Kem Klinik Solat dan Literasi Al-quran 2011. Tahniah diucapkan kepada Panitia Pendidikan Islam dan seluruh warga SK Teluk Medan. (laporan penuh : jqaf-sktm.blogspot.com)

APLIKASI EMEL DALAM PEMBELAJARAN

SKTM Rabu 28 September 2011.
Program Minggu ICT diteruskan pada hari ke-3 selepas ianya dilancarkan. Peserta yang terdiri daripada kelas pilihan didedahkan tentang penggunaan emel (email ) khususnya dalam pembelajaran masa kini. Eksplorasi dan bengkel penggunaan emel dalam pembelajaran disampaikan oleh Tn.Hj.Zainol Abidin b. Basri, Guru Penyelaras Bestari SKTM. Guru-guru yang tidak terlibat dengan waktu pengajaran turut hadir bagi memperolehi informasi berkaitan aplikasi emel dalam pembelajaran.

KPM TURUN PADANG

SKTM Rabu 28.09.2011.
SK Teluk Medan dikunjungi oleh rombongan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Perak yang diketuai oleh En.Mohamad Fauzi b. Mahson dari Unit NKRA KPM Putrajaya. Kunjungan tersebut bertujuan untuk mendapat maklum balas pengurusan akademik khususnya berkaitan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang dijalankan secara atas talian. Selain mengenalpasti masalah sistem, En.Mohamad Fauzi turut menerangkan beberapa penambahbaikan yang telah dilakukan oleh pihak kementerian bagi memudahkan pengisian data peperiksaan oleh lebih 4 juta pengguna sistem tersebut. Menurut beliau, jumlah pelayan (server) di kementerian telahpun ditambah di samping beberapa kemudahan pada sistem diubah agar lebih 'mesra pengguna'. Antara perkara yang dibangkitkan oleh guru-guru yang hadir pada perjumpaan tersebut ialah masalah tahap capaian internet yang perlahan dan tidak stabil menyebabkan proses pengisian data tidak dapat dilakukan dengan segera. Pada perjumpaan selama sejam itu, En.Mohamad Fauzi berjanji akan mengadakan perbincangan dengan pihak TM Net secepat mungkin agar sekolah mendapat perkhidmatan yang lebih baik bagi memudahkan pengurusan sekolah dan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. Turut hadir pada perjumpaan tersebut ialah En.Rashidy Mahzan ( Peg.maklumat KPM ), En.Mohd Ishak Muhammad (PP ICT JPN ), En.Rashid Shafie ( PP Sektor ICT JPN ), En.Ahmad Faizul Mat Yazid ( Pen.PPD Bahasa PPD Kerian ), En.Shaarani b. Saidin ( Pen.PPD Vokasional Teknik ), En.Mohamad Shah Ramli ( Guru Besar SKTM ), Tn.Hj.Hamid ( PKG Teluk Medan ) dan guru-guru SK Teluk Medan yang terdiri daripada Guru-guru Penolong Kanan, Setiausaha Peperiksaan, Guru Penyelaras Bestari, wakil guru mata pelajaran dan juru teknik ICT SK Teluk Medan.

Monday, September 26, 2011

EKSPLORASI PERISIAN MS POWER POINT

SKTM Selasa 27 September 2011.
Program Eksplorasi MS Power Point dan Bengkel Pembinaan Nota Pembelajaran Berasaskan MS Power Point mengisi program Minggu ICT 2011 hari ini. En.Nor Azizan Ramli selaku fasilitator memberikan beberapa info berkaitan perisian MS Power Point dan langkah-langkah pembinaan nota pembelajaran menggunakan perisian tersebut. Peserta bengkel yang terdiri daripada murid-murid tahun 6 membina nota pembelajaran bertemakan sejarah kemerdekaan negara secara berkumpulan. Bahan-bahan tersebut akan dipamerkan dan boleh digunakan oleh murid-murid lain sebagai nota pembelajaran.

GIMIK MINGGU ICT 2011

HARI PERTAMA MINGGU ICT 2011

SKTM Isnin 26.09.2011
Program hari pertama Minggu ICT 2011 berlangsung mengikut tentatif program. Program Eksplorasi dan Bengkel MS Word membuka tirai program Minggu ICT 2011. bagi merealisasikan objektif program, murid-murid tahun 6 dibenarkan membawa komputer riba milik keluarga ke sekolah sepanjang 2 minggu program berlangsung dengan kebenaran ibu-bapa mereka. Selain daripada diberikan info berkaitan, murid-murid juga menjalani bengkel bagi memahirkan mereka menggunakan perisian MS Word.

PELANCARAN MINGGU ICT 2011



SKTM Isnin 26 September 2011.
Pelancaran Minggu ICT 2011 berlangsung seperti yang dirancang. Majlis Pelancaran Minggu ICT 2011 dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Tn.Hj.Zainol Abidin b. Basri, Guru Penyelaras Bestari SKTM merangkap setiausaha perlaksanaan program seterusnya menerangkan beberapa perkara berkaitan objektif dan tentatif sepanjang 2 minggu program berlangsung. Majlis Pelancaran Minggu ICT 2011 disempurnakan oleh En.Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM. Dalam ucapannya, beliau berharap agar perkembangan dan kemudahan ICT yang terdapat di sekolah dapat digunakan sebaik mungkin bagi menjana kegemilangan diri. Pada akhir majlis, beliau turut melancarkan gimik Minggu ICT 2011 dan pelancaran Rekod Penggunaan Komputer Berkomputer SKTM. Rekod Penggunaan Komputer Berkomputer SKTM tersebut dibangunkan sendiri oleh En.Mohamad Shah b. Ramli dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sebelum diwartakan sebagai dokumen rasmi sekolah. Semoga Minggu ICT 2011 akan menjana kegemilangan warga SK Teluk Medan.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR 2011

SKTM Isnin 26.09.2011
Kenangan manis ketika berada selama 3 hari 2 malam di negeri pantai timur sukar dilupakan oleh sebahagian daripada warga SKTM yang mengikuti Lawatan sambil Belajar 2011. Rombongan yang disertai oleh 40 orang murid tahun 6 dan 10 orang guru itu menjelajah ke seluruh negeri Terengganu dan Kelantan. Antara tempat-tempat yang dilawati ialah Masjid Terapung, Masjid Kristal, kilang mencetak batik, pusat membuat keropok dan beberapa tempat menarik lain di kedua-dua buah negeri tersebut. Rombongan menginap di PCB Resort pada malam Ahad dan selamat sampai pulang pada tepat jam 12.00 tengah malam Isnin. ( fotografi Cikgu Jalil )

Friday, September 23, 2011

JAMUAN AIDILFITRI 1432



SKTM Jumaat 25 Syawal 1432.
Majlis Jamuan Aidilfitri 1432 / 2011 berlangsung penuh meriah. Mulai jam 10.00 pagi seluruh warga SKTM berkumpul di kantin sekolah bagi menyertai majlis jamuan berkenaan. Selain daripada kuih-muih, murid-murid turut dijamu dengan nasi ayam dan pelbagai juadah. Pada majlis tersebut juga, Ustaz Mohamad Shah Ramli guru besar SKTM berbesar hati untuk sama-sama menyambut 'hari jadi' 8 orang warga pendidik dan kakitangan sekolah yang lahir pada bulan September. Semoga majlis seumpama ini akan mengeratkan lagi silaturrahim dalam kalangan warga SK Teluk Medan. (foto)

PERHIMPUNAN PAGI JUMAAT

SKTM Jumaat 25 Syawal 1432.
Perhimpunan pagi Jumaat minggu 35 diisi dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pelbagai pertandingan sempena Minggu Bahasa Inggeris yang telah diadakan bulan lalu. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pn.Hidayat Azimah, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SKTM. Majlis turut diserikan dengan persembahan 'Action Song' murid-murid tahun 2B1 dan persembahan bercerita oleh johan kategori 'Story Telling'.

Thursday, September 22, 2011

ROYALTI KESETIAAN PELANGGAN PETRONAS

SKTM Khamis 22.09.2011
Lima wakil daripada Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petronas Perak hadir ke SK Teluk Medan bagi menyampaikan cenderamata kepada sekolah daripada persatuan berkenaan. Penyampaian cenderamata kepada beberapa buah sekolah merupakan sebahagian daripada aktiviti persatuan bersempena Program Royalti Kesetiaan Pelanggan Petronas 2011. Cenderamata tersebut disampaikan oleh En.Yazid b. Hj.Sulaiman, pengurus stesen minyak Petronas Jalan Taiping yang mewakili persatuan kepada guru besar SK Teluk Medan, Ustaz Mohamad Shah b. Ramli. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan jutaan terima kasih atas cenderamata yang diberikan. Semoga Allah memberkati.

4 in 1

SKTM Khamis 22.09.2011.
Mesyuarat 4 dalam 1 dijalan mulai jam 1.30 petang. Mesyuarat dimulakan dengan ucapan guru besar, Ustaz Moahammad Shah b. Ramli. Muqaddimah ucapan beliau memberikan motivasi agar warga pendidik meneruskan perjuangan mendidik anak-anak SK Teluk Medan ke mercu kegemilangan meskipun UPSR telah tamat. Mesyuarat Guru mendahului perbincangan dan iikuti oleh taklimat program ' Mai Baca ', Kem jati Diri 2011 dan Minggu ICT 2011 yang akan dijalankan pada minggu hadapan. Mersyuarat 4 dalam 1 tamat pada jam 3.30 petang.

Wednesday, September 21, 2011

PENUTUP BULAN KEMERDEKAAN KE-54


SKTM Rabu 21.09.2011
Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan Ke-54 mengisi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum mingguan. Pada majlis ini, warga SKTM berarak mengelilingi kampung Parit Gabis Atas dan Teluk Medan sambil mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada negara Malaysia. Tahniah diucapkan kepada semua warga SK Teluk Medan yang terlibat dengan perarakan ini. 1Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera. (FOTO)

Tuesday, September 20, 2011

WARDEN TRAFIK SEKOLAH


SKTM Rabu 21.09.2011
Penyerahan peralatan Warden Trafik Sekolah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM kepada wakil pengawal keselatan yang bertugas En.Hasan b. Ali. Mulai hari ini, pengawal keselamatan yang bertugas secara sukarela sebagai Warden Trafik Sekolah akan memakai uniform khas yang dibekalkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya Perak. Murid Didahulukan Keselamatan Diutamakan.

SUSU 1 MALAYSIA

SKTM Rabu 21 September 2011.
Program Susu 1Malaysia yang akan dinikmati lebih tiga juta pelajar sekolah rendah di 7,685 sekolah rendah kerajaan seluruh negara adalah sebahagian hasrat kerajaan untuk membina generasi baru yang lebih cerdas. Pelaksanaan program di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran itu, bukan setakat memperkenalkan program Susu 1Malaysia malah bermatlamat untuk mewujudkan generasi muda Malaysia yang kuat, sihat dan secara mentalnya lebih dinamik pada masa depan. Ia juga memberi kesan dan manfaat besar sekiranya setiap pelajar sekolah rendah dapat dididik untuk membiasakan diri meminum susu setiap hari. Seluruh murid SK Teluk Medan bertuah kerana mendapat impak daripada program kerajaan ini. Justeru mulai hari ini, semua murid SK Teluk Medan akan mendapat sekotak susu setiap hari sehingga bekalannya tamat pada fasa pertama.

KONSEP 5P

Strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Negara. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir.
PENGGABUNGJALINAN
Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran-kemahiran boleh digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam kemahiran berbahasa atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.
PENYERAPAN
Dalam pengajaran bahasa Melayu, unsur-unsur ilmu dan nilai-nilai murni juga boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai bidang ilmu seperti sains, matematik, sejarah, dan lain-lain.
PENGAYAAN
Program pengayaan perlu diberi penekanan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid ini hendaklah diberikan bahan yang berbeza-beza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan-bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad-kad kerja, permainan, dan bahan-bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran-kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.
PEMULIHAN
Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh masa yang ditetapkan. Bahan-bahan untuk program ini terdiri daripada kad-kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang lebih sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.
PENILAIAN
Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan suatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan. Dan setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid. Dengan cara yang sedemikian, selain mengetahui tahap pencapaian, kelemahan murid dapat dipulihkan sebelum kelemahan-kelemahan pembelajaran terkumpul di tahap yang lebih tinggi.

Monday, September 19, 2011

PAFA 2011

SKTM Selasa 20 September 2011.
Selepas bertungkus lumus menjalani UPSR minggu lalu, hari ini seramai 86 orang murid-murid tahun 6 menjalani pula Ujian Penilaian Asas Fardhu Ain ( PAFA ) yang sama pentingnya dengan UPSR. Ujian PAFA yang bermula hari ini akan berakhir esok. Selain daripada ujian bertulis, calon PAFA juga perlu menjalani ujian asas lisan seperti al-Quran dan hafazan. Seluruh warga SKTM mendoakan kejayaan anda semua.

MINGGU 34

SKTM Isnin 19 September 2011.
Perhimpunan mingguan diisi dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang beberapa pertandingan yang diadakan sempena minggu bahasa lalu. Hadiah-hadiah disampaikan oleh PK Pentadbiran, Pn.Hjh.Romlah bt. Salleh dan Guru Besar Ustaz Mohamad Shah b. Ramli. Pada sesi pembelajaran pula, Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan Bengkel Menjawab Soalan Peperiksaan PAFA kepada murid-murid tahun 6 yang bakal menduduki ujian tersebut bermula Selasa 20 September 2011. Dalam ucapan semasa perhimpunan mingguan, Ustaz Mohamad Shah menekankan akan kepentingan pembelajaran PAFA kepada semua murid-murid sebagai persediaan menghadapi alam remaja. Menurutnya lagi, Keputusan Ujian PAFA turut menjadi 'tiket' untuk melayakkan diri ke SMKA dan Kelas Rancangan Khas aliran agama.

Thursday, September 15, 2011

LAUNGAN MERDEKA

SKTM 15 September 2011.
Laungan " merdeka!merdeka!merdeka! " memecah kesunyian bangunan Blok A SK Teluk Medan yang sepi selama 3 hari. Meskipun laungan tersebut sepatutnya dilaungkan selepas jam 12.00 malam ini, namun bagi calon UPSR 2011 SK Teluk Medan itulah kalimat yang sudah lama terbuku dan perlu diluahkan pada hari ini tepat jam 1.00 petang. Kertas 2 Bahasa Inggeris menutup tirai Ujian Penilaian Sekolah Rendah 2011. Tahniah diucapkan kepada calon UPSR kerana berjaya menjalani UPSR 2011 dengan cemerlang. Namun diingatkan bahawa selagi hayat dikandung badan, tuntutan untuk menuntut ilmu belum berakhir. Murid-murid tahun 6 akan menghadapi Ujian Penilaian Asas fardhu Ain pula mulai 20.09.2011 pada minggu hadapan. Selamat maju jaya daripada seluruh warga SKTM.

Monday, September 12, 2011

UPSR 2011


SKTM 13.09.2011 Selasa 7.45 pagi.
Seramai 86 orang murid tahun 6 mula menduduki peperiksaan UPSR 2011 yang bermula hari ini. Sebelum memasuki dewan peperiksaan Guru Besar, PK Pentadbiran dan guru-guru tahun 6 sempat meluangkan masa bersama calon UPSR bagi memberikan bimbingan terakhir. Selepas memberikan sedikit motivasi terakhir, guru besar SKTM Ustaz Mohamad Shah b. Ramli memimpin bacaan doa memohon dimudahkan urusan dan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang. Seluruh warga SKTM mendoakan agar calon UPSR 2011 beroleh kejayaan dalam peperiksaan yang dihadapi. Peperiksaan UPSR 2011 yang bermula hari ini akan tamat pada hari Khamis 14 September 2011.

Dari facebook SK Teluk Medan



1MURID 1SUKAN

SKTM Isnin 12.09.2011
Program 1Murid 1Sukan bermula hari ini seperti yang diarahkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Program tersebut akan berlangsung sepanjang tahun bermula jam 4.00 hingga 5.00 petang setiap hari Isnin hingga Khamis. Kelab Sepak Takraw dan Kelab Bola Sepak mendahului kelab-kelab permainan lain bagi mengisi aturcara program tersebut. Badan Cergas Minda Cerdas.


Sunday, September 11, 2011

AMANAT DARI PUTRAJAYA


SKTM Isnin 12.09.2011.
Perhimpunan mingguan minggu 33 mencatat sejarah apabila Guru Besar SK Teluk Medan menyampaikan amanat khas untuk seluruh warga SKTM khususnya murid-murid tahun 6 yang akan menghadapi UPSR mulai esok melalui telefon bimbitnya. Beliau ketika menyampaikan ucapan berada dalam perjalanan ke Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menghadiri mesyuarat khas bahagian Pendidikan Islam KPM. Dalam ucapannya beliau berharap agar calon UPSR 2011 akan tabah dan tenang disamping bersungguh-sungguh ketika menghadapi peperiksaan UPSR esok. Beliau juga berharap agar semua guru-guru dan warga SKTM menadah tangan memohon rahmat Illahi agar calon UPSR dimudahkan ketika menjalani UPSR. Pada penutup perhimpunan pagi minggu ke-33, calon UPSR 2011 bersalaman-salaman sambil memohon restu guru-guru untuk menghadapi UPSR yang bermula esok.

Friday, September 9, 2011

STAF SOKONGAN

KETUA PANITIA MATA PELAJARAN

SIREH PULANG KE GAGANG

SKTM Jumaat 11 Syawal 1432 H.
Pengalaman selama seminggu dalam sidang Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) mungkin tidak dapat dilupakan oleh 6 orang guru pelatih yang ditempatkan di SK Teluk Medan. Kehadiran 4 orang guru pelatih tersebut bak sireh pulang ke gagang kerana ke empat-empat daripada mereka mendapat pendidikan rendah di SK Teluk Medan. Manakala dua daripada guru pelatih tersebut berasal dari kampung berhampiran dengan Teluk Medan. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan selamat belajar kepada kesemua guru pelatih yang tersebut. Semoga menjadi guru yang berketrampilan lagi dedikasi.

Thursday, September 8, 2011

FOTOGRAFI 2011



SKTM Jumaat 11 Syawal 1432.
Sesi fotografi guru-guru dan staf sokongan diadakan pada awal pagi sebelum pembelajaran bermula. Guru-guru dan staf sokongan hadir ke lokasi fotografi dengan memakai 'baju raya' seperti yang disarankan oleh pentadbir. Tahniah kepada seluruh warga kerja SKTM. Semoga ukhuwah yang terhasil menjana kecemerlangan dan kegemilangan SK Teluk Medan. (GALERI FOTO)

BACAAN YASIN UPSR 2011


SKTM Khamis 08.09.2011
Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin khusus untuk murid-murid tahun 6/2011 yang akan menghadapi UPSR minggu hadapan berlangsung seperti yang dirancang. Majlis yang bermula jam 6.00 petang dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Guru Besar, Al-fadhil Ustaz Mohamad Shah b. Ramli. Dalam ucapannya, beliau mengkalungkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ibu-bapa dan tetamu yang hadir bagi menjayakan program tersebut. Kehadiran dan sumbangan semua pihak menunjukkan komitmen masyarakat terhadap kelangsungan kegemilangan SK Teluk Medan. Majlis diteruskan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Al-fadhil Ustaz Hj.Ishak b. Napiah sebelum para tetamu dijamu dengan jamuan makan malam. Para tetamu dan murid-murid mengadakan solat hajat memohon agar diberkati dan dimudahkan Allah untuk menjalani UPSR selepas solat Maghrib dan kemudiannya membaca surah Yasin yang turut dipimpin oleh Ustaz Hj.Ishak Napiah. Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin UPSR 2011 diakhiri dengan solat Isyak berjamaah. Semoga majlis yang dianjurkan akan mendapat keberkatan Illahi disamping mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga SK Teluk Medan dan masyarakat setempat. (gambar-gambar)

Wednesday, September 7, 2011

LADAP 1MURID 1SUKAN

SKTM 07.09.211
LADAP 1Murid 1Sukan diadakan mulai jam 1.30 bertempat di Bilik Mesyuarat SKTM. LADAP disampaikan oleh Pn.Hidayat Azimah PK Kokurikulum, En.Che Aris S/U Sukan dan Pn.Hazirah. Pada LADAP tersebut, Pn.Hidayat Azimah telah membentangkan program yang telah disusun oleh Unit Kokurikulum sebagai pengisian Program 1Murid 1Sukan. Manakala En.Che Aris dan Pn.Hazirah membentangkan objektif dan cara perlaksanaan permainan yang dipilih.

Monday, September 5, 2011

KEPUNG UPSR 2011

SKTM Isnin 8 Syawal 1432 / 5 September 2011.
Program Kepung UPSR 2011 merupakan antara beberapa program ' Sense Of Urgency ' yang dilaksanakan bagi menghadapi UPSR minggu hadapan. Program akan berlangsung setiap hari mulai hari ini hingga Isnin minggu hadapan. Antara pengisian program adalah :
1.00 : Makan tengahari ( dibiayai oleh PIBG )
2.00 - 5.00 : Kelas Bimbingan UPSR
8.30 - 10.30 malam : Kelas Bimbingan UPSR
Seluruh warga SKTM mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada guru-guru yang terlibat, PIBG dan semua pihak yang menjayakan program ini. Semoga segala usaha diberkati Allah.