Thursday, August 30, 2012

MALIS PERSARAAN TN.HJ.ISHAK NAFIAH DAN EN.CHE HUSSIN B.ISHAK


SKTM 30 Ogos 2012.
Majlis Persaraan Tn.Hj.Ishak b. Nafiah (Guru Pend.Islam) dan En.Che Hussin b. Ishak (Ketua Pembantu Tadbir) berlangsung penuh nostalgik. Kedua-dua pegawai berkenaan tiba di SKTM bersama isteri dan ahli keluarga lalu diarak ke dewan sekolah dengan pukulan kompang dan bunga manggar. Pada majlis tersebut, En.Mustafa b. Hj.Abidin, Pen.PPD Menengah yang mewakili Tn.PPD Kerian menyampaikan watikah persaraan kepada Tn.Hj.Ishak b. Nafiah dan En.Che Hussin b. Ishak. Dalam ucapannya, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan PPD Kerian mengucapkan terima kasih diatas segala sumbangan yang kedua-dua pegawai berkenaan berikan sepanjang perkhidmatan mereka. Beliau juga berharap segala komitmen yang kedua-dua pegawai tunjukkan khususnya Tn.Hj.Ishak b. Nafiah kepada dunia pendidikan akan menjadi contoh kepada guru-guru yang masih berkhidmat. Majlis diakhiri dengan acara penyampaian cenderamata kepada Tn.Hj.Ishak b. Nafiah dan En.Che Hussin b. Ishak dan jamuan tengahari. Ketika pulang, kedua-dua pegawai diarak sekali lagi dengan sebuah kenderaan pacuan 4 roda sehingga ke rumah masing-masing. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tn.Hj.Abd.Rahman b.Abd.Hamid (Penyelia Kanan P.Islam PPD), En.Hasbullah Ahmad (PPD j-QAF), Tn.Hj.Shaari Hassan (Penyelia P.Islam), YDP dan AJK PIBG, AJK Persatuan Pembantu Tadbir dan rakan-rakan yang akrab dengan Tn.Hj.Ishak b. Nafiah dan En.Che Hussin b. Ishak. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan selamat bersara kepada Tn.Hj.Ishak b. Nafiah dan En.Che Hussin b. Ishak. ( lihat foto-foto persaraan )
( lihat video imbasan Tn.Hj.Ishak Nafiah )
( lihat video imbasan Pak Hussin )

Wednesday, August 29, 2012

RUMAH TERBUKA AIDILFITRI SKTM 1433H/2012



SKTM Rabu 29 Ogos 2012.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1433H SK Teluk Medan berlangsung penuh meriah. Murid-murid dan guru-guru dijamu dengan beraneka kuih raya dan juadah. Majlis sambut turut diserikan dengan persembahan tarian oleh kumpulan tarian murid-murid tahun 6 dibawah bimbingan Sir Ash dan Teacher Siti Zubaidah. ( lihat foto )

Monday, August 27, 2012

SELAMAT BERSARA

Che Hussin b. Ishak yang lebih sinonim dengan panggilan Pak Hussin oleh warga SK Teluk Medan telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pembantu Tadbir SK Teluk Medan pada 24 Ogos lalu. Che Hussin b. Ishak mendapat pendidikan awal di SK Sungai Kecil Hilir dan kemudiannya pendidikan menengah di SM Bandar baharu, Kedah Darul Aman. Berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia, anak bongsu daripada 9 orang adik beradik ini memulakan kariernya sebagai seorang kerani di SJKC Kay Sin, Bukit Mertajam mulai Januari 1974. Selama 38 tahun berkhidmat di Kementerian Pelajaran Malaysia, Che Hussin b. Ishak telah berkhidmat di lapan buah sekolah yang antaranya ialah SJKC Tanjong Piandang, SM Panglima Bukit Gantang, SK matang Gerdu, SM Abu Bakar Al-baqir, SK Arau Rendang, SK Gunong Semanggol dan berakhir di SK Teluk Medan. Sepanjang perkhidmatan Che Hussin b. Ishak di Kementerian Pelajaran Malaysia, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 1997, tahun 2005 dan terkini pada tahun lalu 2011. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan terima kasih kepada En.Cik Hussin b. Ishak atas segala sumbangan yang diberikan sepanjang perkhidmatan di SK Teluk Medan. Semoga segala sumbangan yang diberikan akan dikira sebagai ibadah serta mempunyai nilai di sisi Allah SWT. Namun begitu, majlis persaraan beliau akan dilaksanakan pada 30 Ogos 2012 nanti serentak dengan majlis persaraan Tn.Hj.Ishak b. Nafiah, Guru Pendidikan Islam SK Teluk Medan. Selamat bersara dan maaf zahir batin.

Sunday, August 26, 2012

KEPUNG 2 UPSR 2012

SKTM 8 Syawal 1433H / 26 Ogos 2012..
Tika anak-anak SKTM lain masih menyambut kemeriahan Aidilfitri, sebahagian guru-guru bersama murid-murid tahun 6 sudah berada di sekolah sebagai persiapan menghadapi UPSR beberapa minggu lagi. Program Kepung UPSR 2/2012 merupakan antara beberapa program ' Sense Of Urgency ' yang dilaksanakan bagi menghadapi peperiksaan UPSR. Program pecutan akhir ini berlangsung setiap hari Rabu lalu dan berakhir hari ini Ahad 8 Syawal 1433H. Seluruh warga SKTM mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada guru-guru yang terlibat, PIBG dan semua pihak yang menjayakan program ini. Semoga segala usaha diberkati Allah. ( lihat foto fb Sir Ash )

Thursday, August 16, 2012

MAJLIS PENUTUPAN EHYA RAMADHAN 1433H



 SKTM Khamis 27 Ramadhan 1433H.
Majlis Penutupan Ehya Ramadhan 1433H disempurnakan oleh Al-fadhil Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Mudir SK Teluk Medan. Dalam ucapannya, Al-fadhil berharap agar program yang telah dijalankan selama sebulan tersebut akan dapat dihayati dan direalisasikan dalam kehidupan seharian biarpun Ramadhan hampir berlalu. Sebelumnya, Al-fadhil Ustaz Yusof Shouib selaku pengerusi pengelola program mengucapkan tahniah kepada seluruh warga SKTM yang menjayakan program tersebut. Pada majlis tersebut  Al-fadhil Ustaz Mohamad Shah b. Ramli turut menyampaikan hadiah kepada peserta yang berjaya didalam pertandingan-pertandingan yang dilaksanakan bersempena program berlangsung. Pada majlis tersebut juga, seramai lebih 30 orang anak yatim dan murid miskin turut menerima sumbangan wang dan beras daripada pelbagai pihak. Majlis diakhiri dengan sesi bermaaf-maafan dan penyampaian 'duit raya' daripada guru-guru kepada murid-murid SKTM. Selamat menyambut hari raya Aidilfitri dan maaf zahir batin.

Monday, August 13, 2012

IFTHAR STAF SKTM 1433H





SKTM 24 Ramadhan 1433H.
Majlis Ifthar Ramadhan Staf SKTM 1433H diadakan sebagai penghayatan Ramadhan dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan staf SK Teluk Medan. Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa yang dipimpin oleh Tn.Hj.Ishak b. Napiah guru Pendidikan Islam SKTM. Staf yang hadir turut membawa ahli keluarga bersama pada majlis tersebut. Majlis bersurai selepas solat maghrib. Pada sebelah pagi, murid-murid tahun 6 telah menduduki Ujian PraUPSR. Ujian tersebut akan berlangsung sehingga hari Rabu. ( lihat foto ifthar )

Friday, August 10, 2012

PROGRAM EHYA RAMADHAN 1433H




SKTM 21 Ramadhan 1433H.
Program Ehya Ramadhan 1433H berlangsung seperti yang dirancang. Antara pertandingan yang berlangsung hari ini ialah Pertandingan Azan dan Iqamah, Bercerita dari Al-quran, Hiwar, Hafazan, Tilawah, Wirid dan Pertandingan Mewarna ( tahap 1 ). Pertandingan tersebut dilaksanakan bagi memantapkan kemahiran murid dalam bidang berkenaan disamping mengamal dan menghayati cara hidup islam seperti dituntut syarak.  Kesemua pertandingan berlangsung serentak mulai jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 10.30 pagi.( lihat foto )

Wednesday, August 8, 2012

PENDAFTARAN PRASEKOLAH KPM SESI 2013


PERJUMPAAN DENGAN WARIS CALON UPSR 2012


SKTM Khamis 20 Ramadhan 1433H.
Demi keberkatan 10 akhir Ramadhan, pihak sekolah telah mengadakan majlis pertemuan dengan ibu-bapa murid tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada bulan hadapan. Paja majlis tersebut, Ustaz mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM membentangkan pencapaian akademik semasa dengan memberin tumpuan kepada analisis Peperiksaan Percubaan UPSR 2012 yang lalu. Beliau turut membentangkan beberapa program peningkatan UPSR yang akan berlangsung sebagai Pecutan Akhir UPSR 2012 serta turut meminta kerjasama ibu-bapa untuk mengawasi anak-anak pada saat akhir sebelum peperiksaan demi meningkatkan pencapaian UPSR 2012. Pada majlis tersebut juga, ibu-bapa yang hadir turut berpeluang bersemuka dengan guru-guru tahun 6 untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka secara lebih terperinci. Kehadiran ibu-bapa yang melebihi 95% membuktikan komitmen yang tinggi serta menggambarkan pencapaian sebenar UPSR 2012. Tahniah diucapkan atas sokongan semua pihak. SKTM Menjana Pendidikan Generasi Cemerlang dan Gemilang. ( lihat foto )

Thursday, August 2, 2012

MOTIVASI KECEMERLANGAN DIRI

SKTM Jumaat 14 Ramadhan 1433H.
Motivasi Kecemerlangan Diri disampaikan oleh En.Abd.Aziz b. Jamaludin, Pegawai Teknologi Pendidikan BTPN Perak. Dalam ceramahnya, beliau memberikan beberapa tips untuk menjadi pelajar yang berjaya disamping mendedahkan beberapa individu yang berjaya serta rahsia kejayaan mereka. Pada akhir majlis, peserta yang terdiri daripada murid tahun 5 dan 6 berpeluang bersalaman dengan En.Abd.Aziz Jamaludin. Ceramah motivasi yang bermula jam 9.00 pagi berakhir pada jam 11.00 pagi.( lihat foto )

MAJLIS PENUTUPAN BULAN MEMBACA 2012



SKTM 14 Ramadhan 1433H / 3 Ogos 2012.
Majlis Penutupan Bulan Membaca 2012 SK Teluk Medan disempurnakan oleh En.Abd.Aziz b. Jamaludin, Pegawai Teknologi Pendidikan BTPN Perak. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan setinggi penghargaan dan tahniah kerana SKTM merupakan antara sekolah yang terawal melaksanakan program tersebut. Beliau turut berharap agar budaya membaca dapat diteruskan sepanjang hayat bukan hanya bulan-bulan tertentu demi kemajuan diri dan umat Malaysia amnya. Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang bagi pertandingan yang berlangsung sepanjang Bulan Membaca 2012 SKTM.Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tn.Hj.Hamid b. Idris, Penyelaras PKG Telok Medan bersama kakitangannya.( lihat foto )