Thursday, February 27, 2014

FESTIVAL NASYID ZON BAGAN SERAI KERIAN.

SMKA Kerian, Rabu 26.02.2014.
Pasukan Nasyid SKTM melayakkan diri ke Festival Nasyid 2014 Daerah Kerian yang akan berlangsung pada bulan hadapan apabila mendapat tempat ke-2 pada Festival Nasyid 2014 Zon Bagan Serai Kerian. Pada festival nasyid yang berlangsung di SMKA Kerian tersebut, pasukan nasyid SABK Ridhwaniah telah dipilih sebagai pasukan terbaik sekaligus akan mewakili Zon Bagan Serai ke peringkat daerah Kerian. Tahniah diucapkan kepada pasukan nasyid SKTM dan jurulatih.

Sunday, February 23, 2014

PERLANTIKAN PENGAWAS PUSAT SUMBER DAN PELANCARAN PROGRAM NILAM 2014


SKTM Isnin 24.02.2014
Perhimpunan mingguan minggu ke-8 diisi dengan perlantikan pengawas pusat sumber bagi sesi 2014. Watikah perlantikan pengawas pusat sumber 2014 disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM. Pada majlis tersebut juga, beliau turut melancarkan program NILAM PSS bagi tahun 2014 serta mengumumkan inseftif 2 buah basikal kepada 2 orang murid yang paling banyak membaca bagi tahun 2014. Pada perhimpunan mingguan tersebut juga, Ustaz Mohamad Shah Ramli menyampaikan semula hadiah-hadiah kepada peserta Tilawah Al-quran Zon Bagan Serai.

Saturday, February 22, 2014

MAJLIS TILAWAH A-QURAN SR ZON BAGAN SERAI

SK DATO' MAS'UD Sabtu 22.02.2014
Majlis Tilawah Al-quran Zon Bagan Serai berlangsung di SK Dato' Mas'ud, Bagan Serai. Pada majlis tersebut, 3 peserta yang mewakili SK Teluk Medan telah memperoleh kejayaan yang cemerlang. Adik Badrul Hisyam telah menjadi johan tilawah bagi kategori lelaki, Izzul Fahmi johan bercerita lelaki manakala adik Amir telah mendapat tempat ke-2 bagi kategori hafazan lelaki. Ketiga-tiga mereka akan mewakili SR Zon Bagan Serai ke Majlis Tilawah Al-quran Daerah Kerian yang akan berlangsung pada bulan hadapan. Tahniah diucapkan.

SEMINAR IBU-BAPA CEMERLANG ANAK-ANAK GEMILANG 2014


SKTM Sabtu 22 Februari 2014.
Seminar Kecemerlangan Ibu-bapa dan Murid Tahun 6/2014 berlangsung seperti yang dirancang. Sesi pertama ialah pembentangan kertas kerja berjudul ' Program Kecemerlangan Akademik dan TOV 2014 ' disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM. Pada seminar tersebut, beliau membentangkan target pencapaian UPSR 2014 serta program kecemerlangan akademik yang telah dirancang dan bakal dilaksanakan dengan menekankan TOV setiap murid. Sesi ke-2 diteruskan dengan ceramah motivasi ' Ibu-bapa Cemerlang Anak Gemilang ' yang disampaikan oleh pakar motivasi Ustaz Izafri b. Ahmad, Guru j-QAF SK Bukit Jana Taiping. Ceramah motivasi diakhiri dengan sesi mohon restu anak-anak dengan ibu-bapa masingmasing yang hadir.

Friday, February 14, 2014

KEM KECEMERLANGAN UPSR SR KELOMPOK 4 KERIAN 2014 - TERUJA 2014

motivasi2 
motivasi1 

SABK AR-RIDHWAN 14.02.2014
Bertemakan Teroka-Usaha-Jaya ( TERUJA ), Kem Kecemerlangan UPSR 2014 Sekolah Rendah Kelompok 4 Kerian berlangsung selama 3 hari 2 malam di SABK Ar-Ridhwan, Telok Medan Bagan Serai,Perak. Kem berkenaan melibatkan lebih 30 orang peserta daripada setiap sekolah rendah kelompok 4 Kerian iaitu SK Telok Medan, SK Dato Mas'ud, SK Hj.Dahalan, SK Kampung Tua, SK Gunong Semanggol, SABK Maahad Ar-Ridhwaniah dan SABK Ehya' As-Syarif. Pada kem tersebut, peserta yang terdiri daripada calon UPSR 2014 diberi pendedahan berkaitan pengurusan diri dan masa, tips murid cemerlang, teknik menjawab soalan peperiksaan UPSR dan beberapa aktiviti kerohanian seperti qiamullail, usrah, kuliah dan senaman pagi. Kem yang bermula Jumaat 14.02.2014 akan tamat pada hari Ahad 16.02.2014.
( galeri foto )
( galeri 2 )

Monday, February 10, 2014

MENTOR MENTEE 2014

SKTM Isnin 10.02.2014
Program Mentor Mentee merupakan salah satu daripada program JPN Perak yang bertujuan untuk merapatkan hubungan dalam kalangan guru dengan murid dan murid dengan murid bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran harmonis di sekolah. Tema bagi perjumpaan pertama program berkenaan di SK Teluk Medan ialah ' Kawanku '. Melalui tema ini, guru dan murid dalam kumpulan berbual-bual untuk mengenali rakan dan guru dengan lebih dekat lagi. Program Mentor Mentee di rancang serta dilaksanakan oleh Unit HEM SKTM.

Friday, February 7, 2014

MAJLIS PERSARAAN TN.HJ.KAMARUDIN B. SULAIMAN


SKTM Jumaat 07.02.2014
7 Februari 2014 merupakan antara tarikh penting dalam kehidupan Tn.Hj.Kamarudin Sulaiman, Guru Penolong SK Teluk Medan apabila diraikan pada majlis persaraan beliau. Ketibaan beliau dengan diiringi oleh isterinya Pn.Hafizah Abdullah disambut dengan persembahan muzikal oleh pasukan bras band SKTM. Pelbagai acara dihidangkan bersempena majlis tersebut bagi memeriahkan Majlis Persaraan Tn.Hj.Kamarudin Sulaiman.  Tn.Hj.Kamarudin Sulaiman telah menyumbangbakti mendidik anak bangsa selama 31 tahun bermula di SRK Nanga Entalau, Lubuk Antu Sarawak dan menamatkan perkhidmatannya pada usia 56 tahun ketika berkhidmat di SK Teluk Medan. Seluruh warga SKTM mengucapkan selamat bersara kepada Tn.Hj.Kamarudin Sulaiman.

( lihat galeri foto )

Thursday, February 6, 2014

Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-34 dan Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan 2014

SKTM Khamis 6 Februari 2014.
Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-34 dan Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan 2014 disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato' Sham . Mat Sahat, ADUN Alor Pongsu. Dalam ucapannya, beliau berharap agar bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan dihargai dan digunakan sebaik mungkin untuk persekolahan sesi 2014. Beliau turut berharap agar PIBG sekolah dapat memainkan peranan selari dengan misi dan visi sekolah bagi memudahkan pihak sekolah mencapai KPI yang ditetapkan. Pada Mesyuarat Agung PIBG, En.Mohd Musa b. Pajang Ali dilantik semula sebagai YDP PIBG bagi penggal baharu manakala En.Ismail b. Hamzah dilantik sebagai NYDP. Majlis diakhiri dengan penyampaian Wang Bantuan Awal Persekolahan kepada semua ibu-bapa yang hadir mewakli anak-anak mereka yang bersekolah di SK Teluk Medan.
( galeri foto 1 )
( galeri foto 2 )