Wednesday, March 28, 2012

KURSUS KEPIMPINAN 2012

SKTM Rabu 28 Mac 2012.
Antara pengisian kegiatan kokurikulum minggu ke-13 persekolahan ialah Kursus Kepimpinan 2012. Peserta kurus berkenaan terdiri daripada pengawas sekolah, pemimpin unit beruniform dan persatuan, pengawas PSS dan ketua-ketua darjah bagi sesi 2012. Kursus Kepimpinan 2012 disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hanif Saburdin, guru PAI SKTM dan dianjurkan oleh Unit Bimbingan dengan kerjasama Unit HEM dan Unit Kokurikulum. Selama 2 jam, peserta kursus diberi pendedahan berkaitan ciri-ciri pemimpin dan kepimpinan yang cemerlang oleh penceramah.

Monday, March 26, 2012

MASTER CHEF

KEM KERIS GANGSA KERIAN 2012

SK Wawasan 22 Mac 2012.
Seramai 7 orang ahli Pengakap Kanak-kanak SKTM turut menyertai Kem Keris Gangsa Pengakap Kanak-kanak Daerah Kerian 2012. Kem yang berlangsung selama 3 hari 2 malam tersebut mendedahkan pelbagai aktiviti luar disamping melayakkan peserta untuk memperoleh pingat Keris Gangsa Pengakap Kanak-kanak. Pengakap kanak-kanak SKTM diterajui oleh Ustaz Omar, Cikgu Syamsol Amin dan Cikgu Roslee Musa. Pada minggu lalu juga, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama JPN Perak dan JPN Pulau Pinang telah menganjurkan Kem Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Muda 1Malaysia telah diadakan selama 3 hari 2 malam bertempat di Kuala Gula Sanctuary Resort. Empat orang murid SKTM telah dipilih untuk menyertai kem berkenaan mewakili daerah Kerian. Pada kem tersebut, seorang murid SKTM iaitu Muhammad 'Izzuddin b. Zainol Abidin (gambar kecil) telah dinobatkan sebagai peserta terbaik sekaligus dipilih untuk mewakili negeri Perak ke kem yang sama pada peringkat kebangsaan yang bakal diadakan pada bulan Mei nanti. Tahniah diucapkan. (foto fb)

KESUNGGUHAN MURID DIHARGAI



SKTM Isnin 25 Mac 2012.
Kesungguhan para atlit dan murid-murid yang menyertai pelbagai pertandingan sukan dalam menaik dan mengharumkan nama sekolah diberi penghargaan pada majlis perhimpunan pagi minggu ke-12. Samatelah pula, SKTM julung-julung kalinya membawa pulang piala pusingan Kejohanan Olahraga MSSD SR Daerah Kerian, Kejohanan Memanah MSSD dan piala pusingan Kejohanan Sepak Takraw Kelompok 2 Kerian. Pada majlis tersebut, para atlit dihadiahkan beberapa biji kek sebagai tanda penghargaan pihak sekolah kepada mereka. Dalam ucapan mingguan, guru besar mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan berharap agar kegemilangan tersebut terus dipertahankan dan berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi. Ustaz Mohamad Shah Ramli juga turut melancarkan Kempen Anti Ponteng yang bertemakan 'Jom Pergi Sekolah'. Kempen Anti Ponteng adalah kelolaan Unit HEM dan Unit Bimbingan SKTM. (lihat foto)

Saturday, March 24, 2012

KONVENSYEN DAN ANUGERAH PIBG CEMERLANG DAERAH KERIAN


SMK Abu Bakar Al-Baqir 22 Mac 2012.
Konvensyen dan Anugerah PIBG Cemerlang Daerah Kerian 2012 berlangsung mulai jam 3.00 petang. Konvesyen berkenaan dianjurkan bertujuan untuk mengikhtiraf PIBG sebagai sebuah badan NGO yang tidak kurang sumbangannya kepada pembangunan sekolah. Antara pengisian program ialah sesi ceramah motivasi yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan. Beliau menjelaskan beberapa peranan PIBG sekolah dalam membantu merealisasikan visi dan misi sekolah masing-masing disamping memberikan beberapa tips mudah menguruskan PIBG. Antaranya ialah memperkenalkan Aplikasi Kewangan PIBG Sekolah yang dibinanya sendiri yang boleh membantu meringankan tugas Bendahari PIBG serta mengelakkan penyelewengan tabung PIBG Sekolah. Konvensyen dan Anugerah PIBG Cemerlang Daerah Kerian 2012 dirasmikan oleh Dr.Abdullah Sani b. Yahaya yang mewakili YB Dato' Sham b. Mat Sahat, ADUN Alor Pongsu. Hadir pada konvensyen tersebut ialah Pn,Hjh.Omi Kalsom Mohammad (PPD Kerian), pegawai-pegawai PPD Kerian, pengetua-pengetua SM, guru besar-guru besar SR dan jawatankuasa PIBG sekolah-sekolah dalam daerah Kerian. Pada konvensyen tersebut, beberapa buah sekolah telah dipilih sebagai PIBG cemerlang bagi 4 kategori iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Sekolah Bandar dan Sekolah Luar Bandar. ( Foto Portal PPD Kerian )

Thursday, March 22, 2012

PEMANTAUAN ICT 2012 OLEH BTP

SKTM Khamis 22 Mac 2012.
SK Teluk Medan menerima kunjungan Dr. Dorothy, Penolong Pengarah Unit Bestari BTP Putrajaya bagi memantau pengurusan dan perlaksanaan program ICT sekolah. Pada kunjungan tersebut, peserta rombongan diberi taklimat oleh En.Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM berkaitan Program Peningkatan ICT SKTM yang telah dan bakal dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada beberapa aplikasi yang diperkenalkan oleh beliau seperti Rekod Kehadiran Guru dan Staf, Pengurusan Headcount, Analisis Ujian ABA3014, Analisis Guru Penyayang dan lainnya. Dr. Dorothy dan rombongan turut dibawa melawat ke Pusat Akses Sekolah, Makmal Bahasa dan bilik darjah untuk mengetahui status prasarana ICT yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Secara lisan, beliau berjanji akan mencadangkan kepada pihak kementerian untuk mempertingkatkan prasarana ICT yang hampir uzur di SKTM. Pada akhir kunjungan, satu sesi dialog berkaitan Program Peningkatan ICT Sekolah telah diadakan dengan En.Mohamad Shah Ramli. Guru Besar SKTM, En.Mohamad Shah b. Ramli merupakan salah seorang calon bagi kategori Tokoh Pengurusan ICT Sekolah peringkat kebangsaan sempena sambutan Hari Guru 2012. Turut hadir dalam rombongan berkenaan ialah En.Norazman b. Shah (Pen.Pengarah Unit ICT BTPN), En.Zainusham (Pusat Pembangunan Kurikulum) dan beberapa orang pegawai khas BTPN Perak. Semoga kunjungan akan merealisasikan visi dan misi ICT SK Teluk Medan.

KEM BESTARI SOLAT KALI KE-3 2012

SKTM Rabu 21 Mac 2012.
Kem Bestari Solat Kali ke-3 yang berlangsung mulai jam 1.00 petang melibatkan murid-murid tahun 1/2012. Pengisian kem tersebut menumpukan kepada perkara-perkara asas sebelum dan semasa solat khususnya rukun-rukun dan perbuatan solat. Kem Bestari Solat dikendalikan oleh guru-guru Pendidikan Islam dan j-QAF SKTM.

Tuesday, March 20, 2012

TAKLIMAT PENGURUSAN ICT


SKTM Selasa 20 Mac 2012.
Taklimat Pengurusan ICT Sekolah disampaikan oleh En.Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM. Taklimat menumpukan kepada beberapa program ict seperti Aplikasi Analisis Ujian, Pengurusan Headcount dan Aplikasi Guru Penyayang. Sementara itu Program Kecemerlangan UPSR yang bermula jam 2.30 petang diisi dengan Bengkel Menjawab Soalan Matematik. Ceramah dan bengkel disampaikan oleh Pn.Hafizah bt. Abdullah, guru Matematik SK Jalan Matang Buloh.

Friday, March 16, 2012

PEMANTAUAN ICT 2012

SKTM Jumaat 16 Mac 2012.
SK Teluk Medan dikunjungi oleh 3 pegawai Jabatan Pelajaran Perak bagi pemantauan dan khidmat bimbing perlaksanaan program peningkatan ICT sekolah dalam rangka membudayakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pegawai JPN Perak yang hadir ialah En.Abdul Rashid b. Shafie dan Tn.Hj.Hamdan b. Abu Bakar, Penolong Pengarah Pengurusan Maklumat dan En.Abdul Aziz b. Jamaluddin, Pegawai Khas BTPN. Dalam pertemuan tersebut, En.Mohamad Shah b. Ramli memberi taklimat ringkas berkaitan program peningkatan ICT sekolah manakala pihak JPN memberikan beberapa pandangan dan cadangan sebagai langkah penambahbaikan kepada program tersebut. Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah Tn.Hj.Hamid Idris (PKG Telok Medan), Tn.Hj.Zainol Abidin Basri (Guru Penyelaras Bestari SKTM) dan En.Mark Armandus (Juru teknik ICT SKTM). Kunjungan berakhir pada jam 12.30 tengahari.

Wednesday, March 14, 2012

PERKHEMAHAN TKRS DAERAH KERIAN 2012

SK WAWASAN Parit Buntar.
Perkhemahan TKRS daerah Kerian berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula 9 hingga 11 Mac 2012. Dua orang pemimpin TKRS SK Teluk Medan iaitu Mohamad Iqbal dan Umyar Tolhah turut menyertai perkhemahan tersebut. TKRS SK Teluk Medan diterajui oleh En.Mohammad Hanif Shabuddin.( foto PPD Kerian )

Thursday, March 8, 2012

WIRA-WIRAWATI OLAHRAGA MSSD KERIAN 2012


SMK ABU BAKAR AL-BAQIR Khamis 8 Mac 2012.
Laungan " SKTM Hebat " yang diasaskan oleh Tuan Guru Besar menjadi laungan utama pada hari penutup Kejohanan Olahraga MSSD Kerian 2012. Pasukan olahraga sekolah pimpinan Ustaz Yazid Rumbali, Pn.Maizon Koming dan Cikgu Che Aris terus menjulang nama SK Teluk Medan di pesada sukan daerah apabila diumumkan sebagai johan keseluruhan pada kejohanan tersebut. Pasukan olahraga SKTM telah memungut 3 pingat emas dan 2 pingat perak manakala adik Nur Arina Fariza dipilih sebagai olahragawati daerah Kerian bagi kategori 11 tahun. Seluruh warga SKTM mengucapkan tahniah kepada pasukan olahraga dan unit kokurikulum SK Teluk Medan.

APLIKASI UJIAN ABA3014

SKTM Khamis 9 Mac 2012.
Aplikasi Ujian ABA3014 merupakan program yang dibina oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli bagi memudahkan guru untuk membuat analisa item bagi tujuan pembelajaran yang lebih berfokus. Melaluinya juga, keputusan peperiksaan individu murid dianalisis secara automasi oleh komputer dengan terperinci. Taklimat penggunaan dan pengisian data pada Aplikasi Ujian ABA3014 disampaikan oleh Hj.Zainol Abidin Basri, Guru Penyelaras ICT SK Teluk Medan. Sementara itu, seluruh warga SKTM menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam kategori pengurusan dan profesional sebanyak 13 peratus.

Wednesday, March 7, 2012

KEJOHANAN OLAHRAGA MSSD KERIAN 2012


SMK Abu Bakar Al-Baqir 7 Mac 2012.
Pasukan olahraga SK Teluk Medan terus menempa nama pada Kejohanan Olahraga MSSD Kerian 2012 apabila berjaya membawa pulang 2 pingat emas dan 2 pingat perak pada hari ke-dua kejohanan tersebut. Nur Aina Fariza mendapat tempat pertama bagi acara 100m perempuan 11 tahun dan tempat ke-2 bagi acara 80m lari berhalangan. Manakala Umayr Tolhah Bushra mendapat tempat ke-2 bagi acara 100m 12 tahun lelaki. Pingat emas turut digondol oleh pasukan olahraga SKTM bagi acara 4X200m lelaki. Sementara itu, beberapa olahrawan dan olahragawati SKTM lagi akan bertanding diperingkat akhir esok ( Amirul Nazir:lompat tinggi, Norizati Rosli:lari berhalangan, Umayr Tolhah:200m lelaki, Firdaus Zulkiflu dan Amirul Nazir:200m, Intan Yusrina:200m dan 4X100m akhir ). Tahniah diucapkan kepada jurulatih dan pasukan olahraga SKTM.
( foto-foto )

MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-32


SKTM Rabu 7 Mac 2012.
Mesyuarat Agung PIBG SK Teluk Medan Kali Ke-32 yang bermula jam 2.30 petang disempurnakan perasmiannya oleh En.Kamaruddin b. Awang, Pegawai Tanah dan Daerah Kerian. Dalam ucapannya, beliau berharap agar ibu-bapa murid akan sentiasa memberi kerjasama yang padu kepada guru-guru dan pihak sekolah demi merealisasikan misi dan visi pendidikan negara khususnya misi dan visi SK Teluk Medan. Beliau turut menyatakan sokongan pihak Pejabat Daerah Kerian kepada program pendidikan sekolah-sekolah dalam daerah Kerian serta berjanji akan membantu dalam pelbagai lapangan yang diperlukan. Beliau turut menyampaikan replika cek Wang Bantuan Persekolahan 2012 untuk murid tahun 1/2012 yang ditangguhkan pada tahun lalu. Sebelumnya, Tn.Hj. Darham b. Bakri YDP PIBG SKTM turut menyampaikan hasrat yang sama dan berharap agar Mesyuarat Agung PIBG SK Teluk Medan Kali Ke-32 akan berlangsung penuh ukhuwah. En.Mohamd Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM turut menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Teluk Medan. Beliau menumpukan kepada kejayaan-kejayaan terkini sekolah dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Pada mesyuarat agung tersebut, Tn.Hj.Darham b. Bakri dilantik semula sebagai YDP PIBG SKTM bagi penggal 2012-2014. Manakala Ustaz Musa b. Ahmad dilantik sebagai NYDP PIBG menggantikan NYDP lama yang menarik diri. Umumnya, kesemua usul yang dicadang diterima tanpa perbahasan yang panjang. Selain cabutan bertuah, ibu-bapa yang hadir turut membawa pulang ole-ole 1kg gula pasir yang disumbang oleh Kelab Motorsikal Berkuasa Tinggi Selingsing. Turut hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG SKTM ialah En. Zainal b. Alias ( Penyelaras DUN Semanggol ), En.Mohd Nor b. Dawud ( Kelab Motorsikal Berkuasa Tinggi ) dan ketua-ketua kampung berhampiran.
( lihat foto )

Tuesday, March 6, 2012

ANALISIS UJIAN ABA3014



MUAT TURUN BORANG
KLIK DAFTAR PADA MENU UTAMA
ISI MAKLUMAT MENGIKUT LANGKAH-LANGKAH DINYATAKAN

MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-32

SEMUA DIJEMPUT HADIR
ATUR CARA :
2.00 petang : Pendaftaran.
2.30 petang : Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-32
3.00 petang : Mesyuarat Agung PIBG bermula.
4.30 petang : Penyampaian Wang Bantuan Persekolahan 2012 Tahun 1.
5.00 petang : Jamuan teh / bersurai

Sunday, March 4, 2012

GURU PENYAYANG

SKTM Isnin 5 Mac 2012.
Kehadiran Pn.Minah Ismail dan Syarifah Norhayati selaku guru bertugas mingguan bersama beberapa rakan guru di pintu pagar sekolah pada awal pagi untuk menyambut kehadiran anak didik membuktikan komited guru-guru SKTM terhadap Program Guru Penyayang yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Aktiviti menyambut murid ketika tiba di sekolah merupakan antara beberapa aktiviti yang disarankan dalam modul Program Guru Penyayang. Aktiviti lain yang bakal dilaksanakan ialah program mentor- mentee, sambutan hari lahir dan sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia. Apapun, program dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan ukhuwah dalam kalangan warga sesebuah sekolah demi keberkatan ilmu yang bakal murid perolehi.

Friday, March 2, 2012

TINTA BUAT MURID TERSAYANG : Hormati Guru Raih Keberkatan Ilmu

KISAH I

Pada suatu ketika Rasulullah saw. sedang mendirikan solat sunat dan Ibnu Abbas r.a. mengikutinya di belakang. Lalu, Nabi SAW. menarik tangannya sehingga ia berdiri tepat di samping kanan Rasulullah SAW. Sebagaimana tata cara solat berjemaah dengan satu makmum: posisi makmum tepat berada sejajar disamping kanan imam. Akan tetapi, Ibnu Abbas r.a. malah kembali mundur ke belakang dan solat di belakang baginda SAW.Selesai solat, Rasulullah SAW. bertanya kepada Ibnu Abbas r.a., "Mengapa kamu mundur ke belakang?"Ibnu Abbas r.a. menjawab, "Wahai Rasulullah, engkau adalah pesuruh Allah, bagaimana saya dapat berdiri sejajar denganmu?". Mendengar jawaban tersebut, Rasulullah mendoakannya agar ditambahkan ilmu dan kefahaman agama kepadanya. Ibnu Abbas r.a. sangat menghormati kedudukan Rasulullah SAW meskipun baginda SAW sepupunya sehingga ia melayani beliau dengan sepenuh hati. Keutamaan seorang murid yang menghormati gurunya dianjurkan oleh Rasulullah SAW, sebagaimana sabda beliau, "Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak menghormati orang yang tua, tidak menyayangi yang muda, dan tidak mengerti hak ulama kami." (HR Ahmad dan Hakim).

KISAH II


Imam Shafie amat menghormati Imam Malik (pengasas Mazhab Maliki) walaupun Imam malik sudah meninggal dunia. Sebab itulah bila dia menziarahi makam Imam Malik dia tidak berqunut semasa bersembahyang subuh ditepi makam Imam Malik. Ini kerana dalam Mazhab Maliki tiada qunut waktu subuh walaupun dalam Mazhab Shafie ada qunut sewaktu sembahyang Subuh. Imam Shafie juga memastikan dia tidak tidur dengan kakinya menghala kerumah Imam Malik sebagai menghormati gurunya itu. Pernah diriwayatkan lagi tentang perihal menghormati guru ini. Pada suatu hari, sedang Imam Shafie memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali. Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Shafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan menerpa badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihatkan perlakuan Imam Shafie sedemikian. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Shafie perihal kenapa dia memeluk badwi tersebut. Lalu Imam Shafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Shafie. Sekali lagi mereka bertanya tentang apakah yang diajarkan oleh badwi itu kepada Imam Shafie?
Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah, aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara ajning untuk mengawal kambing-kambing mereka. Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati gurunya itu.
Keunggulan Ibnu Abbas terserlah apabila beliau telah menghafaz 1660 hadis pada usia 13 tahun manakala Imam Syafie merupakan pengasas Mazhab Syafie yang menjadi ikutan ratusan juta umat islam abad ini. Semuanya adalah hasil keberkatan ilmu apabila guru dihormati.

TAKLIMAT PROGRAM GURU PENYAYANG


SKTM Jumaat 02.03.2012.
Taklimat Program Guru Penyayang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM. Antara konsep utama program tersebut ialah supaya guru mempunyai sifat keperdulian ( concern ) terhadap setiap perkara yang berkaitan muridnya ( every child matters ). Taklimat yang berlangsung selama 40 minit tersebut turut membentangkan draf cadangan program yang bakal dilaksanakan. Program Guru Penyayang merupakan program Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia yang bakal dilancarkan pada peringkat kebangsaan pada sambutan hari Guru 2012 oleh Menteri Pelajaran Malaysia. Sementara itu Unit ICT terus mengadakan bimbingan penggunaan perisian MBMMBI kepada murid-murid SKTM meskipun jumlah komputer yang boleh digunakan semakin berkurangan . Bimbingan kali ini melibatkan murid tahun 4B1 dan murid tahun 5B3. Dalam pada itu, pasukan bola sepak SKTM terus mara ke pusingan suku akhir setelah menduduki tangga ke-2 dalam kumpulan. Tahniah diucapkan.
(muat turun modul Guru Penyayang )

Thursday, March 1, 2012

PENCAPAIAN TERKINI


Pencapaian SKTM dalam kegiatan kokurikulum dan sukan amat membanggakan. Setelah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam acara memanah dan menjadi johan sepak takraw Kelompok 2 Kerian, seorang lagi murid SKTM iaitu Nur Husna bt Anuar melayakkan diri ke peringkat negeri bagi acara Boling Tenpin Perempuan Bawah 12 Tahun. Manakala Nurul Elmy bt.Bakar dan Muhammad 'Izzuddin akan bertanding di peringkat daerah bagi acara hafazan MTQ. bagi acara tilawah pula, Nur Hidayah Hanim dan Nur Izzat layak ke peringkat akhir daerah Kerian setelah memperoleh markah yang tinggi dalam ujian saringan tilawah MTQ kelmarin. Sementara itu, pasukan bola sepak terus mara ke pusingan seterusnya apabila berjaya menumpaskan beberapa pasukan lawan dalam pertandingan sebelumnya. Tahniah SKTM.