Thursday, January 24, 2013

JOHAN AZAN DAN HAFAZAN SEMPENA MAULIDURRASUL 1434H MASJID DAERAH BAGAN SERAI



Masjid Daerah Bagan Serai, 12 Rabiulawal 1434H.
Murid Tahun 6 SK Teluk Medan, Muhammad 'Izzuddin b. Zainol Abidin sekali lagi mengharumkan nama SK Teluk Medan apabila menjadi johan bagi 2 kategori pertandingan yang diadakan sempena Sambutan Maulidurrasul 1434H Peringkat Daerah Bagan Serai. Pertandingan tersebut ialah Pertandingan Azan Murid Sekolah Rendah dan Pertandingan Hafazan Murid Sekolah Rendah. Adik Muhammad 'Izzuddin menerima wang RM150 sebagai hadiah bagi kedua-dua pertandingan tersebut. Hadiah disampaikan oleh Tn.Hj.Adnan b. Hj.Hassan, Timbalan Pengerusi Masjid Daerah Bagan Serai. Tahniah diucapkan.

Wednesday, January 23, 2013

MERENTAS DESA 2013


SKTM Rabu 23.01.2013.
Kejohanan Merentas Desa 2013 SK Teluk Medan berlangsung seperti yang dirancang. Acara dimulakan dengan sesi memanas badan melalui senam robik yang dipimpin oleh Sir Ash. En.Syamsul Amin kemudiannya melepaskan para peserta secara serentak dan para peserta memulakan larian melalui trek yang berukuran lebih 2 km. Peserta larian turut diawasi oleh anggota polis unit trafik bagi menjamin keselamatan peserta ketika melalui jalan raya. Malahan pada majlis penutupan, seorang daripada anggota polis yang bertugas diberi peluang untuk menyampaikan beberapa maklumat berkaitan keselamatan di jalan raya. Pada kejohanan tersebut, Syed Allauddin telah menjadi johan bagi kategori lelaki manakala Nur Aziera Anisha johan bagi kategori perempuan. Kedua-dua pemenang tersebut akan mewakili SK Teluk Medan ke kejohanan yang sama pada peringkat daerah Kerian. Hadiah-hadiah disampaikan oleh En.Mohamad Yusuf Jamaluddin, PK HEM SKTM. Pn.Hidayat Azimah Suhaimi, PK Kokurikulum menyampaikan ucapan penutupan dengan mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Kejohanan Merentas Desa 2013 SK Teluk Medan. (lihat foto)

Tuesday, January 22, 2013

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya. Mereka juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah di akhirat. Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah masyarakat manusia itu dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah (maksudnya):
” Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.(Surah Ali Imran: 110)”
Sebagai seorang daripada jutaan umat Muhammad, kita patut menyambutnya dengan memahami konsep dan sebab mengapa kita menyambut maulidur rasul setiap tahun. Bukannya kita terikut-ikut dengan budaya orang lain tetapi kerana kita sedar bahawa penyatuan ummat perlulah berasaskan kepada ciri-ciri yang baik dan murni dan salah satunya adalah dengan Wasatiyyah. Semoga sambutan Maulidur Rasulullah SAW akan menjadikan Rasulullah sebagai idola umat islam serta mengamal dan menghayati sunnah tanda kecintaan kita kepada Allah, Rasulullah dan Islam.

Saturday, January 19, 2013

MAJLIS WALIMATULURUS PUTERI SULUNG USTAZ MOHAMAD SHAH RAMLI


DEWAN TAMAN SERAI PERMAI Sabtu 19.01.2013.
Majlis malimatulurus puteri sulung Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan berlangsung mulai jam 11.00 pagi. Meskipun sederhana tetapi kemeriahan amat dirasakan apabila ramai tetamu yang hadir dapat menjamu selera dengan lancar disamping berbual mesra antara satu sama lain. Selain daripada penduduk tempatan, kenalan dan pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Perak, PPD Kerian dan rakan guru turut memeriahkan majlis. Tn.Hj.Idris b. Hj.Ramli, Timbalan Pengarah Pelajaran Perak turut hadir pada majlis malimatulurus tersebut. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan tahniah kepada Ustaz Mohamad Shah Ramli dan isteri serta kedua mempelai.

Thursday, January 17, 2013

MAJLIS PENYERAHAN WANG BANTUAN KHAS PERSEKOLAHAN 2013





SKTM Khamis 17 Januari 2013.
Majlis Penyerahan Wang Bantuan Khas Persekolahan 1Malaysia 2013 berlangsung mulai jam 2.30 petang. Majlis Penyerahan Wang Bantuan Khas Persekolahan 1Malaysia 2013 tersebut disempurnakan oleh Ybg.Dato' Zaili b. Cha, Pegawai Khas MB Perak yang mewakili kerajaan Malaysia. Dalam ucapannya, beliau berharap bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan akan meringankan beban kewangan ibu-bapa ketika memulakan sesi persekolahan 2013 serta digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembelajaran anak-anak.. Menurutnya lagi, kerajaan memperuntukan lebih daripada 30 juta ringgit Malaysia bagi program bantuan rakyat bagi daerah Kerian. Beliau seterusnya menyampaikan replika cek bernilai RM49700.00 kepada Tn.Hj.Darham b. Bakri, YDP PIBG SK Teluk Medan.Sebelumnya, Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan membentangkan beberapa program kecemerlangan sekolah bagi tahun 2013. Melalui Program Sarana Ibu-bapa dan Sarana Sekolah, beliau mengharapkan agar ibu-bapa murid akan dapat membantu pihak sekolah untuk sama-sama merealisasikan visi dan misi pendidikan negara. Pada majlis hari ini, setiap murid menerima RM 100 yang disampaikan kepada ibu-bapa atau penjaga murid. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pn.Roziana bt. Ariffin, Pen.PPD BI merangkap Mentor SK Teluk Medan.
( foto Majlis )
( foto Ust.Omar )