Wednesday, April 16, 2014

BENGKEL IQRA' IBU-BAPA MURID PRASEKOLAH.

SKTM Khamis 17hb April 2014.
Tugas mendidik anak-anak agar boleh membaca Al-quran tidaklah hanya dipikul oleh guru-guru agama di sekolah dan di pusat-pusat pembelajaran Al-quran sahaja. Ibu-bapa turut memainkan peranan yang penting bagi melahirkan generasi yang celik Al-quran. Namun tidak ramai dalam kalangan ibu-bapa yang mahir tentang kaedah dan teknik pembelajaran asas Al-quran. Menyedari hakikat ini, pihak Unit Prasekolah SKTM dengan kerjasama Unit Pendidikan Islam SKTM telah mengadakan Bengkel Mengajara Asas Al-quran menggunakan kaedah Iqra' kepada ibu-bapa murid Prasekolah SKTM. Pada bengkel selama 3 jam tersebut, ibu-bapa diberi penerangan secara terperinci berkaitan teknik mengajar Al-quran menggunakan kaedah Iqra'. Kaedah Iqra’ di Malaysia bermula pada tahun 1992 dan dikembangkan selepas tempoh percubaan pertama selama lebih kurang 6 bulan di beberapa buah sekolah di Malaysia.Kementerian Pendidikan telah menetapkan pengajaran tilawah al-Quran tahun satu sekolah-sekolah kebangsaan pada sesi persekolahan 1995 dengan menggunakan kaedah Iqra’. Murid tahun satu dikehendaki memiliki buku kaedah Iqra’ dan mengikuti kelas kemahiran al-Quran sepanjang enam bulan pertama persekolahan. Pada tahun 2006, satu ujian telah dijalankan bagi menentukan kesesuaian di antara beberapa kaedah belajar membaca al-Quran yang ada pada masa kini. Hasil daripada ujian tersebut, Kementerian Pelajaran telah bersetuju supaya kaedah Iqra’ terus digunapakai di sekolah-sekolah. Kaedah Iqra’ dikenalpasti sebagai antara kaedah yang dapat membantu mempercepatkan kanak-kanak menguasai kemahiran membaca al-Quran dengan baik.Kaedah Iqra’ adalah suatu kaedah pengajaran membaca al-Quran yang disusun sebagai usaha untuk mempercepatkan penguasaan bacaan Al-quran dalam tempoh yang singkat.Kaedah ini disusun oleh al-Marhum Ustaz Hj Asad Humam (Pengarah Kumpulan Tadarus Angkatan Muda Masjid dan Musholla Yogyakarta) berdasarkan pengalaman mengajar Al-quran sejak tahun 1950 dan melalui percubaan dan penyelidikan yang mendalam. Bengkel Kaedah Iqra' disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan.

No comments:

Post a Comment