Friday, January 27, 2012

PEMBELAJARAN BERASASKAN TOV INDIVIDU

SKTM Jumaat 27 Januari 2012.
Ceramah Motivasi Kecemerlangan UPSR 2012 mengisi waktu akhir jadual hari Jumaat minggu ke-4. Ceramah motivasi yang melibatkan murid tahun 6 dan tahun 5 tersebut disampaikan sendiri oleh Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan. Fokus utama ceramah ialah penekanan terhadap pembelajaran berasaskan TOV individu murid yang bakal dilaksanakan secara serius mulai tahun ini. Melaluinya, murid bersama guru menentukan sasaran yang perlu dicapai dalam setiap ujian yang dihadapi sehingga peperiksaan sebenar iaitu UPSR pada bulan September nanti. Program pembelajaran berasaskan TOV tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat kepada murid tahun 5, tahun 4 sehinggalah ke tahun 1. Dalam ceramah tersebut juga, beliau turut mengimbas kembali kejayaan yang dicapai dalam UPSR 2011 dengan memaparkan wajah-wajah gemilang UPSR 2011 sebagai motivasi kepada calon UPSR 2012. Turut hadir ialah guru-guru penolong kanan, guru-guru tahun 5 dan guru-guru tahun 6.
( Jurufoto : Ustaz Omar Sabri )

Thursday, January 26, 2012

KELAB GURU DAN STAF SKTM


SKTM Khamis 26.01.2012
Penubuhan Kelab Guru dan Staf Sokongan SKTM bukan sahaja bermatlamat menjaga kebajikan ahli malahan turut bermatlamat menjaga kebajikan seluruh warga murid SKTM sekadar mampu. Atas visi dan misi tersebut, Kelab Guru dan Staf Sokongan telah menyumbangkan 2 buah basikal kepada keluarga Mohd.Shahrul b. Amat yang menghadapi masalah untuk hadir ke sekolah. Ayah kepada Mohd.Shahrul diserang angin akhmar kira-kira 2 tahun yang lalu menyebabkan keluarga mereka hilang pendapatan serta Mohd.Shahrul bersama 2 orang adiknya sering tidak dapat hadir ke sekolah akibat masalah pengangkutan. Sumbangan 2 buah basikal ini diharap akan menyelesaikan masalah keciciran dalam pelajaran Mohd.Shahrul dan adik-adiknya. Sumbangan disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shah Ramli. Guru Besar SK Teluk Medan. Turut hadir ialah En.Mohd Yusof Jamaluddin ( PK HEM ) dan Pn.Harina Zaniol ( Pengerusi Kelab Guru dan Staf SKTM ). Dalam pada itu, Ujian Pengesanan Dalaman Tahun 6 masuk hari ke-dua. Keputusan ujian ini akan menjadi asas kepada TOV individu murid serta sasaran yang harus dicapai oleh murid pada setiap kali peperiksaan yang dijalani. Ianya juga memberi maklumat kepada guru untuk menentukan halatuju serta kaedah, pendekatan dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.
( Untuk sumbangan kepada keluarga Mohd.Shahrul Amat sila hubungi/sms 0135211250 Ustaz Mohamad Shah Ramli )

Wednesday, January 18, 2012

KOKURIKULUM KALI PERTAMA 2012

SKTM Rabu 18.01.2012
Kegiatan Unit Beruniform membuka tirai aktiviti kokurikulum 2012. Antara aktiviti yang berlangsung hari ini ialah perlantikan jawatankuasa bagi sesi 2012, pengenalan unit beruniform dan latihan kawad kaki. Latihan kawad kaki turut dibimbing oleh En.Mohamad Jamil, Pengawal Keselamatan SKTM yang merupakan seorang bekas tentera. Aktiviti kokurikulum yang bermula jam 3.00 petang tamat pada jam 5.00 petang.

Tuesday, January 10, 2012

TALAQHI MUSAFAHAH


SKTM Selasa 10 Januari 2012.
Kaedah talaqhi, musyafahah dan tasmik merupakan kaedah teras dan tunjang dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran. Melaluinya, murid akan dapat mendengar cara sebutan dan bacaan secara terus melalui lisan guru. Murid kemudiannya akan membaca di hadapan guru dan sebarang kesalahan akan dibetulkan oleh guru serta merta. Inilah kaedah yang digunapakai oleh Jibril ketika menyampaikan wahyu kepada baginda Rasulullah SAW. Penggunaan kaedah ini amat berkesan dibuktikan apabila kadar buta al-Quran dalam kalangan murid SKTM semakin kurang kian hari. Dalam pada itu, bengkel penggunaan perisian MBMMBI dijalankan oleh Unit ICT SKTM hari ini kepada 10 orang murid tahun 5 yang bakal menjadi pembimbing kepada murid-murid lain. Program 1Murid 1Sukan yang bermula semalam diteruskan mulai jam 4 hingga 5 petang. Program 1 Murid 1 Sukan akan berlangsung setiap hari Isnin hingga Khamis sehingga tamat sesi persekolahan 2012. SKTM Penjana Pendidikan Cemerlang dan Gemilang.

Monday, January 9, 2012

PENDAFTARAN PRASEKOLAH DAN TAHUN 1/2012

PERHIMPUNAN RASMI PERTAMA SESI 2012

SKTM Isnin 9 Januari 2012.
Perhimpunan rasmi pertama sesi persekolahan 2012 berlangsung selama 30 minit. Pn.Harina Zaniol selaku guru bertugas mingguan mendahului ucapan pada perhimpunan tersebut. Turut memberi taklimat pada perhimpunan pagi ini ialah Pn.Hidayat Azimah ( PK Kokurikulum ) dan Hj.Zainol Abidin Basri ( Guru Penyelaras Bestari ). Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM turut menyampaikan ucapan. Dalam ucapan sulungnya, beliau berharap agar warga SKTM berusaha bersungguh-sungguh demi kecemerlangan diri dan nama baik sekolah. Perhimpunan tamat pada jam 8.10 pagi.

Friday, January 6, 2012

TRANSISI TAHUN 1 / 2012



SKTM Jumaat 6 Januari 2012.
Program Transisi Tahun 1/2012 SK Teluk Medan masuk hari ke-3. Sepanjang program berlangsung, murid-murid tahun 1 diperkenalkan dengan situasi dan budaya sekolah. Murid-murid turut dibawa meninjau persekitaran sekolah dan mengenalpasti kemudahan yang ada seperti pusat sumber, pejabat, surau, makmal komputer, pusat akses dan bilik-bilik khas yang lain. Antara tujuan Program Transisi Tahun 1 yang akan berlangsung selama 2 minggu adalah supaya :

1. Murid-murid dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran guru-guru dan kawan baru dalam masa yang singkat.

2. Guru-guru dapat menyelaraskan keperluan kognitif, emosi, kerohanian dan jasmani murid secara menyeluruh sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran secara formal di Tahun 1.

3. Meningkatkan minat dan semangat murid untuk datang ke sekolah tanpa banyak masalah.


SEMAKAN TAWARAN TINGKATAN 1 MRSM ULUL ALBAB 2012

Wednesday, January 4, 2012

HARI PERTAMA SESI PERSEKOLAHAN 2012


SKTM Rabu 4 Januari 2012.
Seperti tahun-tahun lalu, ibu bapa murid turut hadir ke perhimpunan mingguan pertama bagi mendengar taklimat pengurusan kelas oleh guru kepada anak-anak mereka. Sesi persekolahan 2012 memperlihatkan beberapa perubahan berkaitan kedudukan kelas dan jumlah bilangan kelas. Apapun pengajaran dan pembelajaran pada hari pertama berlangsung seperti yang direncana.