Wednesday, October 31, 2012

KURSUS VLE FROGASIA R2


SMK Mudzaffar Shah 31 Oktober 2012.
Kursus VLE Frogasia R2 yang berlangsung di makmal komputer SMK Mudzaffar Shah, Semanggol masuk hari ke-2. Kursus yang bermula semalam tersebut melibatkan guru-guru Penolong Kanan, Ketua Panitia Mata Pelajaran, SU Sukan dan 4 orang murid tahun 5. Pada kursus tersebut, peserta didedahkan dengan beberapa perkara asas berkaitan program tersebut yang akan mula dilaksanakan mulai tahun 2013. Kursus dikendalikan oleh kakitangan Frogasia.

Tuesday, October 30, 2012

GRADUASI KHATAM AL-QURAN 1433H


MAJLIS KHATAM AL-QURAN 1433H/2012



SKTM Selasa 30.11.2012.
Seramai 135 murid SK Teluk Medan yang telah khatam Al-quran diraikan dalam Majlis Khatam Al-quran 1433H/2012. Peserta Majlis Khatam Al-quran tersebut diarak ke dewan sekolah dengan bunga manggar dan paluan kompang. Pada Majlis Khatam Al-quran tersebut Al-fadhil Tn.Hj.Ishak b. Nafiah, mantan guru Pend.Islam yang telah bersara Ogos lalu meluangkan masa bersama peserta dan telah menjadi khalifah pada majlis tersebut. Majlis Khatam Al-quran 1433H disempurnakan perasmiannya oleh En.Yusof b. Jamaluddin, PK HEM yang mewakili Tuan Guru Besar yang tidak dapat hadir kerana berkursus. Pada akhir majlis, para peserta Majlis Khatam Al-quran telah diberikan sijil penyertaan dan buah tangan daripada pihak sekolah. Tetamu dan murid SKTM turut dijamu dengan nasi berlaukkan daging sembelihan korban yang berlangsung semalam. Tahniah kepada semua yang menjayakan. (lihat foto)

Monday, October 29, 2012

KORBAN AKIKAH 1433H


SKTM Isnin 13 Zulhijjah 1433H.
Majlis Korban dan Akikah berlangsung seperti yang dirancang. Seperti tahun lalu, Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM mengetuai program penyembelihan tersebut yang bermula awal pagi. Atas kerjasama yang baik daripada warga SKTM, proses melapah dan memotong daging berlangsung pantas tanpa mengganggu Peperiksaan Akhir Tahun 2012 yang bermula hari ini. Lebih 20 orang murid daripada keluarga miskin menerima sumbangan daging daripada peserta korban manakala selebihnya akan dimasak untuk jamuan Majlis Khatam Al-quran 1433H yang akan berlangsung esok 14 Zulhijjah 1433H. Semoga korban yang dilaksanakan diterima Allah SWT. (lihat foto)

Tuesday, October 23, 2012

KLINIK FUTSAL 2012


SKTM Rabu 24 Oktober 2012.
Klinik Futsal dan Pertandingan Futsal 2012 mengisi program Post UPSR 2012. Program dikendalikan oleh Cikgu Che Aris, Cikgu Syamsul Amin dan Sir Ash. Pada klinik tersebut, murid tahun 6 didedahkan dengan teknik dan undang-undang permainan futsal. Manakala pada akhir program, pertandingan futsal antara kumpulan murid diadakan. Sementara itu, program Minggu ICT 2012 masuk hari ke-4. Antara aktiviti hari ini ialah Pertandingan Menamakan Kompenan Komputer.

MOTIVASI BAHASA ARAB KEM MEMBACA 1MALAYSIA


SKTM Rabu 24.11.2012
Ceramah Motivasi Bahasa Arab disampaikan oleh Al-fadhil Ustaz Muhammad Attahiri Al-maghribi. Beliau merupakan salah seorang guru bahasa Arab kontrak yang berkhidmat di SMABK Ehya As-syariff, Gunung Semanggol, Perak. Dalam ceramahnya, beliau menekankan kepentingan belajar bahasa Arab dan beberapa tips mudah belajar Arab. Yang menariknya, Ustaz Muhammad Attahiri fasih berbahasa Melayu meskipun baharu datang ke Malaysia. Dalam pada itu, Kem Membaca 1Malaysia berlangsung seperti yang dirancang. Antara pengisiannya ialah kuiz dan ceramah teknik membaca dan membina nota teknik peta minda. Kem Membaca 1Malaysia dikendalikan oleh Unit PSS manakala Ceramah Motivasi Bahasa Arab dikendalikan oleh Panitia Pendidikan Islam dan j-QAF.

Monday, October 22, 2012

TAKLIMAT KSSR DAN PBS TAHUN 3

SKTM Selasa 23 Oktober 2012.
Taklimat KSSR dan PBS Tahun 3 bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris disampaikan oleh Pn.Amnah selaku ketua Panitia Bahasa Inggeris. Turut mendengar taklimat ialah Miss Shea Seaborn, guru pembimbing MBMMBI yang baharu bagi SKTM. Beliau menggantikan Miss Magharet yang bertukar ke daerah lain bagi sesi 2013. Pada perjumpaan tersebut, guru-guru bahasa Inggeris SKTM turut berpeluang beramah mesra dengan beliau disamping bertukar-tukar pengalaman. Beliau yang berasal dari Amerika akan berada di SKTM sebagai pembimbing bagi program MBMMBI.

PELANCARAN MINGGU ICT 2012









SKTM Selasa 23.11.2012.


Majlis Pelancaran Minggu ICT 2012 disempurnakan oleh Pn.Hjh.Romlah bt. Salleh, PK Pentadbiran SKTM. Antara aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang minggu ICT ialah eksplorasi VLE Frogasia, eksplorasi emel, MS Office, Pertandingan Dashboard Frogasia, Menaip Pantas, Membina Nota PPT dan mewarna menggunakan perisian paint. Program akan berlangsung selama 2 minggu sehingga 2 November 2012. .Turut hadir pada majlis Pelancaran Minggu ICT 2012 SKTM ialah Tn.Hj.Hamid b. Idris, Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Telok Medan dan En.Mukhris, Juruteknik ICT PKG Telok Medan. (LIHAT FOTO)

Saturday, October 20, 2012

KEM JATI DIRI 2012 HARI KE-2


SKTM Sabtu 20.11.2012
Kem Jati Diri 2012 hari ke-2 diisi dengan beberapa program lagi. Antaranya ialah qiamullail, senamrobik, merentas desa, pertandingan reka cipta daripada bahan terbuang dan pertandingan memasak. Rata-rata peserta kem berpendapat bahawa aktiviti kem memberi manfaat kepada mereka serta merupakan pengalaman manis sebelum meninggalkan SKTM. Pada penutupan kem, Pn.Hidayat Azimah Suhaimi, PK Kokurikulum berharap agar kem tersebut akan dapat membina jati diri peserta terutamanya ketika mengendalikan program seumpama itu ketika di sekolah menengah nanti. Para peserta kem turut mendapat hadiah yang disampaikan oleh En.Noharuddin Ishak selaku Pengerusi kem Jati Diri 2012 dan En.Syamsul Amin yang merupakan penyelaras aktiviti Kem Jati Diri 2012.Tahniah kepada semua peserta dan guru-guru SKTM. (lihat foto)

KEM JATI DIRI 2012


SKTM Jumaat 19.10.2012.
Antara program yang mengisi hari pertama Kem Jati Diri 2012 ialah acara sukaneka, majlis bacaan Yasin, kuliah Maghrib dan Malam Kebudayaan. Kem Jati Diri 2012 disertai oleh murid tahun 6 dengan dibiayai sepenuhnya oleh pihak sekolah. Kem tersebut akan berlangsung selama 2 hari 1 malam bertujuan bagi mendedahkan murid-murid tahun 6 dengan bentuk kegiatan berfaedah sebagai persediaan melangkah ke alam remaja. Antara program lain yang dirancang ialah qiamullail, kuliah subuh, senamrobik, merentas desa, pertandingan memasak, dan latihan kawad kaki. (lihat foto)

BENGKEL VLE R1


SKTM Jumaat 19 Oktober 2012.
Bengkel VLE Frogasia R1 berlangsung di Makmal Komputer SKTM sebagai persediaan awal sebelum Bengkel Champion School R2 diadakan pada penghujung bulan Oktober. Bengkel tersebut melibatkan guru-guru penolong kanan, ketua panitia mata pelajaran teras dan 4 orang murid tahun 5 yang akan menjadi fasilitator kepada guru-guru dan murid SKTM. Bengkel disampaikan oleh Hj.Zainol Abidin Basri, GPB SKTM.

Friday, October 12, 2012

JOHAN CATUR DAERAH KERIAN BAWAH 11 2012




Penglibatan SKTM dalam arena catur tidak sia-sia apabila adik Muhammad Izham Wafi telah mendapat tempat pertama kategori bawah 11 tahun pada Program Pembangunan Catur Daerah Kerian yang berlangsung minggu ini. Sementara itu 20 orang murid SKTM yang telah tamat al-Quran telah diraikan dalam Majlis Graduasi dan Khatam Al-quran Daerah Kerian yang berlangsung Khamis lalu di Dewan Serbaguna Taman Serai Permai, Bagan Serai. Majlis disempurnakan oleh Tn.Hj.Tarmizi Shaari, Pegawai Tadbir Agama Daerah Bagan Serai (lihat foto PPD)

Wednesday, October 10, 2012

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2013-2025


Sebagai gantian kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang dilancarkan oleh YAB Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007. YAB Tan Seri Hj. Muhyiddin b. Yasin, Menteri Pelajaran Malaysia menjelaskan semasa pembentangan pelan PPP bahawa ia dirangka menerusi jelajah dialog di seluruh negara dimana 7,039 syor diterima dan 12,000 peserta ambil bahagian. Selain itu sebanyak 156 memorendum diterima dari pelbagai individu dan pertubuhan. YAB Tan Seri Hj. Muhyiddin b. Yasin menyifatkan  PPP adalah satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan harapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.
Menurut beliau pelan itu sasarkan enam aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi-bahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.
Pelan ini berbeza daripada laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Kementerian dimaklumkan oleh Panel Penilai Bebas Antarabangsa bahawa kajian semula sistem pendidikan ini telah dilakukan dengan amat teliti dan kualiti analisanya menepati standard antarabangsa.
Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa:
Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal. Selain itu Kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana, termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun, berbanding enam tahun. Peperiksaan UPSR pada 2016 akan mengandungi 80% soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.
2. Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris:
Kementerian akan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai standard ditetapkan akan mengikuti latihan intensif. Modul Sastera Inggeris akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah. Bagi memantapkan penguasaan Bahasa Malaysia pula, Kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi semua sekolah jenis kebangsaan. Dengan perlaksanaan kurikulum ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsaan akan dimansuhkan mulai 2017. Kerajaan juga akan menggalakkan murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, India, Tamil, Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.
3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai:
Bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan murid dalam usaha membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu, Kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role-play), simulasi, perbincangan dan tugasan dalam kumpulan kecil. Bagi murid bukan Islam, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji membolehkan murid bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar.
4. Meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan:
Kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan mensasarkan hanya 30 peratus teratas dari kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion perguruan. Bagi guru-guru yang sudah ada dalam sistem, Kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya mereka. Guru berprestasi tinggi berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada Gred DG14 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun.
5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah:
Kementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai 2013. Kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan:
Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (Si-Partners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Jurulatih-jurulatih berkenaan akan memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah. Satu projek perintis akan dilaksanakan di Sabah dan Kedah mulai Januari 2013 sementara perlaksanaan di seluruh negara bermula Januari 2014.
7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran:
Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui perlaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung 2013. Dalam masa terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk perlaksanaan pembelajaran secara interaktif.
8. Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran:
Struktur organisasi Kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih dan lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD yang akan terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah.
9. Memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta: 
Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) untuk membolehkan ibubapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Kementerian juga akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang 2025 dan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai penganjur.
  
10. Memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan:
Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah setiap tahun, Kementerian akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
  
11. Meningkatkan Ketelusan akauntabiliti awam:
Semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian.  Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif pelan ini akan ditertbitkan utntuk tatapan umum mulai 2013.
  
Kesimpulan:
Sekiranya semua 11 anjakan dalam pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh 13 tahun akan datang, Malaysia akan menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu daripada sistem yang berfokuskan akses, kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti. Kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan untuk memacu perlaksanaan pelan ini.

Monday, October 1, 2012

KEM PEMANTAPAN AL-QURAN


SKTM Selasa 2 Oktober 2012.
Kem Pemantapan Al-Quran dan Pertandingan Pakaian Beragam Berasaskan Surat Khabar Lama mengisi program Post UPSR 2012. Kem Pemantapan Al-Quran yang dilaksanakan mulai awal pagi bertujuan untuk memantapkan lagi bacaan al-Quran dalam kalangan murid tahun 6. Melaluinya juga murid-murid yang telah khatam al-Quran membimbing rakan-rakan lain yang belum mahir membaca al-Quran. Program dikendalikan oleh guru Pendidikan Islam manakala Pertandingan Pakaian Beragam Berasaskan Surat Khabar Lama dikendalikan oleh guru-guru tahun 6.(lihat foto)

THE TINY THIMBLE

SKTM Selasa 2 Oktober 2012. 
Teknik lakonan semasa pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja menarik minat murid malahan dapat mengasah bakat serta membina keyakinan murid untuk tampil aktif dalam sesi pembelajaran. Semuanya bertujuan agar objektif pembelajaran lebih mudah dicapai. Pn.Siti Zuraidah Zubir bersama Sir Ash ( Team Teaching ) melaksanakan "Role Play The Tiny Thumble" semasa sesi pengajarannya di kelas 1B1. Turut hadir menyaksikan sesi lakonan tersebut ialah Miss Margaret MBMMBI.(lihat foto)

MASTER CHEF TAHUN 6/2012


SKTM Isnin 1 Oktober 2012.
Pertandingan menyediakan sandwich merupakan antara program yang dirancang bagi mengisi Program Post UPSR 2012. Pertandingan tersebut terbuka kepada semua murid tahun 6 mengikut kumpulan-kumpulan yang telah ditetapkan oleh guru. Pertandingan berlangsung di dewan sekolah mulai jam 11.00 pagi dan masa yang diberikan untuk menyiapkan hidangan ialah selama sejam. Pertandingan tersebut bukan sahaja dapat mencungkil dan mengasah bakat murid dalam bidang penyediaan makanan malah dapat menanamkan sifat bekerjasama dalam kalangan murid-murid. Program dikendalikan oleh guru-guru tahun 6. Tahniah diucapkan. (foto master chef 2012)

POST UPSR 2012

SKTM Isnin 1 Oktober 2012.
Ceramah bertajuk "Cabaran Awal Remaja" membuka tirai Program Selepas UPSR 2012. Ceramah disampaikan oleh En.Khairul faisal b. Abd.Latif, Pembantu Perubatan Pusat Kesihatan Bagan Serai. Dalam ceramahnya selama 2 jam, beliau menerangkan beberapa ciri awal remaja dan beberapa cabaran serta cara mengatasinya cabaran tersebut. Sementara itu, SKTM menerima cenderamata berupa sebuah plak kaca pagi ini daripada YEAHHOST Sdn.Bhd iaitu syarikat yang mengendali program membina laman web sekolah.