Monday, August 25, 2014

PORTAL RASMI SK TELUK MEDAN

http://sktmbaganserai.edu.my
SEMUA PERKEMBANGAN TERKINI SK TELUK MEDAN
BOLEH DICAPAI PADA PORTAL RASMI SK TELUK MEDA
KLIK THUMNAIL DI ATAS ATAU

Thursday, June 26, 2014

BERTEMU WARIS TAHUN 5/2014

SKTM 29 Syaaban 1435H.
Setelah bertemu waris calon UPSR 2014, hari ini waris murid tahun 5 pula berpeluang untuk bertemu dengan guru-guru bagi mengetahui perkembangan pembelajaran anak-anak mereka. Pada pertemuan tersebut, ibu-bapa yang hadir turut diberikan slip keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014. ( foto )

PELANCARAN IHYA RAMADHAN 1435H/2014


SKTM Jumaat 29 Syaaban 1435H.
Majlis Pelancaran Ihya Ramadhan 1435H disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM. Dalam ucapannya, beliau mengajak semua warga SKTM untuk sama-sama menghayati Ramadhan Al-Mubarakh bulan yang penuh kelebihan dan bulan keampunan. Beliau turut menyeru agar lebih ramai yang akan menyertai program Ihya Ramadhan yang telah dirancang oleh Panitia Pendidikan Islam. Pada majlis pelancaran tersebut juga, Ustaz Mohd Yusof Shouib, Ketua Panitia Pend.Islam turut menyampaikan taklimat perjalanan program Ihya Ramadhan 1435H. Antara aktiviti yang bakal dilaksanakan ialah tadarus Al-quran, pertandingan tilawah, azan dan hafazan serta bantuan hari raya kepada anak-anak miskin SKTM. Pada majlis pagi ini juga, murid-murid menerima risalah penghayatan Ramadhan dan kurma yang diedarkan oleh Panitia Pend.Islam.

Tuesday, June 24, 2014

IHTIFAL j-QAF ZON BAGAN SERAI 2014/1435H


SABK Ar-Ridhwaniah Selasa 24.06.2014
Ihtifal j-QAF Zon Bagan Serai 2014/1435H berlangsung mulai jam 2.00 petang. Pada Ihtifal tersebut, kumpulam Kalam Jamae SKTM telah dicanang sebagai johan sekaligus akan mewakili zon Bagan Serai ke peringkat daerah Kerian yang akan berlangsung selepas Aidilfitri nanti. SKTM juga turut menjadi naib johan kuiz, naib johan wirid & doa dan  naib johan hiwar. Dengan itu pasukan SKTM telah turut dicanang sebagai  johan keseluruhan Ihtifal j-QAF Zon Bagan Serai 2014/1435H.

Friday, June 20, 2014

KEJOHANAN OLAHRAGA KALI KE-14 SK TELUK MEDAN



SKTM Khamis 19.06.2014
Kejohanan Olahraga Kali Ke-14 SKTM berlangsung penuh gilang gemilang. Acara dimulakan dengan lintas hormat kontinjen rumah sukan yang mengambil bahagian pada kejohanan tersebut diikuti oleh ikrar kejohanan. Acara lintas hormat kontijen rumah sukan didahului oleh pasukan Brass Band SKTM yang mengiringi perbarisan pada kejohanan tersebut. Kejohanan Olahraga Kali Ke-14 SKTM disempurnakan perasmiannya oleh Ustaz Mohd Musa Panjang Ahmad, YDP PIBG SK Teluk Medan. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua guru dan murid yang bertungkus lumus bagi menjayakan Kejohanan Olahraga Kali Ke-14 SKTM. Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada ibu-bapa yang hadir memberi sokongan kepada anak-anak yang bertanding pada kejohanan tersebut. Pada Kejohanan Olahraga Kali Ke-14 SKTM, adik Mohd Hasnul Aiman telah dicanang sebagai Olahragawan SKTM 2014 manakala adik Erin Natasya telah dicanang sebagai Olahragawati SKTM 2014. Pada kejohanan tersebut juga, Rumah Hijau telah menjuarai kejohanan sekaligus merampas piala pusingan yang dipegang oleh Rumah Merah selama beberapa tahun.

Monday, May 26, 2014

CERAMAH ISRAK MIKRAJ 1436H

SKTM 26 Rejab 1436H.
Ceramah Israk Mikraj disampaikan oleh Tn.Hj.Jamaluddin Asaari, Pengarah Maahad Tahfiz Al-akhlak Masjid Tinggi. Penyampaiannya yang diselangi dengan bahasa Banjar menarik minat anak-anak SKTM yang hampir 80% terdiri daripada masyarakat banjar. Ceramah Israk Mikraj dianjurkan oleh Panitia Pend.Islam dengan kerjasama HEM dan Unit Bimbingan. ( foto )

Saturday, May 24, 2014

SAINTIS MUDA 2014 / KEM BESTARI SOLAT TAHUN 5


SK KUALA KURAU 24.05.2014
Karnival Pendidikan Sains dan Teknologi 2014 Daerah Kerian memberi nafas semula kepada Saintis Muda SKTM setelah mendapat tempat ke-3 pada pertandingan tersebut. Saintis Muda SKTM diwakili oleh adk Najwa Harifah dan Nurerina Zafkar manakala dibimbing oleh Pn.Azian Shamsuddin. Sementara itu Kem Bestari Solat Tahun 5 berlangsung petang semalam Jumaat 23 Mei 2014.

Monday, May 19, 2014

TEMASYA SUKAN PRASEKOLAH 2014



SKTM Selasa 20.05.2014
Meskipun cuaca tidak begitu baik namun Temasya Sukan Prasekolah 2014 berlangsung penuh meriah. Temasya Sukan Prasekolah 2014 dimulakan dengan lintas hormat kontijen rumah sukan yang bertanding iaitu Rumah Hijau, Rumah Merah, Rumah Kuning dan Rumah Biru. Antara acara yang diadakan ialah sukaneka, futsal dan bola baling. Manakala acara ibu-bapa yang diadakan ialah futsal dan sukaneka. Temasya Sukan Prasekolah 2014 disempurnakan perasmiannya oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM. Dalam ucapannya, beliau menghargai kehadiran ibu-bapa bagi memeriahkan temasya tersebut serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan temasya berkenaan. Temasya Sukan Prasekolah 2014 diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi acara yang dipertandingkan.

Sunday, May 18, 2014

PEPERIKSAAN PENGGAL PERTAMA 2014

SKTM Isnin 19 Mei 2014.
Perhimpunan Mingguan diisi dengan penyampaikan hadiah kepada peserta Pertandingan Pidato SR Kerian, Talent Show 6B1 dan sukaneka Hari Guru 2014. Pada perhimpunan tersebut juga, Unit HEM melancarakan Tag Keluar Kelas baharu. Sementara itu, Peperiksaan Penggal Pertama 2014 bermula hari ini. Peperiksaan hanya melibatkan murid tahun 5 dan 6 sahaja manakala kelas-kelas lain tiada peperiksaan di bawah PBS.

Friday, May 16, 2014

HARI GURU 2014



SKTM Jumaat 16 Mei 2014.
Sambutan Hari Guru 2014 SKTM disambut penuh meriah dan ukhuwah. Acara dimulakan dengan alunan Asmaul Husna oleh warga SKTM sertai diikuti dengan ucapan wakil murid, guru besar dan bacaan perutusan Hari Guru 2014 KPPM dan Menteri Pelajaran Malaysia. Majlis sambutan turut diserikan dengan persembahan murid dan guru. Pada majlis sambutan tersebut juga guru-guru melafazkan ikrar guru yang diketuai oleh Ustaz Mohd Hanif Sabaruddin diikuti dengan nyanyian lagu ' Guru Malaysia ' oleh warga pendidik SKTM. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada warga staf SKTM daripada PIBG dan anak-anak SKTM.
( lihat foto 1 )
( galeri 2 )

Wednesday, May 14, 2014

PRA KEJOHANAN TAHAP 2

SKTM Rabu 14.05.2014
Acara akhir bagi kategori lompat tinggi berlangsung mulai jam 3.00 petang. Acara akhir akan berlangsung sehingga hari Jumaat melibatkan murid tahap 2. Acara akhir yang akan berlangsung ialah lompat jauh, lontar peluru dan 100m berhalangan.( lihat foto )

Wednesday, May 7, 2014

PRAKEJOHANAN OLAHRAGA 2014 TAHAP 2

SKTM Rabu 07.05.2014
Prakejohanan Olahraga 2014 bagi murid tahap 2 berlangsung mulai jam 3.00 petang. Antara acara yang dijalankan ialah 100m dan lompat jauh lelaki dan perempuan bagi Rumah Biru dan Rumah Merah. Manakala bagi Rumah Hijau dan Rumah Kuning akan berlangsung esok bagi acara yang sama.

Monday, May 5, 2014

PRAKEJOHANAN OLAHRAGA 2014 SKTM


SKTM Selasa 06.05.2014
Prakejohanan Olahraga 2014 bermula hari ini. Acara yang mendahului pada kejohanan tersebut ialah 80m bagi murid tahap 1. Semua murid tahap 1 mengambil bahagian dalam acara berkenaan bagi menyumbang mata rumah sukan masing-masing. 

Saturday, April 26, 2014

LADAP GURU 2014


SKTM Sabtu 26.04.2014
LADAP Guru 2014 berlangsung di Makmal Komputer SKTM mulai jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari. 4 orang guru menyampaikan maklumat pada LADAP tersebut iaitu Pn.Siti Zuraidah dan Sir Ash ( BI ), Pn.Amnah ( i-THINK ) dan Ustaz Mohamad Shah ( MS excel ). 

KURSUS KEPIMPINAN PEMIMPIN MURID 2014

SKTM Sabtu 26.04.2014
Kursus Kepimpinan Pemimpin Murid 2014 berlangsung seperti yang dirancang. Berlainan daripada tahun-tahun yang lalu, kursus kepimpinan kali ini membawa tema keselamatan dengan menampilkan penceramah daripada Unit Pertahan Awam Daerah Kerian. Ceramah dan tunjuk cara menyelamat ( pertolongan cemas ) disampaikan oleh En.Rozi Che Soh dengan bantuan En. Lukman b. Roslin kedua-duanya daripada Unit Pertahanan Awam Daerah Kerian. Manakala perserta yang terlibat ialah pengawas sekolah, pengawas PSS, pengerusi Unit Beruniform SKTM dan ketua-ketua kelas tahap 2. Kursus Kepimpinan Pemimpin Murid 2014 adalah anjuran bersama Unit Kokurikulum, HEM, PSS dan Unit Bimbingan SKTM.

Sunday, April 20, 2014

PENYERAHAN BANER SIFIR DAN KLINIK GIGI SEKOLAH


SKTM Isnin 21.04.2014
Kemahiran sifir merupakan asas yang penting bagi murid untuk menyelesaikan pelbagai masalah matematik. Namun tidak ramai dalam kalangan murid-murid yang menghafaznya. Menyedari hakikat ini, Panitia Matematik telah mengambil inisiatif dengan mengedarkan baner sifir untuk diletakkan di semua kelas. Baner tersebut disampaikan oleh Tn.Hj.Mohd.Yusof Jamaluddin, PK Pentadbiran SKTM kepada semua ketua kelas pada perhimpunan mingguan minggu ke-16 hari ini. Sementara itu, Unit Klinik Gigi Bergerak KKM mula memberi perkhidmatan kepada anak-anak SKTM hari ini. Perkhidmatan pemeriksaan , rawatan gigi dan sesi tunjuk ajar penjagaan gigi daripada unit berkenaan dijangka akan belangsung selama 3 minggu.

Wednesday, April 16, 2014

BENGKEL IQRA' IBU-BAPA MURID PRASEKOLAH.

SKTM Khamis 17hb April 2014.
Tugas mendidik anak-anak agar boleh membaca Al-quran tidaklah hanya dipikul oleh guru-guru agama di sekolah dan di pusat-pusat pembelajaran Al-quran sahaja. Ibu-bapa turut memainkan peranan yang penting bagi melahirkan generasi yang celik Al-quran. Namun tidak ramai dalam kalangan ibu-bapa yang mahir tentang kaedah dan teknik pembelajaran asas Al-quran. Menyedari hakikat ini, pihak Unit Prasekolah SKTM dengan kerjasama Unit Pendidikan Islam SKTM telah mengadakan Bengkel Mengajara Asas Al-quran menggunakan kaedah Iqra' kepada ibu-bapa murid Prasekolah SKTM. Pada bengkel selama 3 jam tersebut, ibu-bapa diberi penerangan secara terperinci berkaitan teknik mengajar Al-quran menggunakan kaedah Iqra'. Kaedah Iqra’ di Malaysia bermula pada tahun 1992 dan dikembangkan selepas tempoh percubaan pertama selama lebih kurang 6 bulan di beberapa buah sekolah di Malaysia.Kementerian Pendidikan telah menetapkan pengajaran tilawah al-Quran tahun satu sekolah-sekolah kebangsaan pada sesi persekolahan 1995 dengan menggunakan kaedah Iqra’. Murid tahun satu dikehendaki memiliki buku kaedah Iqra’ dan mengikuti kelas kemahiran al-Quran sepanjang enam bulan pertama persekolahan. Pada tahun 2006, satu ujian telah dijalankan bagi menentukan kesesuaian di antara beberapa kaedah belajar membaca al-Quran yang ada pada masa kini. Hasil daripada ujian tersebut, Kementerian Pelajaran telah bersetuju supaya kaedah Iqra’ terus digunapakai di sekolah-sekolah. Kaedah Iqra’ dikenalpasti sebagai antara kaedah yang dapat membantu mempercepatkan kanak-kanak menguasai kemahiran membaca al-Quran dengan baik.Kaedah Iqra’ adalah suatu kaedah pengajaran membaca al-Quran yang disusun sebagai usaha untuk mempercepatkan penguasaan bacaan Al-quran dalam tempoh yang singkat.Kaedah ini disusun oleh al-Marhum Ustaz Hj Asad Humam (Pengarah Kumpulan Tadarus Angkatan Muda Masjid dan Musholla Yogyakarta) berdasarkan pengalaman mengajar Al-quran sejak tahun 1950 dan melalui percubaan dan penyelidikan yang mendalam. Bengkel Kaedah Iqra' disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan.

Tuesday, April 15, 2014

MAJLIS PENYERAHAN KWAMP 2014

SKTM Selasa 15.04.2014
Majlis Penyerahan KWAMP 2014 disempurnakan oleh Pn.Roziana bt Ariffin, Pen.PPD BI, PPD Kerian, Dalam ucapannya, beliau berharap agar bantuan yang diberikan oleh kerajaan dapat dimanafaatkan sebaik mungkin untuk pendidikan anak-anak. Seramai 110 murid telah dipilih untuk menerima bantuan tersebut bagi tahun 2014. Majlis penyerahan KWAMP turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan nasyid SKTM.

Thursday, April 10, 2014

PENGARAH PENDIDIKAN PERAK


SELURUH WARGA SK TELUK MEDAN MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA
TN.HJ.MOHD IDRIS BIN RAMLI
ATAS PERLANTIKAN SEBAGAI
PENGARAH PENDIDIKAN PERAK DARUL RIDZUAN

Monday, April 7, 2014

School Improvement Specialist Coaches ( SISC+ )

SKTM Selasa 08.04.2014.
SISC+adalah salah satu inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) di bawah program Transformasi Pejabat Pelajaran Daerah. SISC+adalah pembimbing guru yang berdedikasi dan komited untuk mempertingkat kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.Di antara tanggungjawab utama SISC+ adalahmemastikan tahap PdP guru mencapai standarad yang telah ditetapkan disamping perlaksanaan dasar dan program pendidikan KPM berlangsung di peringkat akar umbi. Sehubungan dengan itu pasukan SISC+ PPD Kerian hari ini telah melawat ke SK Teluk Medan bagi memberikan taklimat awal berkaitan fungsi dan peranan pasukan berkenaan. Pegawai yang hadir ialah En.Shahaizam Zakaria SISC BM, En.Azhar Zahidi SISC Matematik dan Pn.Yong Rozina M.Yaacob SISC Bahasa Inggeris.

Sunday, April 6, 2014

KEMPEN PONTENG SIFAR 2014



SKTM Isnin 7 April 2014.
Perhimpunan mingguan minggu ke-14/2014 diisi dengan pelancaran Kempen Ponteng Sifar 2014. Majlis pelancaran kempen berkenaan disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM. Pada majlis pelancaran tersebut juga, beliau menyampaikan hadiah berupa wang tunai kepada 3 kelas yang mencatat kehadiran tertinggi sepanjang bulan Januari hingga Mac 2014. Kelas berkenaan ialah kelas 1B1, 4B1 dan 6B2. Beliau turut menyampaikan sijil Keris Gangsa kepada ahli Pengakap Kanak-kanak SKTM yang telah menyertai Kem Perkhemahan Keris Gangsa Daerah Kerian 2014 yang telah berlangsung selama 2 hari pada penghujung minggu lalu. Pasukan Pengakap Kanak-kanak SKTM telah menjadi johan dalam persembahan Malam Kebudayaan pada kem berkenaan. Sementara itu, En.Mohd Adhar Zakaria, Pen.PPD Pembangunan PPD Kerian telah hadir ke SKTM awal pagi ini bagi memantau bahagian sekolah yang mengalami kerosakan kesan daripada ribut kencang yang melanda Teluk Medan Sabtu lalu. Kerja-kerja membaikpulih bahagian bumbung dan siling kelas yang rosak akan mula dilaksanakan hari ini serta memakan masa dua atau tiga hari.
( foto kempen )

RIBUT MELANDA TELUK MEDAN


KAMPUNG TELOK MEDAN Sabtu 5 April 2014.
Selain daripada beberapa kediaman penduduk tempatan yang mengalami kerosakan akibat ribut kencang yang melanda petang Sabtu lalu, SK Teluk Medan turut mengalami nasib yang sama. Dianggarkan lebih daripada 40 keping bumbung genting bangunan 4 tingkat musnah dalam kejadian ribut yang melanda. Manakala siling kelas-kelas di tingkat atas turut gugur bertaburan akibat di atas lantai. Walaubagaimanapun keadaan masih terkawal.

Thursday, April 3, 2014

PEMANTAUAN PENGURUSAN ICT SEKOLAH 2014

SKTM Khamis 03.04.2014
SK Teluk Medan hari ini menerima tetamu dari Bahagian Teknologi Pendidikan KPM. Tujuan kehadiran kedua-dua pemantau tersebut ialah untuk memantau pengurusan ICT sekolah bagi tahun 2014. Pegawai yang hadir ialah En.Abdul Aziz How b. Abdullah, KPP Sektor Pentadbiran Kewangan dan ICT Bah.Pengurusan Sekolah Harian dan En.Razid b. Ismail, KPP Bahagian Penilaian BTP KPM Kuala Lumpur. Selepas mendengar taklimat pengurusan ICT sekolah dan pembentangan beberapa aplikasi ICT binaan sekolah, kedua-dua pegawai berkenaan dibawa melawat beberapa pusat ICT utama iaitu Pusat Akses, Makmal Komputer dan Pusat Makmal Mudah Alih Chormebook. Pada penghujung kunjungan, kedua-dua pegawai berkenaan turut melawat Pusat Kegiatan Guru yang terletak di perkarangan SK Teluk Medan. Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM merupakan wakil bagi negeri Perak ke Anugerah Pengurusan ICT Sekolah Peringkat Kebangsaan 2014. 

Wednesday, April 2, 2014

KEJOHANAN OLAHRAGA SKTM 2014

SKTM Rabu 2 April 2014.
Rumah Merah dan Rumah Biru membuka tirai latihan bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Kali Ke-14 yang akan berlangsung pada bulan Julai 2014 nanti. Latihan rumah-rumah sukan akan terus berlangsung pada setiap hari Rabu dan Khamis sehinggalah hari kejohanan sebenar. Pada sesi latihan tersebut, guru-guru rumah akan melakukan pemilihan peserta daripada rumah masing-masing untuk bertanding pada prakejohanan dan kejohanan sebenar. Manakala latihan juga bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada ahli rumah sebelum acara sukantara bermula. ( lihat foto )

Monday, March 31, 2014

POTENSI CEMERLANG UPSR 2014


SKTM Selasa 01.04.2014
Murid Potensi Cemerlang UPSR 2014 berpeluang menampal sendiri foto mereka pada Papan Potensi Cemerlang UPSR. Pencapaian semasa adalah berdasarkan Ujian 1/2014 dan pada ujian lalu hanya seorang sahaja daripada calon UPSR 2014 memperoleh 5A. Namun daripada pertunjuk TOV UPSR 2014 yang dilakukan oleh pihak sekolah, Insya-Allah akan lebih ramai lagi akan menyusul adik Nur Erina Zakfar. Pada tahun 2014, pihak sekolah mensasarkan pencapaian yang lebih baik dengan target 5A melebihi 25 orang.
(lihat foto)

DOA UNTUK ANAK KAPAL DAN PENUMPANG MH370

 mh370_2 
 mh370 
SKTM 31.03.2014
Meskipun kehilangan pesawat MAS MH370 masuk minggu ke-3 dan dikhabarkan telah berakhir di Lautan Hindi namun seluruh warga SK Teluk Medan masih berharap agar kesemua yang tebabit dalam kejadian misteri tersebut masih selamat dalam peliharaan Allah. Perhimpunan mingguan turut menyelitkan doa daripada seluruh warga SK Teluk Medan terhadap anak kapal dan penumpang pesawat MAS MH370. Pihak penganjur program turut menyediakan ruangan doa dan ucapan bertulis pada ruangan yang khas disediakan di hadapan bilik Bimbingan kaunseling SKTM. Sementara itu, SKTM hari ini dikunjungi oleh En.Azizul Khalili, Pen.Pengarah Pengurusan Prasekolah JPN Perak dan En.Zulkarnain Abd.Hamid, Pen.PPD Prasekolah dan PERMATA PPD Kerian.

Thursday, March 20, 2014

PERJUMPAAN DENGAN WARIS CALON UPSR 2014 HARI KE-2



SKTM Khamis 20 Mac 2014.
Majlid Bertemu Waris Calon UPSR 2014 masuk hari ke-2, Agenda yang sama seperti semalam, ibu-bapa dan murid diberi penerangan secara terperinci oleh Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM berkaitan pencapaian individu setiap mata pelajaran dari aspek kekuatan dan kelemahan murid. Beliau turut menyatakan pencapaian yang harus dicapai oleh setiap murid secara berperingkat sehinggalah peperiksaan UPSR sebenar pada bulan September nanti. Pada perjumpaan tersebut juga, ibu-bapa turut berpeluang berdialog dengan guru-guru tahun 6 berkaitan pencapaian pembelajaran anak-anak mereka. 

Tuesday, March 18, 2014

PERJUMPAAN DENGAN WARIS CALON UPSR 2014 KALI KE-2


SKTM Rabu 19 Mac 2014.
Selepas majlis taklimat UPSR serta motivasi ibu-bapa dan murid UPSR yang telah berlangsung bulan lalu, hari ini pihak pengurusan sekolah bersama guru-guru tahun 6 mengadakan perjumpaan sekali lagu dengan waris murid tahun sebagai refleksi kepada Ujian Pengesanan 1 yang berlangsung minggu lalu. Melalui perjumpaan kali ini, ibu-bapa dan murid diberi penerangan secara terperinci oleh Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM berkaitan pencapain individu setiap mata pelajaran dari aspek kekuatan dan kelemahan murid. Beliau turut menyatakan pencapaian yang harus dicapai oleh setiap murid secara berperingkat sehinggalah peperiksaan UPSR sebenar pada bulan September nanti. Pada perjumpaan tersebut juga, ibu-bapa turut berpeluang berdialog dengan guru-guru tahun 6 berkaitan pencapaian pembelajaran anak-anak mereka. Program perjumpaan dengan waris calon UPSR  2014 akan berlangsung sehingga 20 Mac 2014 mengikut kelas masing-masing.

Sunday, March 16, 2014

GRAMMAR EXCELLENCE WORKSHOP UPSR 2014

SKTM Isnin 17.03.2014
Program Grammar Excellence Workshop UPSR 2014 akan berlangsung selama 2 hari bermula hari ini. Program yang melibatkan murid tahun 6 dan 5B1 tersebut dilaksanakan oleh Bistamam Training & Consultancy yang berpusat di Selangor. Sepanjang 2 hari tersebut, peserta didedahkan beberapa tips dan teknik mudah untuk menguasai bahasa Inggeris disamping teknik menjawab soalan Bahasa Inggeris UPSR. Sementara itu, waktu perhimpunan pagi diisi dengan penyampaian hadiah khas kepada murid yang mendapat 5A pada Ujian Pengesanan 1/2014. Nur Erina bt. Za'far merupakan murid tunggal yang menerima hadiah khas tersebut. Hadiah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SKTM. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada peserta Majlis Tilawah Al-quran dan Mahrajan Kesenian Islam yang berlangsung Sabtu lalu dan sepasang kasut bola kepada adik Muhammad Hazri b. Arshad yang mewakili daerah Kerian ke Kejohanan Bola Sepak MSSPk yang akan berlangsung bulan hadapan.