Wednesday, January 30, 2013

PELANCARAN KELAB RUKUN NEGARA SK TELUK MEDAN


SK Teluk Medan, Rabu 30 Januari 2013.
Majlis Pelancaran Kelab Rukun Negara SK Teluk Medan berlangsung penuh meriah. Antara pengisian pada hari pelancaran kelab tersebut ialah acara 'Rukun Negara Idol'. Pada acara tersebut, beberapa pertandingan diadakan iaitu Pertandingan Mendeklamasi Sajak, Pertandingan Mewarna dan Nyanyian Lagu-lagu Patriotik. Pelancaran Kelab Rukun Negara SK Teluk Medan disempurnakan oleh En.Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi pertandingan-pertandingan yang diadakan. Kelab Rukun Negara yang diwujudkan di sekolah‐sekolah akan melaksanakan pelbagai aktiviti yang berteraskan kepada pengukuhan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan (4P) Rukun Negara di kalangan murid. Selain daripada matlamat untuk memperkenal dan menyedarkan murid tentang kepentingan Rukun Negara, kelab ini juga akan dijadikan sebagai salah satu strategi utama ke arah pengukuhan semangat
perpaduan dan integrasi nasional di kalangan murid pelbagai kaum. ( lihat foto )

Friday, January 25, 2013

SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1434H

SKTM Jumaat 13 Rabiulawal 1434H.
Antara pengisian Majlis Sambutan Maulidurrasul 1434H SK Teluk Medan ialah ceramah agama, deklamasi sajak dan persembahan nasyid daripada beberapa orang murid SKTM. Ceramah Maulidurrasul SAW disampaikan leh Tn.Hj.Yazid b. Rumbali, Ketua Panitia j-QAF SKTM. Selain daripada menceritakan keperibadian dan perjuangan Rasulullah, beliau juga berharap agar sunnah Rasulullah SAW akan dapat diamal sertai dihayati sungguh-sungguh dalam kehidupan seharian. Menurutnya lagi, setiap muslim wajib bersyukur kerana diutuskan Rasulullah SAW yang membimbing serta banyak berkorban demi tertegaknya islam di muka bumi ini. Antara amalan yang perlu diamalkan ialah sentiasa berselawat ke atas junjungan besar Rasulullah SAW semoga mendapat syafaat pada hari pembalasan nanti. Majlis sambutan tamat pada jam 12.00 tengahari.

Thursday, January 24, 2013

JOHAN AZAN DAN HAFAZAN SEMPENA MAULIDURRASUL 1434H MASJID DAERAH BAGAN SERAI



Masjid Daerah Bagan Serai, 12 Rabiulawal 1434H.
Murid Tahun 6 SK Teluk Medan, Muhammad 'Izzuddin b. Zainol Abidin sekali lagi mengharumkan nama SK Teluk Medan apabila menjadi johan bagi 2 kategori pertandingan yang diadakan sempena Sambutan Maulidurrasul 1434H Peringkat Daerah Bagan Serai. Pertandingan tersebut ialah Pertandingan Azan Murid Sekolah Rendah dan Pertandingan Hafazan Murid Sekolah Rendah. Adik Muhammad 'Izzuddin menerima wang RM150 sebagai hadiah bagi kedua-dua pertandingan tersebut. Hadiah disampaikan oleh Tn.Hj.Adnan b. Hj.Hassan, Timbalan Pengerusi Masjid Daerah Bagan Serai. Tahniah diucapkan.

Wednesday, January 23, 2013

MERENTAS DESA 2013


SKTM Rabu 23.01.2013.
Kejohanan Merentas Desa 2013 SK Teluk Medan berlangsung seperti yang dirancang. Acara dimulakan dengan sesi memanas badan melalui senam robik yang dipimpin oleh Sir Ash. En.Syamsul Amin kemudiannya melepaskan para peserta secara serentak dan para peserta memulakan larian melalui trek yang berukuran lebih 2 km. Peserta larian turut diawasi oleh anggota polis unit trafik bagi menjamin keselamatan peserta ketika melalui jalan raya. Malahan pada majlis penutupan, seorang daripada anggota polis yang bertugas diberi peluang untuk menyampaikan beberapa maklumat berkaitan keselamatan di jalan raya. Pada kejohanan tersebut, Syed Allauddin telah menjadi johan bagi kategori lelaki manakala Nur Aziera Anisha johan bagi kategori perempuan. Kedua-dua pemenang tersebut akan mewakili SK Teluk Medan ke kejohanan yang sama pada peringkat daerah Kerian. Hadiah-hadiah disampaikan oleh En.Mohamad Yusuf Jamaluddin, PK HEM SKTM. Pn.Hidayat Azimah Suhaimi, PK Kokurikulum menyampaikan ucapan penutupan dengan mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Kejohanan Merentas Desa 2013 SK Teluk Medan. (lihat foto)

Tuesday, January 22, 2013

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya. Mereka juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah di akhirat. Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah masyarakat manusia itu dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah (maksudnya):
” Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.(Surah Ali Imran: 110)”
Sebagai seorang daripada jutaan umat Muhammad, kita patut menyambutnya dengan memahami konsep dan sebab mengapa kita menyambut maulidur rasul setiap tahun. Bukannya kita terikut-ikut dengan budaya orang lain tetapi kerana kita sedar bahawa penyatuan ummat perlulah berasaskan kepada ciri-ciri yang baik dan murni dan salah satunya adalah dengan Wasatiyyah. Semoga sambutan Maulidur Rasulullah SAW akan menjadikan Rasulullah sebagai idola umat islam serta mengamal dan menghayati sunnah tanda kecintaan kita kepada Allah, Rasulullah dan Islam.

Saturday, January 19, 2013

MAJLIS WALIMATULURUS PUTERI SULUNG USTAZ MOHAMAD SHAH RAMLI


DEWAN TAMAN SERAI PERMAI Sabtu 19.01.2013.
Majlis malimatulurus puteri sulung Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan berlangsung mulai jam 11.00 pagi. Meskipun sederhana tetapi kemeriahan amat dirasakan apabila ramai tetamu yang hadir dapat menjamu selera dengan lancar disamping berbual mesra antara satu sama lain. Selain daripada penduduk tempatan, kenalan dan pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Perak, PPD Kerian dan rakan guru turut memeriahkan majlis. Tn.Hj.Idris b. Hj.Ramli, Timbalan Pengarah Pelajaran Perak turut hadir pada majlis malimatulurus tersebut. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan tahniah kepada Ustaz Mohamad Shah Ramli dan isteri serta kedua mempelai.

Thursday, January 17, 2013

MAJLIS PENYERAHAN WANG BANTUAN KHAS PERSEKOLAHAN 2013





SKTM Khamis 17 Januari 2013.
Majlis Penyerahan Wang Bantuan Khas Persekolahan 1Malaysia 2013 berlangsung mulai jam 2.30 petang. Majlis Penyerahan Wang Bantuan Khas Persekolahan 1Malaysia 2013 tersebut disempurnakan oleh Ybg.Dato' Zaili b. Cha, Pegawai Khas MB Perak yang mewakili kerajaan Malaysia. Dalam ucapannya, beliau berharap bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan akan meringankan beban kewangan ibu-bapa ketika memulakan sesi persekolahan 2013 serta digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembelajaran anak-anak.. Menurutnya lagi, kerajaan memperuntukan lebih daripada 30 juta ringgit Malaysia bagi program bantuan rakyat bagi daerah Kerian. Beliau seterusnya menyampaikan replika cek bernilai RM49700.00 kepada Tn.Hj.Darham b. Bakri, YDP PIBG SK Teluk Medan.Sebelumnya, Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan membentangkan beberapa program kecemerlangan sekolah bagi tahun 2013. Melalui Program Sarana Ibu-bapa dan Sarana Sekolah, beliau mengharapkan agar ibu-bapa murid akan dapat membantu pihak sekolah untuk sama-sama merealisasikan visi dan misi pendidikan negara. Pada majlis hari ini, setiap murid menerima RM 100 yang disampaikan kepada ibu-bapa atau penjaga murid. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pn.Roziana bt. Ariffin, Pen.PPD BI merangkap Mentor SK Teluk Medan.
( foto Majlis )
( foto Ust.Omar )

Wednesday, January 16, 2013

KOKURIKULUM 2013


SKTM Rabu 16.01.2013.
Aktiviti unit beruniform membuka tirai kegiatan kokurikulum 2013. Antara pengisian perjumpaan pertama tersebut ialah perlantikan jawatankuasa unit-unit berkenaan bagi sesi 2013 dan pengenalan kepada beberapa perkara berkaitan peraturan perjalanan kegiatan kokurikulum unit beruniform.(foto)

Tuesday, January 8, 2013

KHIDMAT BIMBING VLE FROGASIA


SKTM Selasa 08.01.2013.
Cik Azma dari VLE Frogasia hadir ke SKTM bagi memberikan khidmat bimbing perjalanan program tersebut. Antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan beberapa penambahbaikan yang dilakukan oleh Frogasia dan cadangan agar program VLE berjalan dengan baik serta lancar. Sementara itu, Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM mengadakan perjumpaan pertama dengan pengawas sekolah 2013 bagi menerangkan beberapa perkara berkaitan tugas serta tanggungjawab pengawas sekolah.

Monday, January 7, 2013

PERHIMPUNAN RASMI PERTAMA 2013

SKTM Isnin 7 Januari 2013.
Perhimpunan rasmi pertama 2013 dimulakan dengan nyanyian Negaraku, lagu Perak, lagu sekolah dan lagu Perak Sentiasa di Puncak Kecemerlangan. Guru bertugas mingguan En.Shahrilzal Jali menyampaikan beberapa info berkaitan program yang akan berlangsung sepanjang minggu ke-2 persekolahan 2013. Beliau turut menyampaikan beberapa maklumat berkaitan program i-THINK dengan membuat latihan pergerakan bagi Peta Bulatan. Ucapan diteruskan oleh Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM yang memberikan penerangan berkaitan Standard Operating Procedures (SOP) sebagai panduan kepada murid dan guru SKTM. Perhimpunan rasmi pertama 2013 berakhir pada jam 8.05 pagi. (foto)

Saturday, January 5, 2013

i-THINK DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


SKTM Jumaat 4 Januari 2013.
Proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknik kemahiran berfikir i-THINK mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan guru-guru dan murid SK Teluk Medan. Meskipun teknik ini telah digunakan secara meluas sebelumnya, penjenamaan semula teknik ini dengan beberapa penambahbaikan menjadikan ianya lebih menarik serta mampu menjana kemahiran berfikir murid secara kreatif dan kritis. Pada minggu pertama persekolahan sesi 2013, guru-guru SKTM dilihat sudah mula mengaplikasi teknik ini semasa proses pengajaran dan pembelajaran. (foto fb Sir Ash)

Tuesday, January 1, 2013

HARI PERTAMA SESI PERSEKOLAHAN 2013



SKTM Rabu 2 Januari 2013.
Proses pengajaran dan pembelajaran hari pertama persekolahan sesi 2013 berlangsung mengikut jadual. Sebelum masuk kelas, Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada seluruh warga SKTM serta mengharapkan semua pihak memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh demi kejayaan dunia dan akhirat serta merealisasikan visi dan misi SK Teluk Medan. Hari pertama persekolahan turut menampilakn seorang lagi warga pendidik baharu SKTM iaitu Ustazah Noorul Huda bt. Zulkarnaini, guru Bahasa Arab. Ahlan wa sahlan.