Wednesday, November 7, 2012

ANUGERAH KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN GRADUASI PRASEKOLAH 2012



SKTM Rabu 7 November 2012.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Graduasi Prasekolah 2012 SK Teluk Medan berlangsung seperti yang dirancang. Majlis dimulai dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Mohd.Yusof Shouib, Guru Pend.Islam SKTM. Tn.Hj.Darham b. Bakri, YDP PIBG memulakan sesi ucapan dengan berharap agar semua ibu-bapa yang hadir akan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi kepada semua aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak sekolah demi kecemerlangan anak-anak SKTM. Ucapan diteruskan oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan. Selain daripada membentangkan program kecemerlangan SKTM 2012, beliau turut menggariskan beberapa program yang telah dirangka oleh pihak sekolah bagi sesi persekolahan 2013 serta meluahkan penghargaan dan terima kasih kepada ibu-bapa, guru-guru dan seluruh warga SKTM yang sama-sama berganding bahu menjayakan semua program kecemerlangan 2012. Perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Graduasi Prasekolah 2012 SK Teluk Medan disempurnakan oleh Al-fadhil Ustaz Salehuddin b. Hj.Arshad, Penolong Pengarah Pengurusan Akademik Sektor Pendidikan Islam,JPN Perak. Dalam ucapannya, beliau membentangkan beberapa program peningkatan pendidikan seperti yang termaktub di dalam Pelan Induk Pendidikan Malaysia. Menurutnya lagi, pihak Jabatan Pelajaran Perak telah merangka serta melaksanakan beberapa program peningkatan akademik, kokurikulum dan sahsiah bagi merealisasikan visi dan misi pendidikan negara. Beliau turut melahirkan penghargaan kepada guru-guru, pengurusan sekolah dan ibu-bapa yang sentiasa peka terhadap perkembangan pendidikan negara serta bertungkus lumus menjayakannya demi kejayaan anak-anak dunia dan akhirat. Pada Majlis tersebut, adik Noralia Amalina bt Nordin telah dicanang sebagai Tokoh Akademik SKTM 2012 manakala adik Umayr Tolhah b. Bushra sebagai Tokoh Kokurikulum 2012. Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Graduasi Prasekolah 2012 SK Teluk Medan turut diserikan dengan beberapa persembahan daripada murid tahun 3 dan tahun 6. Syabas warga SK Teluk Medan ( lihat foto )

No comments:

Post a Comment