KUALA LUMPUR 26 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program perintis Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang melibatkan tiga buah hospital di Lembah Klang. Tiga hospital terbabit ialah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang. Penubuhan SDH di tiga sekolah berkenaan yang juga dikenali dengan Projek Hati Nurani adalah hasil kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan. Muhyiddin di dalam ucapan pelancarannya di Institut Pediatrik, HKL di sini berkata, objektif utama SDH adalah untuk memastikan semua kanak-kanak serta remaja termasuk mereka yang mendapat rawatan di hospital berpeluang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti. ‘‘Adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti tidak kira di mana pun mereka berada,’’ katanya.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, SDH merupakan satu program pendidikan yang menggunakan pendekatan yang berbeza daripada sekolah biasa. Ujarnya, di sekolah tersebut para pelajar akan menimba ilmu melalui pendekatan belajar secara menyeronokkan dan santai. ‘‘Persekitaran pembelajaran yang tenang, menarik dan berwarna warni merupakan terapi semulajadi bagi pelajar dan kanak-kanak di hospital. ‘‘Sekurang-kurangnya sesi pelajaran yang menarik dan diselang-selikan dengan permainan akan dapat membantu menghilangkan rasa bosan mereka apabila perlu mendapat rawatan dalam tempoh yang lama di hospital,’’ katanya lagi. Seperkara lagi beliau berkata, kewujudan SDH juga mampu menghilangkan rasa bimbang para ibu bapa apabila terhadap pelajaran anak-anak mereka apabila menerima rawatan di hospital. ‘‘Kebimbangan ini tentunya lebih tinggi jika anak-anak mereka akan menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan.,’’ katanya lagi. Sementara itu pada sidang akhbarnya Muhyiddin berkata, sekolah itu telah memulakan sesinya di tiga hospital terlibat sejak dua minggu lalu. ‘‘Pihak kementerian telah menyediakan 16 guru terpilih untuk memastikan projek SDH dapat dijalankan dengan baik. Saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada mereka kerana sanggup menyahut cabaran kerajaan merealisasikan usaha murni ini. UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment