Thursday, January 31, 2013
Wednesday, January 30, 2013
PELANCARAN KELAB RUKUN NEGARA SK TELUK MEDAN
SK Teluk Medan, Rabu 30 Januari 2013.
Majlis Pelancaran Kelab Rukun Negara SK Teluk Medan berlangsung penuh
meriah. Antara pengisian pada hari pelancaran kelab tersebut ialah acara
'Rukun Negara Idol'. Pada acara tersebut, beberapa pertandingan
diadakan iaitu Pertandingan Mendeklamasi Sajak, Pertandingan Mewarna dan
Nyanyian Lagu-lagu Patriotik. Pelancaran Kelab Rukun Negara SK Teluk
Medan disempurnakan oleh En.Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM.
Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi
pertandingan-pertandingan yang diadakan. Kelab Rukun Negara yang
diwujudkan di sekolah‐sekolah akan melaksanakan pelbagai aktiviti yang
berteraskan kepada pengukuhan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan
pengamalan (4P) Rukun Negara di kalangan murid. Selain daripada matlamat
untuk memperkenal dan menyedarkan murid tentang kepentingan Rukun
Negara, kelab ini juga akan dijadikan sebagai salah satu strategi utama
ke arah pengukuhan semangat
perpaduan dan integrasi nasional di kalangan murid pelbagai kaum. ( lihat foto )
perpaduan dan integrasi nasional di kalangan murid pelbagai kaum. ( lihat foto )
Friday, January 25, 2013
SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1434H
SKTM Jumaat 13 Rabiulawal 1434H.
Antara pengisian Majlis Sambutan Maulidurrasul 1434H SK Teluk Medan
ialah ceramah agama, deklamasi sajak dan persembahan nasyid daripada
beberapa orang murid SKTM. Ceramah Maulidurrasul SAW disampaikan leh
Tn.Hj.Yazid b. Rumbali, Ketua Panitia j-QAF SKTM. Selain daripada
menceritakan keperibadian dan perjuangan Rasulullah, beliau juga
berharap agar sunnah Rasulullah SAW akan dapat diamal sertai dihayati
sungguh-sungguh dalam kehidupan seharian. Menurutnya lagi, setiap muslim
wajib bersyukur kerana diutuskan Rasulullah SAW yang membimbing serta
banyak berkorban demi tertegaknya islam di muka bumi ini. Antara amalan
yang perlu diamalkan ialah sentiasa berselawat ke atas junjungan besar
Rasulullah SAW semoga mendapat syafaat pada hari pembalasan nanti.
Majlis sambutan tamat pada jam 12.00 tengahari.
Thursday, January 24, 2013
JOHAN AZAN DAN HAFAZAN SEMPENA MAULIDURRASUL 1434H MASJID DAERAH BAGAN SERAI
Masjid Daerah Bagan Serai, 12 Rabiulawal 1434H.
Murid Tahun 6 SK Teluk Medan, Muhammad 'Izzuddin b. Zainol Abidin sekali
lagi mengharumkan nama SK Teluk Medan apabila menjadi johan bagi 2
kategori pertandingan yang diadakan sempena Sambutan Maulidurrasul 1434H
Peringkat Daerah Bagan Serai. Pertandingan tersebut ialah Pertandingan
Azan Murid Sekolah Rendah dan Pertandingan Hafazan Murid Sekolah Rendah.
Adik Muhammad 'Izzuddin menerima wang RM150 sebagai hadiah bagi
kedua-dua pertandingan tersebut. Hadiah disampaikan oleh Tn.Hj.Adnan b.
Hj.Hassan, Timbalan Pengerusi Masjid Daerah Bagan Serai. Tahniah
diucapkan.
Wednesday, January 23, 2013
MERENTAS DESA 2013
SKTM Rabu 23.01.2013.
Kejohanan Merentas Desa 2013 SK Teluk Medan berlangsung seperti yang
dirancang. Acara dimulakan dengan sesi memanas badan melalui senam robik
yang dipimpin oleh Sir Ash. En.Syamsul Amin kemudiannya melepaskan para
peserta secara serentak dan para peserta memulakan larian melalui trek
yang berukuran lebih 2 km. Peserta larian turut diawasi oleh anggota
polis unit trafik bagi menjamin keselamatan peserta ketika melalui jalan
raya. Malahan pada majlis penutupan, seorang daripada anggota polis
yang bertugas diberi peluang untuk menyampaikan beberapa maklumat
berkaitan keselamatan di jalan raya. Pada kejohanan tersebut, Syed
Allauddin telah menjadi johan bagi kategori lelaki manakala Nur Aziera
Anisha johan bagi kategori perempuan. Kedua-dua pemenang tersebut akan
mewakili SK Teluk Medan ke kejohanan yang sama pada peringkat daerah
Kerian. Hadiah-hadiah disampaikan oleh En.Mohamad Yusuf Jamaluddin, PK
HEM SKTM. Pn.Hidayat Azimah Suhaimi, PK Kokurikulum menyampaikan ucapan
penutupan dengan mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua pihak
yang menjayakan Kejohanan Merentas Desa 2013 SK Teluk Medan. (lihat foto)
Tuesday, January 22, 2013
Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah
Wasatiyyah yang tepat
hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia
adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang
adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan
Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya. Mereka
juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari
kebenaran dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi
pembicaraan dalam mahkamah di akhirat. Hakikat umat Islam yang menjadi
contoh ditengah masyarakat manusia itu dijelaskan oleh ayat-ayat
al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi
contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya
firman Allah (maksudnya):
”
Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh
kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada
Allah.(Surah Ali Imran: 110)”
Sebagai seorang daripada
jutaan umat Muhammad, kita patut menyambutnya dengan memahami konsep dan
sebab mengapa kita menyambut maulidur rasul setiap tahun. Bukannya kita
terikut-ikut dengan budaya orang lain tetapi kerana kita sedar bahawa
penyatuan ummat perlulah berasaskan kepada ciri-ciri yang baik dan murni
dan salah satunya adalah dengan Wasatiyyah. Semoga sambutan Maulidur
Rasulullah SAW akan menjadikan Rasulullah sebagai idola umat islam serta
mengamal dan menghayati sunnah tanda kecintaan kita kepada Allah,
Rasulullah dan Islam.
Saturday, January 19, 2013
MAJLIS WALIMATULURUS PUTERI SULUNG USTAZ MOHAMAD SHAH RAMLI
DEWAN TAMAN SERAI PERMAI Sabtu 19.01.2013.
Majlis malimatulurus puteri sulung Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru
Besar SK Teluk Medan berlangsung mulai jam 11.00 pagi. Meskipun
sederhana tetapi kemeriahan amat dirasakan apabila ramai tetamu yang
hadir dapat menjamu selera dengan lancar disamping berbual mesra antara
satu sama lain. Selain daripada penduduk tempatan, kenalan dan
pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Perak, PPD Kerian dan rakan guru turut
memeriahkan majlis. Tn.Hj.Idris b. Hj.Ramli, Timbalan Pengarah
Pelajaran Perak turut hadir pada majlis malimatulurus tersebut. Seluruh
warga SK Teluk Medan mengucapkan tahniah kepada Ustaz Mohamad Shah Ramli
dan isteri serta kedua mempelai.
Thursday, January 17, 2013
MAJLIS PENYERAHAN WANG BANTUAN KHAS PERSEKOLAHAN 2013
SKTM Khamis 17 Januari 2013.
Majlis Penyerahan Wang Bantuan Khas Persekolahan 1Malaysia 2013
berlangsung mulai jam 2.30 petang. Majlis Penyerahan Wang Bantuan Khas
Persekolahan 1Malaysia 2013 tersebut disempurnakan oleh Ybg.Dato' Zaili
b. Cha, Pegawai Khas MB Perak yang mewakili kerajaan Malaysia. Dalam
ucapannya, beliau berharap bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan
akan meringankan beban kewangan ibu-bapa ketika memulakan sesi
persekolahan 2013 serta digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembelajaran
anak-anak.. Menurutnya lagi, kerajaan memperuntukan lebih daripada 30
juta ringgit Malaysia bagi program bantuan rakyat bagi daerah Kerian.
Beliau seterusnya menyampaikan replika cek bernilai RM49700.00 kepada
Tn.Hj.Darham b. Bakri, YDP PIBG SK Teluk Medan.Sebelumnya, Ustaz Mohamad
Shah Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan membentangkan beberapa program
kecemerlangan sekolah bagi tahun 2013. Melalui Program Sarana Ibu-bapa
dan Sarana Sekolah, beliau mengharapkan agar ibu-bapa murid akan dapat
membantu pihak sekolah untuk sama-sama merealisasikan visi dan misi
pendidikan negara. Pada majlis hari ini, setiap murid menerima RM 100
yang disampaikan kepada ibu-bapa atau penjaga murid. Turut hadir pada
majlis tersebut ialah Pn.Roziana bt. Ariffin, Pen.PPD BI merangkap
Mentor SK Teluk Medan.
( foto Majlis )
( foto Ust.Omar )
( foto Majlis )
( foto Ust.Omar )
Wednesday, January 16, 2013
KOKURIKULUM 2013
SKTM Rabu 16.01.2013.
Aktiviti unit beruniform membuka tirai kegiatan kokurikulum 2013. Antara
pengisian perjumpaan pertama tersebut ialah perlantikan jawatankuasa
unit-unit berkenaan bagi sesi 2013 dan pengenalan kepada beberapa
perkara berkaitan peraturan perjalanan kegiatan kokurikulum unit
beruniform.(foto)
Tuesday, January 8, 2013
KHIDMAT BIMBING VLE FROGASIA
SKTM Selasa 08.01.2013.
Cik Azma dari VLE Frogasia hadir ke SKTM bagi memberikan khidmat bimbing
perjalanan program tersebut. Antara perkara yang dibincangkan ialah
berkaitan beberapa penambahbaikan yang dilakukan oleh Frogasia dan
cadangan agar program VLE berjalan dengan baik serta lancar. Sementara
itu, Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM mengadakan perjumpaan
pertama dengan pengawas sekolah 2013 bagi menerangkan beberapa perkara
berkaitan tugas serta tanggungjawab pengawas sekolah.
Monday, January 7, 2013
PERHIMPUNAN RASMI PERTAMA 2013
SKTM Isnin 7 Januari 2013.
Perhimpunan rasmi pertama 2013 dimulakan dengan nyanyian Negaraku, lagu
Perak, lagu sekolah dan lagu Perak Sentiasa di Puncak Kecemerlangan.
Guru bertugas mingguan En.Shahrilzal Jali menyampaikan beberapa info
berkaitan program yang akan berlangsung sepanjang minggu ke-2
persekolahan 2013. Beliau turut menyampaikan beberapa maklumat berkaitan
program i-THINK dengan membuat latihan pergerakan bagi Peta Bulatan.
Ucapan diteruskan oleh Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM yang
memberikan penerangan berkaitan Standard Operating Procedures (SOP) sebagai panduan kepada murid dan guru SKTM. Perhimpunan rasmi pertama 2013 berakhir pada jam 8.05 pagi. (foto)
Saturday, January 5, 2013
i-THINK DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
SKTM Jumaat 4 Januari 2013.
Proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknik kemahiran berfikir
i-THINK mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan guru-guru dan
murid SK Teluk Medan. Meskipun teknik ini telah digunakan secara meluas
sebelumnya, penjenamaan semula teknik ini dengan beberapa penambahbaikan
menjadikan ianya lebih menarik serta mampu menjana kemahiran berfikir
murid secara kreatif dan kritis. Pada minggu pertama persekolahan sesi
2013, guru-guru SKTM dilihat sudah mula mengaplikasi teknik ini semasa
proses pengajaran dan pembelajaran. (foto fb Sir Ash)
Tuesday, January 1, 2013
HARI PERTAMA SESI PERSEKOLAHAN 2013
SKTM Rabu 2 Januari 2013.
Proses pengajaran dan pembelajaran hari pertama persekolahan sesi 2013
berlangsung mengikut jadual. Sebelum masuk kelas, Ustaz Mohamad Shah b.
Ramli, Guru Besar SKTM mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada
seluruh warga SKTM serta mengharapkan semua pihak memberikan komitmen
yang bersungguh-sungguh demi kejayaan dunia dan akhirat serta
merealisasikan visi dan misi SK Teluk Medan. Hari pertama persekolahan
turut menampilakn seorang lagi warga pendidik baharu SKTM iaitu Ustazah
Noorul Huda bt. Zulkarnaini, guru Bahasa Arab. Ahlan wa sahlan.
Subscribe to:
Posts (Atom)