Beliau berkata, bonus sebulan itu sebagai tambahan kepada setengah bulan gaji yang sudah dibayar sebelum perayaan Aidilfitri yang lalu.  Bayaran bonus itu akan dibuat sebanyak dua kali iaitu setengah bulan pada bulan Disember ini manakala setengah bulan lagi pada Januari depan. 
"Sebagai kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Dari jumlah tersebut, setengah bulan telahpun diberikan menjelang Aidilfitri yang lepas," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini. 
Kerajaan pada Ogos lepas memberikan bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM500 kepada semua penjawat awam, manakala pesara menerima RM500 bagi menyambut Aidilfitri. 
Najib berkata, pemberian bonus terbabit diharap dapat mengurangkan beban penjawat awam terutamanya yang berkeluarga, bagi menghadapi musim persekolahan yang akan bermula Januari depan. - BERNAMA - (inti pati belanjawan 2013)