Friday, July 22, 2011

PROGRAM PERMUAFAKATAN IBU-BAPA DAN GURU 2011



SKTM Jumaat 22.07.2011
Bertemakan 'Muafakat Membawa Berkat', Program Permuafakatan Ibu-bapa dan Guru 2011 berlangsung seperti direncana. Program Permuafakatan Ibu-bapa dan Guru 2011 dimulakan dengan bacaan doa memohon keberkatan yang dipimpin oleh Ustaz Yusoff b. Shouib, guru Pendidikan Islam SKTM. Tn.Hj.Darham b. Bakri, YDP PIBG SK Teluk Medan membuka tirai ucapan pada majlis tersebut. Dalam ucapannya, beliau mewakili ibu-bapa murid SKTM mengucapkan setinggi perhargaan dan terima kasih atas usaha pihak pentadbir sekolah dan guru-guru kerana menjayakan majlis tersebut kerana ianya memberi peluang kepada waris murid untuk berinteraksi dengan lebih dekat dengan guru-guru untuk mengetahui masalah anak-anak dan cara mengatasinya. Beliau juga berharap agar tugas mendidik anak-anak tidak hanya dipikul oleh guru-guru semata-mata malahan ibu-bapa mempunyai peranan yang lebih besar bagi menentukan kegemilangan anak-anak dalam setiap aspek penghidupan. Ucap utama pada majlis tersebut disampai oleh Al-fadhil Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan. Setelah memperkenalkan diri, Al-fadhil membentangkan pencapaian murid-murid tahun 6 dalam Ujian Percubaan UPSR yang telah berlansung minggu lalu. Beliau yakin pasti pencapaian murid-murid tahun 6 Insya-Allah akan meningkat pada peperiksaan UPSR sebenar setelah meneliti perancangan yang telah dilakukan oleh Unit Kurikulum SKTM bersama guru-guru SK Teluk Medan. Al-fadhil turut menyampaikan motivasi dengan memberikan beberapa tips untuk menjadi ibu-bapa dan murid yang cemerlang. Antara aspek yang ditekankan oleh Al-fadhil ialah kepentingan memelihara solat, sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri, berdoa serta menunaikan tanggung jawab sebagai ibu-bapa dan murid sebaik mungkin. Sebelum majlis tamat, murid-murid tahun 6 yang merupakan calon UPSR 2011 melafazkan ikrar untuk berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kecemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti. Manakala selepas majlis tamat, ibu-bapa murid berpeluang bertemu muka dengan guru-guru untuk diberi penjelasan berkaitan tahap pencapaian anak masing-masing seterusnya menandatangani slip keputusan Ujian Percubaan UPSR. Semoga pertemuan sebegini akan menjana kecemerlangan warga SK Teluk Medan.

No comments:

Post a Comment