Thursday, September 29, 2011

MINGGU ICT HARI KE-5


SKTM Jumaat 30.09.2011
Program Minggu ICT 2011 masuk hari ke-5 setelah dilancarkan Isnin lalu. Antara pengisian hari ini ialah Peraduan Mewarna Prasekolah dan tahap 1, Pertandingan Kenali ICT tahun 4 dan Perdaftaran serta Eksplorasi Eduweb TV murid tahap 2. Sesi Pendaftaran serta Eksplorasi Eduweb TV turut melibatkan guru-guru SK Teluk Medan yang dikendalikan oleh Pn.Fatimah Masdar, Guru Pusat Sumber Sekolah.

Wednesday, September 28, 2011

KEM AKIL BALIGH 2011

SKTM Khamis 29.09.2011
Kem Akil Baligh 2011 anjuran Panitia Pendidikan Islam SKTM bermula hari ini. Kem tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada murid-murid tahun 6 sebagai menghadapi alam remaja. Antara pengisian program tersebut ialah beberapa siri ceramah berkaitan cabaran zaman remaja, aurat dalam islam, batasan sosial dan perkara-perkara asas fardhu ain. Aktiviti bengkel turut diadakan bagi mengelakkan ketegangan peserta ketika kem berlangsung. Kem Akil Baligh 2011 akan berterusan sehingga hari Isnin minggu hadapan sebelum fasa ke-2 bermula iaitu Kem Klinik Solat dan Literasi Al-quran 2011. Tahniah diucapkan kepada Panitia Pendidikan Islam dan seluruh warga SK Teluk Medan. (laporan penuh : jqaf-sktm.blogspot.com)

APLIKASI EMEL DALAM PEMBELAJARAN

SKTM Rabu 28 September 2011.
Program Minggu ICT diteruskan pada hari ke-3 selepas ianya dilancarkan. Peserta yang terdiri daripada kelas pilihan didedahkan tentang penggunaan emel (email ) khususnya dalam pembelajaran masa kini. Eksplorasi dan bengkel penggunaan emel dalam pembelajaran disampaikan oleh Tn.Hj.Zainol Abidin b. Basri, Guru Penyelaras Bestari SKTM. Guru-guru yang tidak terlibat dengan waktu pengajaran turut hadir bagi memperolehi informasi berkaitan aplikasi emel dalam pembelajaran.

KPM TURUN PADANG

SKTM Rabu 28.09.2011.
SK Teluk Medan dikunjungi oleh rombongan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Perak yang diketuai oleh En.Mohamad Fauzi b. Mahson dari Unit NKRA KPM Putrajaya. Kunjungan tersebut bertujuan untuk mendapat maklum balas pengurusan akademik khususnya berkaitan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang dijalankan secara atas talian. Selain mengenalpasti masalah sistem, En.Mohamad Fauzi turut menerangkan beberapa penambahbaikan yang telah dilakukan oleh pihak kementerian bagi memudahkan pengisian data peperiksaan oleh lebih 4 juta pengguna sistem tersebut. Menurut beliau, jumlah pelayan (server) di kementerian telahpun ditambah di samping beberapa kemudahan pada sistem diubah agar lebih 'mesra pengguna'. Antara perkara yang dibangkitkan oleh guru-guru yang hadir pada perjumpaan tersebut ialah masalah tahap capaian internet yang perlahan dan tidak stabil menyebabkan proses pengisian data tidak dapat dilakukan dengan segera. Pada perjumpaan selama sejam itu, En.Mohamad Fauzi berjanji akan mengadakan perbincangan dengan pihak TM Net secepat mungkin agar sekolah mendapat perkhidmatan yang lebih baik bagi memudahkan pengurusan sekolah dan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. Turut hadir pada perjumpaan tersebut ialah En.Rashidy Mahzan ( Peg.maklumat KPM ), En.Mohd Ishak Muhammad (PP ICT JPN ), En.Rashid Shafie ( PP Sektor ICT JPN ), En.Ahmad Faizul Mat Yazid ( Pen.PPD Bahasa PPD Kerian ), En.Shaarani b. Saidin ( Pen.PPD Vokasional Teknik ), En.Mohamad Shah Ramli ( Guru Besar SKTM ), Tn.Hj.Hamid ( PKG Teluk Medan ) dan guru-guru SK Teluk Medan yang terdiri daripada Guru-guru Penolong Kanan, Setiausaha Peperiksaan, Guru Penyelaras Bestari, wakil guru mata pelajaran dan juru teknik ICT SK Teluk Medan.