Monday, January 10, 2011

PROGRAM TRANSISI TAHUN 1 / 2011

Program Transisi Prasekolah Ke Tahun Satu merupakan satu program yang bertujuan untuk membantu murid menghadapi perubahan daripada pendidikan tidak formal di rumah atau tadika kepada pendidikan lebih formal di Tahun Satu sekolah rendah. Dalam masa yang sama program ini juga dapat memastikan agar semua murid Tahun Satu yang datangnya dari latar belakang, pengalaman dan sosio ekonomi yang berbeza akan dapat memulakan proses pembelajaran di Tahun Satu pada tahap pencapaian yang hampir sama. Program Transisi Tahun 1/2011 SK Teluk Medan masuk minggu ke-dua. Sepanjang program berlangsung, murid-murid tahun 1 diperkenalkan dengan situasi dan budaya sekolah. Murid-murid turut dibawa meninjau persekitaran sekolah dan mengenalpasti kemudahan yang ada seperti pusat sumber, pejabat, surau, makmal komputer, pusat akses dan bilik-bilik khas yang lain. Antara tujuan Program Transisi Tahun 1 yang akan berlangsung selama 2 minggu adalah supaya :

1. Murid-murid dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran guru-guru dan kawan baru dalam masa yang singkat.


2. Guru-guru dapat menyelaraskan keperluan kognitif, emosi, kerohanian dan jasmani murid secara menyeluruh sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran secara formal di Tahun 1.


3. Meningkatkan minat dan semangat murid untuk datang ke sekolah tanpa banyak masalah.


Saturday, January 8, 2011

MENJELANG KEJOHANAN OLAHRAGA 2011

SKTM Jumaat 07.01.2011.
Sebagai persiapan awal Kejohanan Olahraga 2011, unit kokurikulum telah membuat pengemaskinian ahli rumah-rumah sukan SKTM. Kesempatan perhimpunan pagi Jumaat turut dimanafaat dengan mengadakan mesyuarat pertama rumah sukan 2011. Semoga kejohanan olahraga 2011 berlangsung seperti yang direncanakan.

Monday, January 3, 2011

SESI PERSEKOLAHAN 2011 BERMULA

SKTM 3 Januari 2011.
Sudah menjadi kebiasaan perhimpunan mingguan pertama sesi persekolahan tahun baharu turut dihadiri oleh ibu-bapa murid terutamanya ibu-bapa murid tahun 1. Kehadiran mereka bukan sahaja untuk menghantar anak-anak mereka pada hari pertama persekolahan malahan ingin mengetahui serba sedikit perkembangan terkini mengenai pengurusan sekolah yang diumumkan semasa majlis perhimpunan mingguan. Perhimpunan mingguan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu sekolah kemudiannya diikuti dengan bacaan doa dan ikrar Rukun Negara. Guru besar SKTM, En. Shoyef b. Tukiman turut menyampaikan beberapa info terkini kepada ibu-bapa yang hadir dan nasihat sebagai motivasi kepada murid-murid SKTM. Perhimpunan mingguan yang bermula pada jam 7.40 pagi berakhir pada jam 8.10 pagi.

Saturday, January 1, 2011

PENDAFTARAN PRASEKOLAH DAN TAHUN 1 / 2011


SKTM Khamis 30.12.2010
Majlis Perdaftaran Prasekolah dan Tahun 1 / 2011 berlangsung seperti yang dirancangkan. Ibu-bapa hadir bersama anak-anak seawal pagi bagi mendaftar prasekolah dan tahun 1 untuk sesi persekolahan 2011. Majlis dimulakan dengan pendaftar murid dan diikuti taklimat ibu-bapa dan penjaga murid. Pada taklimat tersebut, guru besar SKTM Encik Shoyef b Tukiman memberikan beberapa input terkini berkaitan pendidikan terutamanya berkaitan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Program LINUS dan program-program kecemerlangan SKTM 2011. Taklimat diteruskan oleh En. Yusof b. Jamaludin PK HEM yang menerangkan tentang pengurusan murid SKTM. Majlis Pendaftaran Prasekolah dan Tahun 1 berakhir pada jam 11.00 pagi.

SUMBANGANMU DIHARGAI

SKTM Rabu 29.12.2010
Seperti tahun-tahun yang lalu, warga pendidik SKTM menerima Sijil Penghargaan atas sumbangan cemerlang pada tahun 2010. Sijil penghargaan disampaikan kepada semua warga pendidik SKTM oleh En.Shoyef b Tukiman, Guru Besar SKTM. Tahniah diucapkan kepada semua warga pendidik SKTM.